Saturday, 23 September 2017

Jangan guna alasan 'bukan Islam' untuk anjur pesta arak, gay - MAPIM



Post Pic
 
SHAH ALAM: Masyarakat Islam dan bukan Islam perlu melihat keburukan di sebalik tabiat minum arak, tegas Presiden Majlis Perunding Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid.
 
Ujarnya semua agama di dunia ini menolak tabiat minum arak, dan larangan itu tidak eksklusif di kalangan masyarakat Islam sahaja.
 
"Soal ia tidak melibatkan masyarakat Islam, alasan ini tidak cukup untuk mereka kata berhak untuk menganjurkan pesta itu. Apakah masyarakat tidak boleh mengkritik kerana ia memberi kesan negatif kepada masyarakat Islam dan bukan Islam.

 
"Kita mahukan rakyat yang bagaimana? Yang sihat? Yang rasional? Sedangkan ada gerakan dunia yang mahu membasmi budaya arak, bukan sahaja di kalangan orang Islam," ujarnya ketika ditemui dalam wawancara ekslusif bersama Antarapos, hari ini.
 
Azmi kemudiannya menceritakan satu gerakan yang dianggotainya bersama ramai pemimpin pelbagai agama menentang budaya minum alkohol yang nyata membawa kesan negatif kepada masyarakat.
 
"Di dalam gerakan itu ada orang Kristian, Hindu, Buddha dan sebagainya. Kami sentiasa bertemu berbincang mengenai iklan arak dan penajaan acara sukan dan hiburan oleh syarikat arak. Kami bincang bagaimana hendak menghapuskan budaya ini kerana ia memberi kesan buruk kepada masyarakat," ujarnya.
 
Azmi memberi pandangannya berkenaan bantahan masyarakat ke atas penganjuran Better Beer Festival 2017 yang sepatutnya berlangsung pada 6 dan 7 Oktober depan.
 
Namun pada awal minggu ini pesta yang dianjurkan MyBeer (M) Sdn Bhd dibatal permohonannya oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) atas alasan ia boleh membawa kepada ancaman keganasan.
 
PAS yang sedari awal mengecam penganjuran pesta itu, pada semalam mendakwa ada usaha untuk membawa pesta arak yang serupa di Selangor, apatah lagi Better Beer Festival 2017 pada awalnya disokong oleh salah seorang exco negeri itu, Datuk Teng Chang Kim yang juga merupakan Naib Pengerusi DAP Selangor.
 
Diajukan hal itu, Azmi meminta mana-mana pihak yang berniat menyokong penganjuran pesta sedemikian untuk sekali lagi berfikir secara jauh.
 
"Tidak kiralah sama ada pihak Pakatan Harapan (PH) atau kerajaan, tiba-tiba mengapa mereka mengatakan ini hak bukan Islam. Soalnya, kualiti apa yang hendak dimahukan dalam masyarakat?
 
"Sama ada anda seorang exco atau ahli politik, adakah anda mahu masyarakat sebegitu? Perkara itu perlu dipatahkan hanya kerana alasan ini hak bukan Islam," kata Azmi.
 
Dalam perkembangan berlainan, Azmi juga mengulas penganjuran pesta gay yang dirancang diadakan di Kuala Lumpur pada 30 September ini.
 
"Ia hendak dijadikan norma yang diterima dan dibenarkan oleh undang-undang.
 
"Mereka yang mengizinkan dan membiarkan golongan gay dan lesbian berterusan maka bermakna agenda liberalisme dan pluralisme masih cuba diasak. Namun saya percaya MAPIM akan bersama dengan sebanyak mungkin NGO untuk merasionalkan keadaan ini bukan budaya hidup kita," tegas Azmi.
 
Kelmarin, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberitahu kerajaan Malaysia tidak akan membenarkan sebarang acara atau parti gay yang dilaporkan dirancang untuk diadakan di ibu negara pada penghujung tahun ini.
 
Beliau dilaporkan berkata walaupun sehingga ini penganjur acara itu belum membuat permohonan permit bagi membolehkan acara itu berlangsung, beliau telah mengarahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tidak meluluskannya.
 
Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali juga pada semalam berkata jika pihaknya mengesan individu-individu terbabit ini cuba memasuki negara, mereka akan diberikan Notis Penolakan Masuk (NIL) di bawah Seksyen 8 Akta Imigresen 1559/63.
 
Agensi itu juga tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba membawa gejala yang tidak sihat, tidak bermoral dan yang boleh mengancam ketenteraman awam, keselamatan serta kedaulatan negara ini.
 
Menurut Mustafar, seramai 46,551 individu telah ditolak kemasukan ke negara ini di atas pelbagai kesalahan imigresen dari 1 Januari sehingga 30 Jun ini.

No comments:

Post a Comment