Wednesday, 7 December 2016

Nikmat lepasi ujian Padang Mahsyar




UKURAN kejayaan hidup manusia tidak dinilai di dunia tetapi Allah SWT jadikan ukuran nilai sama ada berjaya atau tidak ketika berada di Padang Mahsyar nanti.

Diceritakan oleh al-Muhasibi dalam kitabnya Al-Tawahum wal Ahwal, Allah SWT akan mengumpulkan seluruh manusia dan jin di Padang Mahsyar dalam keadaan hina dan tidak ada seorang pun yang bangun berpakaian.Mereka yang dahulunya mempunyai kedudukan, darjat dan pangkat juga akan menjadi rendah serta hina kerana ia bukan lagi menjadi keutamaan pada ketika itu.

 Orang jahat datang dengan keadaan tunduk kepalanya dan penuh ketakutan, malah syaitan juga dibawa dalam keadaan sama di Padang Mahsyar nanti.
Bintang di langit jatuh bertaburan, cahaya matahari dan bulan menjadi pudar seketika, suasana menjadi mendung serta gelap. Langit berputar-putar di atas kepala selama 500 tahun menyebabkan manusia berada dalam kebingungan.





Kemudian langit akan terbelah dan bunyinya didengari semua makhluk di Padang Mahsyar. Firman Allah SWT yang bermaksud: "Pada hari langit menjadi seperti tembaga cair dan gunung-ganang pula menjadi seperti bulu (yang berterbangan)." (Surah al-Maarij, ayat 8-9)
Hamba soleh diasingkan

Abu Hamid dalam kitab Kasyful Ulum al-Akhirah menceritakan, jika semua makhluk itu sudah dikumpulkan di Padang Mahsyar, Allah SWT mula memerintahkan malaikat di langit dunia (langit pertama) untuk memindahkan hamba-Nya yang soleh ke bumi lain.

Kemudian dipindahkan manusia dan jin yang soleh, termasuklah binatang serta burung ke bumi kedua, tanahnya berwarna putih daripada perak bercahaya. Selepas itu malaikat berjumlah 10 kali ganda daripada jumlah keseluruhan makhluk membuat barisan di sempadan antara bumi pertama dan kedua.

Seterusnya, Allah SWT memerintahkan malaikat di langit kedua hingga ketujuh turun ke bumi, membuat barisan mengepung seluruh makhluk yang ada dan tidak seorang pun mampu lari menembusi kepungan malaikat itu.
Bumi menjadi sangat padat dan makhluk bersesakan, himpit-menghimpit antara satu sama lain selain berpeluh kepanasan dalam keadaan yang merimaskan.

Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani dalam slot Mau'izati di IKIMfm menyambung perkongsian, pada ketika itu masing-masing dicengkam perasaan takut dan penuh debaran kerana matahari berada sangat dekat di atas kepala sehingga boleh disentuh hanya dengan mengangkat tangan mereka.

Mereka akan berasa sangat haus, tetapi hamba Allah SWT yang soleh akan mendapat minuman diberikan oleh anak syurga yang soleh. Di Padang Mahsyar nanti akan kelihatan awan bergerak di atas kepala, menaungi mereka yang sentiasa bersedekah ketika di dunia dahulu selama 1000 tahun.

Kemudian kedengaran tiupan sangkakala yang memberi isyarat turunnya Arash Allah SWT yang dibawa oleh lapan malaikat, diiringi ribuan malaikat menyebabkan seluruh makhluk menggigil ketakutan.
Minta bantuan Nabi

Di Padang Mahsyar manusia berada dalam kebingungan dan pada ketika itu mereka mula mencari Nabi Adam tetapi Baginda tidak berani melakukan apa-apa dan meminta berjumpa Nabi Nuh, namun Baginda juga tidak dapat membantu.

Begitu juga Nabi Ibrahim, Nabi Musa, Nabi Isa dan nabi lain. Sehinggalah akhirnya umat manusia berjumpa dengan Nabi Muhammad SAW. Baginda sujud sambil menangis dan berkata: "Semua nabi sudah menggunakan doa mustajab mereka ketika di dunia dahulu, kecuali diriku."

Walaupun sudah mengetahui hasrat Rasulullah SAW, Allah SWT menghantar malaikat untuk bertanya kepada kekasih-Nya kenapa Baginda menangis. Rasulullah SAW memohon supaya umat manusia diadili kerana mereka sudah terlalu lama menunggu di Padang Mahsyar. Selepas itu barulah Allah SWT menggerakkan Arasy dan umat manusia mula diadili.

No comments:

Post a Comment