Monday, 17 September 2012

KAJIAN ASTRONOMI MEMBENARKAN AL QUR'AN




“Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi dan silih bergantinya siang dan malam terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal. (Iaitu) orang-orang yang mengingati Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka banyak berfikir tentang penciptaan langit dan bumi seraya berkata, “Wahai Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia. Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari siksa api neraka.” (Ali ‘Imraan 190-191)
Alam semesta merupakan ciptaan Allah yang sungguh hebat. Allah menjelaskan tentang alam ini di banyak tempat dalam al-Quran. Apabila memikirkan tentang kehebatan alam ini, maka akan tampak jelaslah kepada kita akan kehebatan penciptanya iaitu Allah SWT.
Ketika al-Quran diturunkan lebih 1400 tahun yang lalu, orang-orang Arab ketika itu berada dalam zaman jahiliah. Kehidupan mereka kucar-kacir kerana pada masa itu tiada nabi atau rasul dan kitab suci yang menjadi petunjuk dalam kehidupan mereka. Akhlak mereka sangat rendah. Mereka bersikap kejam, angkuh dan degil.
Apabila al-Quran diturunkan, mereka beriman kepada Allah sehingga terbentuklah akhlak mulia dalam diri mereka dan tersingkaplah kepada mereka kebenaran tentang hakikat kejadian alam ini. Allah menjelaskan tentang pelbagai fenomena alam yang tidak terjangkau oleh akal fikiran mereka pada ketika itu. Mereka beriman sepenuhnya kepada al-Quran meskipun sebahagian ayat tersebut tidak dapat dijelaskan pengertiannya yang sebenar pada ketika itu.
Namun dengan perkembangan sains dan teknologi masa kini, keterangan-keterangan tentang ayat-ayat al-Quran semakin jelas. Di ketika umat Islam yang lemah dan longgar keimanan mereka kepada Allah meninggalkan agama Islam, berbondong-bondong pula para pengkaji dan orang-orang dari agama lain masuk ke dalam agama Islam setelah menemui bukti-bukti mengenai kebenaran al-Quran.
Misalnya tentang planet Bumi yang berbentuk bulat telah dinyatakan di dalam al-Quran melalui firman Allah:
“Dia menciptakan langit dan bumi dengan (tujuan) yang benar; Dia menutupkan malam atas siang dan menutupkan siang atas malam…” (Surah Az-Zumar: 5)
Pada ketika al-Quran diturunkan, ilmu astronomi sudahpun berkembang di luar dunia Arab. Orang-orang Yunani sejak dahulu lagi sudah mengkaji tentang fenomena-fenomena di langit dan kemudian mengemukakan pelbagai pandangan terutama tentang asal-usul Bumi, Matahari dan bintang-bintang. Ada yang berpandangan bahawa Bumi berbentuk silinder dan angkasa berputar mengelilinginya. Sebahagian masyarakat kuno turut percaya kepada perkara-perkara pelik seperti dunia ini berbentuk piring dan terletak di atas seekor kura-kura yang besar. Walaupun Aristotles pada tahun 340 sama mencadangkan bahawa bumi berbentuk bulat, namun tidak ada bukti-bukti saintifik yang dapat menyokong pernyataan tersebut pada zaman itu.
Perkataan Arab yang diterjemahkan sebagai ‘menutupkan’ dalam ayat di atas digunakan untuk menggambarkan pekerjaan membungkus atau menutup sesuatu di atas yang lain secara melingkar, sebagaimana serban dipakaikan pada kepala. Keterangan yang disebut dalam ayat tersebut tentang siang dan malam yang saling menutup satu sama lain berisi keterangan mengenai bentuk Bumi yang bulat.
Bentuk Bumi yang bulat hanya benar-benar jelas apabila pada 12 April 1961, Yuri Gagarin menerobos ke angkasa lepas bersama kapal angkasa Vostok dan berjaya menawan permukaan bulan. Beliau menjadi manusia pertama yang menyaksikan bentuk bumi yang bulat dari angkasa. Hari ini gambar Bumi yang diambil dari angkasa lepas bukan lagi menjadi perkara asing kepada kita.
Big Bang
Hasil kajian yang sangat menakjubkan mutakhir ini ialah tentang fenomena Big Bang. Sehingga abad ke-19, fahaman yang diterima secara meluas oleh ahli-ahli sains ialah alam semesta merupakan kumpulan materi berukuran tak terhingga yang telah ada sejak dahulu kala dan akan terus ada untuk selama-lamanya. Fahaman ini dinamakan sebagai fahaman materialisme.
Tetapi sains dan teknologi yang berkembang pada abad 20 telah meruntuhkan fahaman ini. Edwin Hubble (1889-1953) seorang ahli astronomi Amerika mengumumkan pada tahun 1929 bahawa alam semesta mengembang dan galaksi saling bergerak menjauhi satu sama lain dengan kecepatan yang semakin tinggi (disebut sebagai Hukum Hubble).
Para pengkaji kini berjaya menghasilkan peta tiga dimensi merangkumi 266 000 galaksi. Mereka kemudian membandingkan data tentang penyebaran galaksi dan Radiasi Alam Latar Semesta (radiasi yang dipancarkan ke segenap penjuru alam semesta) yang membawa kepada kesimpulan bahawa galaksi-galaksi terbentuk pada materi yang terbentuk 350 000 tahun setelah peristiwa Big Bang, di mana materi ini saling bertemu dan berkumpul, dan kemudian mendapatkan bentuknya akibat pengaruh daya graviti.
Kenyataan ini bererti suatu masa dahulu alam ini adalah satu titik tunggal dengan volum kosong (tiada), yang berisi semua materi alam semesta dan kemudiannya meledak. Teori ledakan yang dinamakan sebagai Big Bang ini menjelaskan bahawa alam semesta dimulai dengan suatu ledakan besar berjuta-juta tahun dahulu dan sejak itu kepingan-kepingannya masih terus berterbangan hingga kini. Hari ini makin banyak bukti ditemui menyokong teori ini.
Model Big Bang adalah titik terakhir yang dicapai ilmu pengetahuan tentang asal usul alam semesta. Begitulah, alam semesta ini telah diciptakan oleh Allah Yang Maha Perkasa dengan sempurna tanpa cacat. Penemuan yang menakjubkan ini sekaligus meruntuhkan fahaman materialisme yang tidak percaya kepada kewujudan Allah yang menciptakan alam ini (ateis) seperti kata George Politzer dalam bukunya Principes Fondamentaux ada Philosophie, “Alam semesta bukanlah sesuatu yang diciptakan. Jika ia diciptakan, ia sudah pasti diciptakan oleh Tuhan dengan seketika dan dari ketiadaan.”
Kenyataan tentang penciptaan langit dan bumi ini baru ditemui pada abad ke-20, sedangkan al-Quran telah menyebut mengenainya 14 abad yang lalu. Firman Allah bermaksud:
“Dia pencipta langit dan bumi.”
“Dan langit itu Kami bangunkan dengan kekuasaan (Kami) dan sesungguhnya Kami benar-benar meluaskannya.”
“Dan apakah orang-orang kafir tidak mengetahui bahawasanya langit dan bumi itu keduanya dahulu adalah suatu yang padu, kemudian Kami pisahkan antara keduanya. Dan dari air Kami jadikan segala sesuatu yang hidup, maka mengapa mereka tiada juga beriman?”
Ilmu yang diperoleh hasil kajian para saintis Barat ini mampu melahirkan pengagungan terhadap Allah, sekaligus meningkatkan pengabdian kepada-Nya. Tetapi mengapakah kita masih lalai dan leka?
“Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan?”

Sumber: http://www.ukhwah.com/

No comments:

Post a Comment