Tuesday, 25 October 2011

5 golongan yang mustajab doanya.


Bila dan siapakah yang mustajab doanya. Berikut ialah mereka yang dianggap mustajab doanya sebagaimana disebutkan oleh Rasulullah s.a.w;

1. Doa seorang Muslim pada saudaranya.

Abu Darda' meriwayatkan Rasulullah Saw bersabda, " Doa seorang muslim pada saudaranya itu mustajab. Di atas kepala orang itu ada malaikat yang apabila orang tadi mendoakan kebaikan kepada saudaranya, malaikat itu berkata, " Amin, dan semoga kau mendapatkan kebaikan yang sama ." (HR Muslim)

2. Orang yang terkena musibah.

Rasulullah Saw bersabda , " Siapa pun yang terkena musibah kemudian berdoa ; Sungguh, kami berasal dari Allah dan sungguh, kepadaNya kami kembali. Ya Allah, berilah kami ganjaran dalam musibah ini dan berilah kami ganti yang lebih baik untuknya . "

3. Orang yang teraniaya.

Mu'adz bin Jabal meriwayatkan Rasulullah Saw. bersabda, " Takutilah doa orang yang teraniaya. Sesungguhnya tak ada penghalang antara doa itu dengan Tuhan , " ( HR Bukhari-Muslim)


4. Orang tua terhadap anaknya.

Rasulullah Saw. bersabda, " Ada tiga doa yang takkan pernah ditolak. Doa orang tua kepada anaknya, doa orang yang berpuasa dan doa orang musafir." ( HR Baihaqi).

5. Orang yang sedang bermusafir

Rasulullah S.A.W bersabda, " Ada tiga orang yang doanya pasti dikabulkan. Doa orang tua kepada anaknya, doa orang yang berada dalam perjalanan dan doa orang yang teraninaya.

Marilah kita memperbanyakkan doa kepada Allah.Semoga doa kita mustajab dan diterima oleh Allah.

Fadhilat Ibadah Qurban

Bulan Zulhijah mulia kerana adanya ibadah qurban. Setiap tahun sebahagian kita melakukan ibadah ini. Berikut ialah kelebihan/fadilat ibadah qurban sebagaimana yang disebutkan oleh al-Qur’an dan Hadis Rasulullah s.a.w;
1.Keampunan.

Titisan darah qurban yang pertama adalah merupakan pengampunan bagi dosa-dosa yang telah lalu iaitu sebagai penebus dosa yang telah dilakukan.
‘Imran bin Hushain radhiallahu ‘anhushallallahu ‘alaihi wasallam bersabda kepada Sayyidatuna Fatimah radhiallahu ‘anha: meriwayatkan bahawa Rasulullah Maksudnya: “Wahai Fatimah! Pergilah ke tempat (penyembelihan) qurbanmu dan saksikanlah ia, sesungguhnya titisan darahnya yang pertama itu adalah merupakan pengampunan bagimu di atas dosa-dosamu yang telah lalu.”
(Hadis riwayat al-Hakim)
2. Kebajikan (hasanah) yang dikurniakan kepada orang yang berqurban adalah sebanyak bulu binatang yang diqurbankan.

Zaid bin Arqam radhiallahu ‘anhu meriwayatkan:
Maksudnya: “Para sahabat Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bertanya: “Wahai Rasulullah! Apakah yang ada pada qurban itu?” Rasulullah menjawab: “Ia adalah sunnah bapa kamu Ibrahim” Mereka berkata: “Apa yang akan kami perolehi darinya wahai Rasulullah?”Rasulullah menjawab: “Bagi setiap helai rambut satu kebajikan” Mereka berkata: “Bagaimana pula dengan bulu wahai Rasulullah?” Rasulullah menjawab: “Bagi setiap helai bulu satu kebajikan.”(Hadis riwayat Ibnu Majah)
3. Darah qurban yang tumpah ke bumi akan mengambil tempat yang mulia di sisi Allah subhanahu wa ta‘ala. 

‘A’isyah radhiallahu ‘anha meriwayatkan bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: “Tidak ada amalan yang dilakukan oleh anak Adam pada Hari Raya Qurban yang lebih disukai Allah melainkan menumpahkan darah (menyembelih binatang qurban). Sesungguhnya binatang qurban itu akan datang pada Hari Kiamat bersama tanduk, kuku dan bulunya dan Allah memberi pahala ibadah qurban itu sebelum darah binatang qurban itu jatuh ke bumi. Oleh itu, elokkanlah qurban kamu.”
(Hadis riwayat at-Tirmidzi,Ibnu Majah dan Hakim)
4. Akan memperolehi kenderaan atau tunggangan ketika meniti titian al-Sirat al-Mustaqim di akhirat kelak.
Sabda Nabi Muhammad SAW (maksudnya): “Muliakanlah qurban kamu kerana ia menjadi tunggangan kamu di titian pada Hari Qiamat”. “Tidak akan sampai kepada Allah daging-dagingnya dan tidak pula darah-darahnya. Tetapi akan sampai kepada Allah ialah ketaqwaan dari kamu. Demikianlah dipermudahkannya korban-korban kepada kamu supaya kamu mengagungkan Allah terhadap hidayah-Nya kepada kamu. Dan hendaklah kamu gembirakan orang-orang yang berbuat kebajikan.” (al-Hajj : 36-37)
Ancaman terhadap orang yang mampu melakukan qurban tetapi tidak melaksanakannya.
Daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu katanya, sabda Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam:
Maksudnya: “Barangsiapa yang ada kemampuan untuk berqurban tetapi tidak melakukannya, janganlah dia hadir bersama kami di tempat sembahyang kami”.(HR Ahmad dan Ibnu Majah).
Oleh itu, marilah kita mengadakan ibadah qurban untuk manfaat dunia dan akiharat.

Saturday, 15 October 2011

Pandangan Agama dan Sains Mengenai Kesan Amalan Berwuduk


Wuduk hendaklah disempurnakan ketika hendak mendirikan solat. Allah berfirman di dalam al-Qur’an yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan solat, basuhlah muka kamu dan kedua tangan kamu sampai ke siku. Sapulah kepala kamu dan basuhlah kedua belah kaki kamu sehingga ke buku lali...(Surah al-Maidah:6). Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud : “ Allah tidak menerima solat salah seorang antara kamu sekiranya ia berhadas hingga berwuduk terlebih dahulu.”. Di sini jelas, bahawa amalan berwuduk adalah perintah Allah yang terdapat  di dalam  al-Qur’an dan juga Sunnah baginda Rasulullah s.a.w. Sudah tentu amalan ini mempunyai kelebihan tertentu dan hikmah tersembunyi.

Amalan berwuduk akan memberikan manfaat kepada kita di dunia dan juga akhirat. Di dalam Kitab- Fiqhus Sunnah dinyatakan amalan berwuduk membawa beberapa kelebihan antaranya ialah;
1)     1. Meggugurkan dosa. Ini berlaku apabila kita berwuduk bersama aliran air itulah maka berguguran dosa kita.
2)     ii. Berwuduk akan mengangkat darjat dan;
3)     iii. Orang berwuduk akan datang diakhirat dalam keadaan bahagia dan bersinar-sinar wajahnya.

Selain kelebihan yang disebutkan di atas, amalan berwuduk inilah yang akan menjadi asbab untuk kita dimasukkan ke dalam syurga Allah. Ini berdasarkan kisah Saidina Bilal sebagimana yang dinyatakan oleh Rasulullah S.A.W. Mengikut kisahnya, Bilal bin Rabbah, antara sahabat utama Rasulullah S.A.W, memiliki amalan khusus iaitu beliau selalu menyumpurnakan wuduknya. Keistemewaan amalan itu, Bilal disebutkan oleh Rasulullah sebagai seorang sahabat yang dipastikan menghuni syurga.

Abu Hurarirah melaporkan, selepas solat subuh, Rasulullah berkata kepada Saidina Bilal, “ Wahai Bilal, ceritakan kepadaku mengenai amalan yang kamu lakukan selepas berada di dalam Islam. Kelmarin aku ada mendengar suara terompah kamu di dalam Syurga. Bilal berkata, “ Aku tidak pernah melakukan suatu amalan (yang besar pahalanya)pun dalam Islam, tetapi selagi Allah mentadirkan aku mengerjakan solat, maka aku berwuduk dengan sempurna setiap malam atau siang hari.” (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Apakah hikmah berwuduk di sudut sains dan perubatan ? Perkara ini amat menarik untuk dikaji agar ia  menimbulkan keyakinan kita terhadap amalan yang kita lakukan hampir setiap masa dan hari. Menurut kajian Dr Magomedov, pembantu kepada Lembaga Hygiene and Ecology (Kesihatan Umum dan Ekologi) di Daghestan State Medical Academy, dalam artikel Muslim Rituals and Their Effect the Person Health, wuduk menurutnya dapat merangsang aura tubuh secara semula jadi. Menurutnya rangsangan ini muncul pada seluruh tubuh, khususnya kawasan yang disebut Biological Active Spots (BASes) atau titik aktif biologi. BASes hamper sama dengan titik-titik refleksiologi ala Cina. Biasanya bagi memberikan kesan  urutan itu, perlu tekanan atau tusukan jarum.

Walaupun berwuduk hanyalah sekadar usapan dan sapuan lembut tetapi ia sebenarnya amat mencukupi untuk memberikan kesan kepada Biological Actives Spots (BASes)  ini. Ini kerana, walaupun terdapat 700 BASes ditubuh kita tetapi 65 daripadanya akan memberi kesan refleksi yang cepat. Tempat ini dikenal sebagai drastic spot. Menurutnya lagi, kesan sapuan muka yang didalam perubatan moden dipanggil sebagai hidromassage akan memberi kesan positif pada ginjal dan system saraf ataupun pada organ genital.

Disamping itu, wuduk juga berkesan mencegah daripda masuknya kuman penyakit melalui kulit. Ini kerana kulit adalah organ terbesar tubh kita. Kulit yang membungkus tubuh kita memiliki keberatan 10 paun, seluas dua meter persegi dan ketebalan satu perpuluhan empat hingga empat milimeter dengan kemampuan regenerasi yang dahsyat. Setiap hari, hamper 10 juta sel kulit mati. Kematian sel-sel kulit ini adalah kotoran daki. Kulit juga berfungsi untuk menutup seluruh tubuh serta melindungi daripada pelbagai jangkitan kuman, racun, bahan kimia berbahaya dan sinar radiasi. Antara fungsi lain kulit adalah mengatur suhu tubuh, melakukan fungsi perkumuhan dengan membuang zat-zat yang tidak berguna melalui liang-liang peluh. Kulit juga adalah media komunikasi antara sel-sel saraf bagi rangsangan haba, sentuhan serta tekanan.

Melalui berwuduk kita menyapu permukan tujuh bahagian anggota tubuh kita yang tidak dilindungi oleh pakaian secara minimum sebanyak 15 kali dengan air bersih. Ini juga anggota tubuh yang paling banyak terdedah kepada dunia luar. Oleh itu, kulit mempunyai paling banyak populasi mikroorganisma. Berwuduk bertindak mengurangkan mikroorganisma serta menurunkan risiko kewujudan bakteria di dalam tubuh kita.

 Dalam kajian yang lain, dibuktikan bahawa berwuduk membantu proses regenerasi kulit, iaitu pengantian sel-sel lama dan baru. Kesetabilan kulit ditentukan oleh nilai pH iaitu keasidan dan kelembaban kulit. Bersuci adalah salah satu cara menjaga kesetabilan itu khususnya kelembaban kulit. Kulit yang terlalu kering juga merbahaya bagi kesihatan kulit. Ini memudahkan ianya dijangkiti kuman.

 Melalui amalan membasuh tangan ketika berwuduk  kita dapat mengawal daripada terkena wabak penyakit dan sebagainya. Ini kerana melalui telapak tanganlah kita banyak berinteraksi dengan dunia luar seperti bersalaman, menggengam, menyentuh ataupun memetik jari. Menggunakan tangan juga kita bersentuhan dengan segala benda sekeliling kita.  Bahkan lebih daripada 70% penyakit berjangkit seperti cacing disebabkan oleh kontaminasi melalui sentuhan tangan.

Amalan membasuh tangan di awal berwuduk sebenarnya menepati kaedah standard yang diamalkan di dalam bidang perubatan. Ini terbukti di dalam dunia perubatan, protocol standard yang pertama sebelum pekerja perubatan mula bekerja juga adalah mencuci tangan dan membilasnya dengan sabun. Ini berlaku terutamanya apabila hendak melakukan pembedahan ataupun lain-lain rawatan perubatan yang invasivf. Oleh itu, tidak hairanlah wuduk dimulakan dengan mencuci kedua belah tapak tangan.

Seterusnya melalui amalan berkumur ketika berwuduk juga akan menjaga aspek kesihatan kita. Berkumur akan melindungi mulut dan tekak daripada inflamasi dan membersihkan gigi dan sisa makanan. Terdapat tidak kurang daripada 100 juta bacteria per milimeter dalam sampel biasa permukaan gigi ataupun kelenjar ludah manusia normal yang sihat. Dengan berkumur ketika berwuduk dapat membersihkan mulut dan seterusnya dapat mencegah risiko jangkitan penyakit.

Seterusnya amalan Istinsyaq ataupun menghirup air kedalam hidung adalah perbuatan yang mungkin tidak pernah dilakukan oleh seseorang melainkan ketika berwuduk. Menurut pakar bedah tumur Dr Bahar Azwar, apabila terdapat tumur yang tersembunyi di dalam hidung aliran air ke dalam hidung yang menyapu bahagian nasopharyng merangsang pendarahan pada tumur itu. Melalui kegiatan istinsyaq ini dapat membantu dalam pengesanan awal tumur di bahagaian nasopharyng yang tersembunyi.

Begitu juga melalui istinsyaq kita berupaya membersihkan selaput lender hidung yang mungkin kontiminasi oleh udara kotor dan kuman. Ini kerana hidung adalah organ terbuka dan di dalam rongga hidung juga mungkin terdapat kuman-kuman. Satu ketika dahulu apabila penyakit SARS merebak ke seluruh Asia termasuk Malaysia ia merebak melalui titisan air yang keluar di udara semasa penghidapnya bersin ataupun batuk. Melalui istinsyaq ia akan dapat mencegah jangkitan spt SRAS  diperingkat awal lagi.

Di sini jelas bahawa amalan berwuduk membawa faedah yang banyak. Ia memberikan pengamalnya faedah di dunia dan juga akhirat. Bukti sains menjelaskan kepada kita kebenaran ajaran Rasulullah S.A.W. Marilah kita beramal dan melazimkan diri sentiasa dalam keadaan berwuduk bukan sahaja ketika untuk mendirikan solat semata-mata.

Friday, 14 October 2011

Hudud Perlu Dilaksanakan Di Seluruh Negara, Tengok Fakta Ini

Semua orang bercakap berkaitan pelaksanaan hukum hudud. Ada yang menyokong dan menentang dengan pelbagai alasan. Malangnya, hanya Kelantan nampaknya yang bersungguh-sungguh hendak melaksanakan hukum hudud ini. Seolah-olah negeri lain tidak perlu dan seolah-olah negeri mereka sudah baik segala-galanya. Saya ada bukti hudud kena dilaksanakan diseluruh negara terutama untuk membendung masalah kelahiran anak zina. Kesalahan zina termasuk di dalam hukum hudud. Sila baca fakta di bawah;
                       

              CARTA STATISTIK ANAK TAK SAH TARAF
            MENGIKUT NEGERI DI MALAYSIA (2006- 2010)

NEGERI
2006
2007
2008
2009
2010
JOHOR
4,409
5,239
5,622
5,425
5,251
KEDAH
1,354
1,799
1,741
1,742
1,754
KELANTAN
850
1,076
1,145
1,221
1,279
MELAKA
815
977
1,065
1,077
984
N.SEMBILAN
1,535
1,645
1,658
1,577
1,654
PAHANG
1,788
2,125
1,960
2,177
2,182
PULAU PINANG
1,375
1,572
1,573
1,679
1,586
PERAK
2,383
2,599
2,746
2,945
3,060
PERLIS
171
319
235
244
207
SELANGOR
4,993
5,728
6,162
6,211
6,610
TERENGGANU
588
701
824
952
891
SABAH
9,978
10,063
10,638
15,207
15,645
SARAWAK
3,553
4,907
5,444
6,027
6,099
KUALA LUMPUR
3,340
4,015
4,375
3,882
3,838
LABUAN
195
256
336
394
353

Cuba tengok data anak-anak luar nikah yang dilahirkan mengikut negeri spt jadual diatas. cth th 2010 Sabah 15,645, Selangor 6610, Johor 5251. Kalau rajin tolong kira sendiri, jumlah kelahiran keseluruhan ikut negeri bagi tempoh 5 tahun. Cukup menakutkan !!Kalau hendak kira Allah sudah layak turunkan gempa bumi di Malaysia ini. Tidak mustahil perkara ini akan berlaku sekiranya Allah benar-benar telah murka. Hukum hududpun manusia hendak main-mainkan lagi. Sewajarnya seluruh umat Islam berkerjasama untuk menangani isu ini. Allah Akbar.

Sunday, 9 October 2011

SAINS MENGAKUI KELEBIHAN SETIAP WAKTU SOLAT UNTUK KESIHATAN

Sesungguhnya, solat mempunyai waktu khusus sehari semalam sebagaimana ibadah haji yang juga mempunyai waktu khusus. Berkaitan waktu solat Allah berfirman: " Sesungguhnya solat itu adalah kewajiban yang ditentukan waktunya atas orang yang beriman.". Ketentuan Allah berkaitan waktu solat ini sudah tentu mempunyai hikmah tersendiri.

Waktu solat subuh yang datang pada waktu fajar dan sebelum matahari terbit adalah sebaik-baik waktu bagi kesihatan. Ketika ini udara bersih. Embun telah menurunkan dan membersihkan udara dari kekotaran debu dan gasa-gas merbahaya seperti karbondioksida dan lainnya. Bagi mendirikan solat pastinya seseorang itu akan bagun tidur di awal pagi dan ini baik untuk kesihatan. Dengan mengambil wuduk dan berjalan ke masjid ini dengan sendirinya seseorang itu telah memulakan kehidupan pada pagi itu dengan proses pembersihan diri dan melakukan sedikit riadah yang diperlukan oleh tubuh. Perbuatan ini akan melahirkan perasaan semangat, segar dan membuang sifat malas.

Manakala waktu zohor pula adalah waktu penyegar semangat dan fizikal manusia. Secara biologi pada waktu itu badan kita memerlukan waktu tambahan. Ini kerana aktiviti daripada pagi hingga tengah hari banyak menggunakan tenaga. Selain tubuh bebas seketika daripada kesibukan kerja, solat zohor juga berfungsi sebagai penenang keadaan yang disebabkan perut lapar.

Waktu solat Asar pula berada ketika hampir selesai dan tubuh badan dalam keadaan letih. Berdasarkan kajian Dr Zahir Qarami solat Asar dapat menjauhkan seseorang daripada penyakit jiwa dan fizikal. Menurutnya lagi solat Asar dapat menurunkan hormon andrenalin yang dihasilkan pada pukul 3 hingga 4 petang, yang mana dapat menimbulkan pelbagai penyakit. Katanya, ketika manusia menghadapi kesulitan dan tidak melakukan pergerakkan serta reaksi fizikal, maka perkara itu dapat menyebabkan penyakit jiwa dan fizikal kerana pengaruh hormon andrenalin yang meningkat secara berterusan.

Waktu solat Maghrib pula berubahnya terang menjadi gelap, sekaligus ketika pekerjaan selesai dan menjelangnya waktu istirehat malam. Sementara waktu Isyak tiba pada saat kita mengakhiri aktiviti seharian. Itu adalah waktu yang sesuai bagi memperbaiki peredaran darah dan mengantur pernafasan. Menurut kajian Sains juga waktu-waktu solat akan memberi kesan pada tubuh sebagaimana berikut;

1. Solat subuh organ yang terkesan ialah paru-paru. Paru-paru menyerap oksigen (02) sebagai bahan bakar bagi metabolisma tubuh hingga manusia dapat beraktiviti.

2. Dhuha akan memberi kesan organ usus besar dan perut. Di mana ia akan meningkatkan penyerapan makanan sebagai sumber tenaga bagi beraktiviti sepanjang hari.

3. Zohor akan memberi kesan organ jantung. Ia adalah fasa penyejuk kerana seluruh 11 sistem tubuh sudah bekerja optimum dari pelbagai aktiviti yang dilakukan manusia pada siang hari.

4. Asar dan Maghrib akan memberi kesan pada organ ginjal dan usus kecil. Di sini ia bertindak sebagai fungsi detoksifikasi, di mana seluruh sisa metabolisma dibuang melalui ginjal dan usus kecil.

5. Isyak akan memberikan kesan pada organ hati dan pankreas. Proses berlaku dimana penyerapan bagi menganti sel-sel mati sekaligus sebagai proses pembentuk imuniti (daya tahan tubuh) hingga selepas Isyak, tubuh memerlukan istirehat supaya proses pembaikan berjalan optimum.

Begitulah hikmah disebalik waktu-waktu solat yang dikerjakan mengikut waktu yang ditentukan. Yang penting bagi kita marilah kita melakukan solat di awal waktu sebaik sahaja kemasukan waktu-waktu solat tersebut berlaku. Dengan berbuat demikian sebenarnya kita telah memenuhi sunnah Rasulullah s.a.w. yang sentiasa bersolat di awal waktu. Maka siapa yang solat diawal waktu mereka akan mendapat ganjaran pahala yang besar disamping nikmat kesihatan yang baik dan berguna untuk diri.

Friday, 7 October 2011

PANDANGAN SAINS MENGENAI AMALAN BERZIKIR, DAN MEMBACA AL QUR'AN PADA KESIHATAN SESEORANG

Terdapat banyak keterangan oleh al-Qur’an, Hadis dan para ulama menyentuh kelebihan membaca al-Qur’an, zikir dan juga doa. Berikut adalah beberapa pandangan para Saintis berkaitan kelebihan amalan tersebut; Menurut kajian Dr Ahmad E.Kadi membaca al-Qur’an berupaya menurunkan tekanan darah, denyutan nadi dan dapat menyebabkan relaxsisasi otot.

Menurut Dr Muhammad Asim Muhammad Khan merujuk kajian yg dibuat oleh Norma E.Capra drp Universiti Maryland, Zikir akan menyebabkan sentuhan pda ‘magic spot’ di bhg lelangit di mulut akan mengaktifkan pengeluaran neourotransmitter dan neuromodulasi di otak yg bermanfaat utk kesihatan. Menurutnya banyak kalimah-kalimah di dalam al-Quran bila disebut akan menyentuh tempat ‘magic spot’ berkenan cth:Kalimah  ‘Allah’, La Ila Hailla Allah dan La Haulawala Quwatailla Billah …”

Seterusnya seorang ahli psikologi Belanda, Prof. Vander Hoven yg menyimpulkan perkataan ‘Allah’ yang diucapkan berulang-ulang baik utk org Muslim ataupun tidak, mampu memberikan pengaruh penyembuhan psikologi. terutama dari perasaan kesal dan tegang.

Manakala Sheikh Mahmoud Chiristy lafaz-lafaf solat ( Qur’an, zikir dan doa) memberi kesan kesihatan. Ini kerana ia beriteraksi dgn alam (memiliki gelombang resonan yg sama dgn alam sekelilingnya). Sesungguhnya di mana seluruh makhluk di alam ini semua bertasbih kpd Allah juga.

Menurut Dr Lorrey Dossy dalam bukunya ‘The Healing Words’ memaparkan kesan doa kepada penyembuhan pesakit. Beliau mengutip satu contoh kajian dibuat oleh Dr Byrd di San Francisco General Hospital pada 1988 kepada 393 pesakit jantung kritikal yg dirawat di ICU selama lebih 10 bulan. Pesakit dibahagi dua kelompok. Pesakit kumpulan A didoakan sehingga mereka meninggalkan hospital. Pesakit kum B tidak diberikan doa. Kelompok yg didoakan tidak diberitahu tujuan doa. Hasilnya sangat menarik. Kelompok yg didoakan meninggalkan hospital lebih awal, insiden terjadinya kegagalan jantung dua kali lebih rendah dan keperluan ubat antibiotiknya menurun sebanyak 25%.

Pandangan para Saintis ini adalah bukti jelas bahawa al-Qur’an, zikir dan doa mempunyai pengaruh besar kepada pengamalnya. Marilah kita beramal dengan ketiga-tiga perkara tersebut.