| Kerajaan Selangor mewujudkan berbagai kempen dan program dalam usaha untuk menangani gejala sosial dalam kalangan rakyat. Dr Halimah Ali selaku Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan negeri bercakap mengenai perkara itu. Ikuti wawancara Arif Atan dan Saidah Hairan di pejabat beliau di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri, Shah Alam, baru-baru ini. |
Harakahdaily: Macam mana SPIES menangani aspek emosi dan sosial? Dr Halimah: Emosi dan sosial saling berkait. Anak muda khususnya boleh patut bangunkan negara tetapi ada pula jahanamkan negara. Dia patut jadi buah hati ibu bapanya tapi dia juga sakiti hati orang tua, ambil dadah, zina, rempit, curi barang dan sebagainya.
Itu yang kita cuba tangani dengan menginsankan insan. Sama macam senarai semak. Meter spiritual akan mempengaruhi cara hidup, emosi dan sosial generasi hari ini dan masa depan.
Bina masjid besar, cantik-cantik sebagai contoh mudah. Apa gunanya kalau ahli kariah tidak masuk dan kalau datang pun keluar dari masjid, hati tetap nak marah saja. Macam mana tu? Sampai rumah sambung marah pada isteri dan anak-anak pula. Pergi tempat kerja, gaduh lagi. Ini yang kita cuba hendak bendung dengan berpandukan konsep SPIES (Spiritual, Physical, Intelellectual, Emotional, Social).
Operasi SPIES...
Semua segmen masyarakat terlibat. Jawatankuasa Keselamatan Kampung (JKK), kepimpinan masjid hinggalah jabatan dan agensi kerajaan. Itu sebab kita masuk kampung. Projek perintis SPIES di kampung ini dapat dilihat di Dun Hulu Kelang, Gombak Setia, Selat Klang.
Dalam masa terdekat di Kampung Sungai Kandis di Parlimen Kota Rajadan Kampung Bukit Kapar pula. Kita laksanakan di kampung yang sudah bersedia mengikuti SPIES. Merekalah yang kemudiannya akan jadi duta SPIES.
Pembangunan insan boleh tangani gejala sosial?
Gejala sosial wujud sebabnya sistem masyarakat kita tidak mantap dan rapuh. Itu yang jadi sekarang. Sistem nilai kita tunggang terbalik. Orang Melayu, jangankan nilai Islam nilai Melayunya pun cair. Sebabnya jati diri dia begitu pudar sebab itu orang kita tengok macam mana artis sebagai role model.
Mulalah pakai cacak sana, warnakan rambut. Punk, Gothic dan entah apa lagi itu yang diikut sebahagian remaja kita. Sistem nilai yang universal dan murni maknanya orang bukan Islam pun mahu. Apa lagi kita sebagai orang Islam.
Namun, untuk tujuan fokus, saya pilih isu besar tentang buang bayi, jual anak dan berkhalwat bukan muhrim di hotel bajet. Hasilnya, digerakkan "Kempen Anti Zina". Saya fokus tentang zina itu dulu.



