Sunday, 9 September 2012

LISLIE TOLE MASUK ISLAM KERANA IKLAN

Oleh DetikIslam
Gara-Gara Iklan Bus, Lislie Tole Masuk Islam 
Kempen yang dijalankan ICNA berkesan berdasarkan jumlah warga AS yang memeluk Islam bertambah.

Lislie C Tole contohnya, mualaf yang bekerja sebagai guru ini pada awalnya penasaran dengan iklan yang ia lihat pada bas di Chicago. Dia mencatat nombor telefon tersebut lalu ia hubungi.

Banyak mendapat maklumat tentang Islam dan Muslim secara lengkap, Leslie mula berfikir untuk menjadi Muslim.

Memang, perlu banyak pertimbangan dalam dirinya sebelum memutuskan menjadi. "Jujur, aku telah banyak mencari tahu tentang Islam. Namun, aku belum boleh komited," kata dia.
Rupanya, iklan dalam bas itu seolah mengingatkan dirinya apakah sudah siap untuk memeluk Islam. Sebab, sudah sekian lama ia mencari tahu tentang Islam dan Muslim. Tak berselang lama, ia mantap memeluk Islam. "Di akhir keputusanku, ada satu soalan iaitu bagaimana menjadi seorang Muslim," ujarnya.

Pengalaman Lislie juga dialami Ilyas. Dia terinspirasi iklan tersebut. Dari iklan itu ia banyak belajar. Satu kesimpulan yang ia dapat. "Islam adalah agama yang sempurna. Sulit untuk menjelaskan kerana anda tahu kebenaran. Hanya hati anda yang dapat menjawabnya," kata Ilyas.

Lislie menilai kempen yang dibesut ICNA cukup bernas. Meski kandungannya sederhana tapi kesannya luar biasa. "Saya tidak pernah melihat sesuatu macam ini sebelumnya. Banyak sekali maklumat yang diperolehi, yang pasti para pembimbing cukup objektif dalam memberikan penjelasan," ungkapnya
Sumber republika.co.id

Thursday, 6 September 2012

KISAH KAAB BIN MALIK DIHUKUM RASULULLAH S.A.W



Siapapun dipecat, siapapun dihukum, siapapun dikenakan tindakan serta merta pasti akan mengalami kejutan yang luar biasa. Fitrah manusia lahirnya pasti akan merasa marah bukan kepalang, dibayangi kesumat yang mencengkam apabila menghadapi tindakan sedemikian. Namun, bagi mereka yang jiwanya kental, niatnya berjuang semata-mata kerana Allah dan Rasul, pastilah tidak merasa sempit dada kerana jalan perjuangan masih panjang. Hukuman bukanlah bererti perjuangan terhenti ditengah jalan, tetapi harus terus konsisten berada di lapangan yang diredhai Allah dan Rasul-Nya.


Itulah Ka'ab bin Malik, biarpun dihukum kerana tidak hadir di medan perang yang tertangguh di Tabuk. Ia bukan menjadi peluang untuk berpaling dari terus berada di dalam nakhoda yang diketuai oleh Rasulullah S.A.W. Peristiwa ini berlaku ketika terdapat ramai puak munafiqin yang tidak menyertai gerakan jihad ke Tabuk. Mereka bukan sahaja gagal menyahut seruan Nabi, bahkan cuba mempengaruhi orang lain supaya menguzurkan diri. Hal ini dirakamkan di dalam surah at Taubah ayat 81 :

"Orang-orang (munafik) yang ditinggalkan (tidak turut berperang) itu, bersukacita disebabkan mereka tinggal di belakang Rasulullah (di Madinah); dan mereka (sememangnya) tidak suka berjihad dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah (dengan sebab kufurnya), dan mereka pula (menghasut dengan) berkata; Janganlah kamu keluar beramai-ramai (untuk berperang) pada musim panas ini. Katakanlah (wahai Muhammad); Api neraka Jahannam lebih panas membakar, kalaulah mereka itu orang-orang yang memahami."


Orang munafik berkata, "Janganlah berpergian dalam keadaan panas."

Lantaran itu Baginda menjawab, "Api neraka Jahannam lebih panas membakar."

Ketika orang-orang munafik menguzurkan diri dari peperangan tersebut, mereka langsung tidak dikenakan tindakan oleh Rasulullah SAW. Tetapi, ketika tiga orang Sahabat Nabi berhadapan dengan Baginda, mereka langsung dikenakan hukuman dari Allah iaitu pemulauan untuk beberapa tempoh yang ditentukanNya. Di antara orang-orang beriman yang tidak menyertai tentera Muslimin ke Tabuk ialah Murarah bin Rabi', Hilal bin Umayyah dan Ka'ab bin Malik.

Murarah bin Rabi' tidak bersama-sama pasukan Nabi Muhammad SAW kerana hasil tanaman tamar dikebunnya sedang masak dan terpaksa dikutip. Lalu beliau menyangka penyertaannya dalam lain-lain peperangan sebelum ini, dapat melepaskan dirinya daripada peperangan yang seterusnya bakal dihadapi oleh kaum Muslimin.

Manakala Hilal bin Umayyah pula sibuk mendampingi kaum keluarganya yang baharu pulang ke Madinah setelah sekian lama meninggalkan kota itu. Seperti Murarah, Hilal juga menyangka penyertaannya di dalam beberapa peperangan terdahulu bersama Rasulullah SAW, mengizinkan sebab keuzurannya.

Ka'ab bin Malik pula saat itu sedang menikmati kesenangan yang sebelum ini tidak pernah dinikmatinya, kebunnya subur, unta-untanya beranak-pinak. Hal itu menyebabkan Ka'ab telah tertinggal kebelakang dari turut bersama pasukan Rasulullah SAW di Tabuk. Hal ini disedari oleh Rasulullah apabila Baginda bertanya kepada Para Sahabat, di mana Ka'ab bin Malik? Menyedari reaksi Rasulullah S.A.W tertanya-tanya, Para Sahabat meminta Ka'ab menemui Baginda sejurus sampai ke Madinah.

"Apa yang menghalangi kamu? Bukankah kamu telah membeli unta?", tanya Rasulullah SAW kepada Ka'ab.

Lantas Ka'ab menjawab, "Ya RasulAllah SAW, kalau orang lain sudah tentu aku memberikan alasan-alasan yang munasabah kerana Allah mengurniakanku kefasihan. Tetapi kepada Baginda Rasulullah, walaupun aku dapat memberi keterangan-keterangan dusta yang mampu memuaskan hati, sudah tentu Allah akan memurkaiku. Oleh itu aku bercakap benar. Demi Allah! Aku tiada sebarang alasan pun sedangkan pada waktu itu hidupku mewah dan jauh dari sebarang keuzuran."

Kesalahan Ka'ab bin Malik, Murarah bin Rabi' dan Hilal bi Umayyah tidaklah begitu serius jika hendak dibandingkan dengan seruan-seruan supaya tiadanya wala' dalam jamaah, ataupun menubuhkan pasukan lain untuk menyaingi pasukan Rasulullah SAW. Lagi pula pertempuran sebenarnya tidak berlaku di Tabuk, bahkan pasukan Rasulullah SAW kembali ke Madinah dalam keadaan tidak berperang. Tetapi mereka tidak berdolak-dalih dan redha terhadap hukuman yang dikenakan oleh Rasulullah. Mereka bertiga dipulaukan untuk beberapa tempoh yang ditentukan. Tidak ada seorang pun yang boleh bergaul dengan mereka bertiga, kerana itu arahan Rasulullah SAW.

Ketika itu dunia yang begitu luas menjadi sempit kepada mereka bertiga akibat hukuman ini. Hal ini lebih membimbangkan lagi jika di antara mereka menemui ajal, pastilah Nabi Muhammad SAW tidak akan mengimami solat jenazah mereka. Sebaliknya pula jika Baginda SAW wafat, sudah tentu pemboikotan yang dikenakan ke atas mereka berterusan sehingga ke akhir hayat.

Kekhuatiran itu menyebabkan Ka'ab bin Malik sering memberanikan diri menghampiri Nabi Muhammad SAW sambil memberikan salam. Ka'ab menunggu-nunggu jawapan Baginda SAW dengan penuh penyesalan dan harapan, namun kerapkali pertemuannya membuahkan kehampaan. Pernah satu ketika Ka'ab memanjat pagar kebun sepupunya, Qatadah. Ka'ab mengucapkan salam kepadanya tetapi tidak berjawab. Lantaran itu Ka'ab menggesanya supaya menjawab hanya satu soalan sahaja. Ka'ab bertanya, "Engkau tahu atau tidak yang aku mencintai Allah dan Rasul-Nya?"

Soalan itu diulangi sebanyak tiga kali. Pada kali yang ketiga baharulah Qatadah menjawab, "Hanya Allah dan Rasul-Nya yang mengetahui."

Mendengar jawapannya itu Ka'ab menangis lalu meninggalkannya.

Di suatu sudut lain ketika Ka'ab dikenakan pemulauan tersebut, banyak suara yang membelanya, banyak suara empati tentang hukumannya, bahkan ada juga suara yang memujuk dan mengajaknya agar berpaling dari kumpulan Rasulullah SAW. Pujukan itu berupa tawaran-tawaran jawatan, jabatan, kedudukan, kemuliaan yang mungkin akan diberikan oleh seorang raja dari Ghassan yang beragama Nasrani dari negeri Syam. Ini kerana kewibawaan yang dimiliki oleh Ka'ab dianggap memiliki daya tarikan yang cukup kuat, pengaruh yang cukup hebat, yang mampu memberikan kepentingan apapun yang diinginkan oleh pihak lain terhadapnya.

Itulah apa yang dialami oleh Ka'ab bin Malik setelah berita pemulauannya sampai ke pengetahuan Raja Ghassan. Raja Ghassan kemudiannya menyerahkan sepucuk surat yang berbunyi, "Kami telah mengetahui penganiayaan yang kamu perolehi dari pemimpinmu (Nabi Muhammad). Allah tidak akan membiarkan kamu dalam keadaan hina dan malu. Ada baiknya kamu menyertai kami, dan kami akan memberi segala pertolongan kepada kamu."

Luar biasa perhatian Raja Ghassan kepada Ka’ab bin Malik. Ketika posisi Ka'ab berada dalam keadaan kritikal kerana dihukum oleh Nabi, seorang Raja yang punya kerajaan, punya harta dan takhta memberikan perhatian khusus kepadanya. Pada saat semua Sahabat tidak peduli kepada Ka'ab, ternyata masih ada orang yang ingin menyapanya, bahkan ia adalah seorang Raja.

Mujurlah yang mendapat surat itu Ka'ab bin Malik, seorang mujahid yang hebat. Beliau bukan orang yang mudah dipujuk rayu. Beliau bukan orang yang mudah diajak melakukan bangkangan terhadap gerakan yang dipimpin Rasulullah SAW. Tidak ada ungkapan pembandingan yang keluar dari mulut Ka’ab seperti, "Orang luar pula yang memberikan perhatian kepada nasibku. Sahabat-sahabatku, jiran tetanggaku, orang yang satu jama’ah denganku, langsung tidak peduli dengan diriku".

Tidak ada garis kalimat seperti itu yang tercetus dari mulut Ka’ab bin Malik. Beliau menyedari, surat Raja Ghassan itu adalah ujian berikutnya yang harus dihadapi dengan sepenuh kesedaran dan kefahaman. Adapun matlamat dunia dan akhirat yang diinginkannya adalah keredhaan Allah dan Rasul-Nya. Bukan pengakuan orang, bukan apresiasi Raja Ghassan. Surat Raja Ghassan itu benar-benar merupakan sebuah ujian keikhlasan yang datang tepat pada waktunya, dan Ka’ab mampu melalui ujian ini dengan sempurna.

Ka'ab bin Malik memasukkan surat Raja Ghassan itu ke dalam relung api dan membakarnya. Lalu Ka'ab terus berjumpa dengan Nabi Muhammad SAW sambil berkata, "Ya RasulAllah SAW, hampir-hampir aku tergelincir ke dalam jurang kehinaan yang amat dahsyat, sehinggakan orang-orang kafir menyangka aku akan murtad."

Mendengar keluhan Ka'ab bin Malik itu, Rasulullah SAW tetap berdiam, bahkan tidak memberi respon ke atas apa yang berlaku kepada Ka'ab.

Selepas 40 hari pemulauan itu berjalan, dan harapan agar berita berakhirnya masa hukuman ke atas tiga orang Sahabat Nabi segera diutuskan, seorang utusan Nabi Muhammad SAW mendatangi Ka'ab dengan membawa satu perintah baharu, iaitu perintah supaya ketiga-tiga orang Sahabat yang dipulau ini berjauhan dengan isteri. Utusan yang datang bukan utusan pengampunan, justeru menambahkan lagi hukuman berikutnya iaitu berpisah tempat tinggal dengan isteri. Hidup dirasakan seperti di dalam penjara, tanpa teman, tanpa anak dan isteri yang menemani.

Lengkap sudah kesunyian ini, ketiga-tiga Sahabat Nabi ini menjalani babak baharu dalam hukumannya. Mereka adalah mujahid sejati, mereka tidak memberontak dan menolak hukuman berikutnya. Kata Ka'ab yang akur dengan arahan ini kepada isterinya, "Pergilah kamu tinggal bersama-sama orang tuamu sehingga Allah menentukan sesuatu hukuman lain bagiku."

Justeru bersantai sahaja di rumah dan tidak bersama-sama kaum Muslimin ke medan perang bukanlah kesalahan yang ringan. Buktinya hukuman masih ditambah dan ditingkatkan.

Di antara tiga orang Sahabat yang dikenakan tindakan pemulauan ini, Hilal sahaja yang memiliki masalah yang berbeza kerana usianya yang sudah terlalu tua jika dibandingkan dengan Ka’ab dan Murarah. Lantarn itu, isteri Hilal bin Umaiyah datang menghadap Rasulullah SAW dan mengadu bahawa suaminya sudah tua dan tidak memiliki pembantu untuk merawatnya. Isterinya tidak sanggup membiarkan Hilal yang sudah tua itu menjalani kehidupan sendiri. Lantaran kebijaksanaan Baginda Nabi SAW, permintaan isteri Hilal bin Umaiyah diperkenankan.

Begitulah mulianya adab Para Sahabat. Bila arahan dikeluarkan oleh Nabi SAW, mereka mendengar dan taat. Ketika hukuman itu terasa memberatkan bagi orang seusia Hilal bin Umaiyah, isterinya pula mengusahakan keringanan bagi suaminya. Menghadap Nabi SAW dengan penuh akur terhadap arahan dan mengharapkan belas dari Baginda disebabkan kondisi suaminya itu. Itu semua merupakan hak yang diakui oleh Baginda Nabi SAW, dan ia bukan suatu keaiban dan kesalahan. Sesungguhnya ini adalah contoh interaksi yang sangat mulia, antara orang-orang beriman, yang sangat mencintai Allah dan Rasul-Nya.

Pemulauan terhadap tiga orang Sahabat Baginda SAW berakhir sebaik sahaja terdengar orang menjerit dari kemuncak bukit, "Ada berita gembira buat kamu wahai Ka'ab!"

Sebaik sahaja mereka bertiga mendengar berita pengampunan itu, mereka masing-masing bersujud dengan gembiranya sambil mengucapkan syukur kepada Allah. Seluruh Sahabat mengucapkan tahniah kepada mereka dan ketika itu wajah Baginda SAW berseri-seri dengan cahaya kegembiraan.

Inilah kesan tarbiyah dari peristiwa yang sangat mustahak diambil pengajarannya. Peristiwa menarik seperti ini hanya dapat kita saksikan dari generasi terbaik di zaman Baginda Nabi SAW. Ia memberikan pelajaran kepada kita semua, sekalipun pengajaran itu melalui kesilapan orang-orang soleh terdahulu. Ini kerana, jika generasi keemasan Islam tidak pernah ada orang bersalah, untouchable, maka kita tidak dapat mengambil ibrah dari kesilapan mereka.

Semua orang memiliki peluang melakukan kesalahan, dan sebaik-baik orang bersalah adalah yang bersedia mengakui kesalahan itu dan melakukan perbaikan. Salah satu usaha perbaikan itu adalah dengan jalan menerima hukuman, dan menjalaninya dengan sepenuh kesedaran dan kerelaan.


6 Sept  2012

http://tarbawi.my

RAHSIA CAP JARI DIBONGKAR AL QUR'AN SEJAK 1400 TAHUN DAHULU


Allahy berfirman yang bermaksud;
Apakah manusia mengira bahawa kami tidak akan mengumpulkan (kembali) tulang-temulangnya?. Bahkan, Sebenarnya Kami berkuasa untuk menyusun (kembali) jari-jemarinya dengan sempurna. (Surah al-Qiyamah; 3-4)
Ketika Tuhan menyatakan dalam Al-Qur'an bahawa amat mudah bagiNya untuk membangkitkan manusia selepas kematian, cap jari manusia secara khusus ditekankan;
Kepentingan dalam cap jari mempunyai pengertian yang istimewa. Ini adalah kerana set cap jari setiap orang adalah unik bagi dirinya. Setiap orang yang hidup atau pernah hidup dalam dunia ini mempunyai satu set cap jari yang unik.
Ini adalah sebab mengapa cap jari diterima sebagai satu bukti penting pengenalan diri, yang eksklusif kepada pemiliknya, dan digunakan untuk tujuan pengenalan identiti di seluruh dunia.
Tetapi apa yang lebih penting ialah bahawa ciri-ciri cap jari ini baru ditemui pada akhir kurun ke 19. Sebelum itu, manusia menanggap cap jari adalah satu lengkungan yang biasa tanpa sebarang kepentingan atau pengertian yang spesifik. Bagaimanapun dalam Al-Qur'an, Tuhan mengisyaratkan cap jari, fakta yang tidak menarik minat siapa ketika itu, dan menarik tumpuan kita kepada kepentingannya- satu kepentingan yang akhirnya baru difahami hari ini.

DOA SEORANG IBU



Nabi Musa AS bermunajat kepada Allah SWT, “Ya Allah, tunjukkanlah siapa yang akan menjadi kawanku kelak di syurga?” Kemudian Allah SWT mewahyukan kepada Nabi Musa, “Wahai Musa, orang pertama yang melewati engkau di jalan ini dialah kawanmu di syurga”.
Tidak lama selepas itu, seorang pemuda melintasi di depan Nabi Musa, maka beliau mengikutinya untuk mengetahui apa amalan pemuda tadi sehingga dia mendapat kedudukan mulia di syurga, berdampingan dengan para Nabi.
Beberapa langkah berlalu, kemudian si pemuda memasuki sebuah rumah, dia duduk bersimpuh di depan seorang wanita tua, lalu mengeluarkan sepotong daging dan memanggangnya, kemudian setelah cukup masak dia menyuapi wanita tua itu dengan perlahan dan penuh kasih sayang. Setelah selesai dia menuangkan air ke mulut wanita itu dan keluar.
Nabi Musa bertanya, “Demi Kebesaran Allah, siapakah wanita ini?”, si pemuda yang belum tahu siapa yang bertanya ini menjawab, “dia adalah ibuku”. Nabi Musa bertanya lagi, “Apakah dia tidak mendoakan kamu?”, “Ya, dia selalu mendoakan saya setiap hari dengan satu doa, tidak pernah diganti dengan doa lain”, jawab pemuda itu.
“Apa doa yang dipanjatkannya?”, Tanya Nabi Musa lebih lanjut. Dia menjawab, “Ibuku itu berdoa, Ya Allah jadikanlah anakku ini bersama Musa bin ‘Imran di syurga”.
Nabi Musa senang dengan doa ini dan terlihat kegembiraan menyelimuti wajah beliau, lalu berkata, “Wahai pemuda, bergembiralah, Allah telah mengabulkan doa ibumu, akulah Musa bin ‘Imran”.
Jika kita menyemak kisah ini, tentunya dapat dibuat sebuah kesimpulan, bahawa anak yang berbakti kepada orang tuanya terutama ibu, pasti akan mendapat balasan yang layak baginya, iaitu syurga. Begitulah kita mengetahui, bahawa syurga berada di bawah telapak kaki ibu. Dan doa orang tua kepada anaknya pasti dikabulkan oleh Allah. Dalam atsar disebutkan:
“Doa orang tua untuk anak seperti doa para Nabi untuk umatnya”

Wednesday, 5 September 2012

DAHSYATNYA TENAGA DOA


Doa merupakan kekuatan dan tenaga yang tiada taranya kerana ia berhubung dengan Zat Yang Maha Kuasa. Doa bagi seorang mukmin adalah senjata (wasilah) kerana tidak ada perlindungan dan daya kecuali dari ALLAH SWT. Doa adalah ibadah. Doa adalah senjata. Doa adalah benteng. Doa adalah ubat. Doa adalah pintu segala kebaikan.
Dari Ali bin Abi Thalib ra, Rasulullah Shollallahu Alaihi Wassalam bersabda:
“Doa adalah senjata orang beriman, tiang agama dan cahaya langit dan bumi.
Kekuatan atau kedahsyatan doa bagi seorang muslim tidak dapat dinafikan lagi. Doa adalah senjata buat kaum muslimin, Ad Du‟au Silahul Mu‟min. Di saat canggihnya pelbagai mesin dan persenjataan abad moden ini, strategi dan kaedah peperangan, kekuatan dan kedahsyatan doa tetap tidak dinafikan dan hanya dimiliki oleh orang-orang beriman. Hal ini disebabkan orang-orang yang beriman selain daripada berusaha semaksima mungkin dalam setiap amal yang dilakukannya, dia juga tidak pernah lupa menggantungkan seluruh usahanya melalui doa kepada ALLAH S.W.T. Doa adalah senjata buat orang-orang mukmin, yang telah ditauladankan dari para Nabi dan Rasul, para sahabat, salafus sholeh.
Doa itu mampu mengubah yang tidak mungkin menjadi mungkin, yang biasa-biasa menjadi tidak terkata, yang berat jadi ringan, yang jauh menjadi dekat. Itulah dahsyatnya kekuatan doa. Dengan doa segalanya menjadi mungkin atas izin ALLAH S.W.T.
Sesungguhnya perintah-Nya apabila Dia menghendaki sesuatu hanyalah berkata kepadanya:
“Jadilah!” maka terjadilah ia. (Surah 36 : Yaasin : 82)
Sesungguhnya perkataan Kami terhadap sesuatu apabila Kami menghendakinya, Kami hanya mengatakan kepadanya:
“Kun (jadilah)”, maka jadilah ia. (Surah 16 : An Nahl : 40)
Kesilapan Berdoa :
1. Orang yang tidak pernah berdoa dikala susah dan senang
Dan Tuhanmu berfirman:
“Berdoalah kepada-Ku, nescaya akan Kuperkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri dari menyembah-Ku akan masuk neraka Jahanam dalam keadaan hina dina”. (Surah 40 : Al Mukmin : 60)
2. Orang yang berdoa ketika sedang menghadapi kesulitan, walaupaun dia terlepas dari kesulitan yang dialami dirinya mereka seolah-olah lupa pernah berdoa kepada ALLAH S.W.T untuk melepaskan diri mereka daripada kesulitan tersebut.
Dan apabila manusia ditimpa bahaya dia berdoa kepada Kami dalam keadaan berbaring, duduk atau berdiri, tetapi setelah Kami hilangkan bahaya itu daripadanya, dia (kembali) melalui (jalannya yang sesat), seolah-olah dia tidak pernah berdoa kepada Kami untuk (menghilangkan) bahaya yang telah menimpanya. Begitulah orang-orang yang melampaui batas itu memandang baik apa yang selalu mereka kerjakan. (Surah 10 : Yunus : 12)
3. Orang yang berdoa bergantung kepada suasana hatinya
4. Orang yang pernah berdoa tetapi menghentikan doanya kerana berputus asa (doanya tidak dikabul)
Dari Abu Hurairah Radhiyallahu ‘anhu bahwasanya Nabi S.A.W bersabda :
Do’a seorang hamba akan selalu dikabulkan selagi tidak memohon sesuatu yang berdosa atau pemutusan kerabat, atau tidak tergesa-gesa. Mereka bertanya : Apa yang dimaksud tergesa-gesa ? Beliau menjawab : ” Dia berkata ; Saya berdoa berkali-kali tidak dikabulkan, lalu dia merasa menyesal kemudian meninggalkan doa”. (H.R. Muslim).
5. Orang yang selalu berdoa dikala susah mahupun senang dan tidak pernah putus asa dari rahmat ALLAH S.W.T
Hai manusia, kamulah yang berkehendak kepada Allah; dan Allah Dia-lah Yang Maha Kaya (tidak memerlukan sesuatu) lagi Maha Terpuji. (Surah 35 : Faathir : 15)

Sumber: http://www.halaqah.net/

ALLAH TIDAK JAUH.DOA SENTIASA MUSTAJAB



ANTARA tanda kasih sayang dan rahmat Allah kepada hamba-hamba-Nya adalah Dia tidak mewujudkan sebarang halangan untuk seorang hamba memohon kepada-Nya. Insan diperintahkan berhubung langsung dengan Allah tanpa sebarang ‘broker’ dalam hubungan yang suci itu. Tiada sebarang perantaraan antara Allah dan hamba-hamba-Nya.
Islam menolak segala unsur keberhalaan yang menjadikan makhluk sebagai tuhan jelmaan menggantikan tuhan yang hakiki. Islam menganggap perbuatan memohon kemakbulan doa dari makhluk adalah syirik. Tidak kira siapa pun makhluk itu. Sama ada dia nabi ataupun wali.
Seorang muslim tidak diizinkan pergi ke kubur mereka dan menyeru: wahai fulan tolonglah saya! Atau: Wahai nabi tolonglah tenteramkan jiwa saya! Atau: Wahai wali sembuhkanlah penyakit saya!
Perbuatan itu adalah syirik. Mukmin hanya meminta doa daripada Allah. Firman Allah: (maksudnya)
Dan tiada yang lebih sesat dari orang yang menyeru selain Allah, yang tidak dapat menyahut seruannya sehinggalah ke hari kiamat, sedang mereka (makhluk-makhluk yang mereka sembah itu) tidak dapat menyedari permohonan tersebut. Dan apabila manusia dihimpunkan (untuk dihitung amalan pada hari akhirat), segala yang disembah itu menjadi musuh (kepada orang-orang yang menyembahnya) dan membantah mereka - (surah al- Ahqaf: 5-6)
Firman Allah: (maksudnya)
Allah jua yang memasukkan malam kepada siang dan memasukkan siang kepada malam (silih berganti), dan Dia yang memudahkan peredaran matahari dan bulan; tiap-tiap satu dari keduanya beredar untuk suatu masa yang telah ditetapkan. Yang melakukan semuanya itu ialah Allah Tuhan kamu, bagi-Nyalah kuasa pemerintahan; sedangkan mereka yang kamu sembah selain Allah itu tidak mendengar permohonan kamu, dan kalaulah mereka mendengar pun, mereka tidak dapat memperkenankan pemohonan kamu; dan pada hari kiamat pula mereka mengingkari perbuatan syirik kamu. Dan (ingatlah) tiada yang dapat memberi tahu kepadamu (Wahai Muhammad, akan hakikat yang sebenarnya) seperti yang diberikan Allah Yang Maha mendalam pengetahuan-Nya - (surah Fatir: 13-14).
Maka perbuatan memohon selain Allah, sama ada menyeru berhala secara terang atau memanggil nama para wali seperti Abdul Qadir al-Jailani atau wali ‘songo’ atau apa sahaja termasuk dalam kerja-kerja syirik yang diharamkan oleh nas- nas al-Quran dan al-sunah.
Nabi s.a.w. begitu menjaga persoalan akidah ini. Daripada Ibn ‘Abbas:
“Bahawa seorang lelaki berkata kepada Nabi s.a.w: “Apa yang Allah dan engkau kehendaki.” Maka baginda bersabda kepadanya: Apakah engkau menjadikanku sekutu Allah, bahkan (katakan): apa yang hanya Allah kehendaki. - (Riwayat al-Imam Ahmad dinilai sahih oleh Al-Albani, Silsilah al-Ahadith al-Sahihah, 1/266).
Bandingkanlah ketegasan Nabi ini dengan ajaran sesetengah guru tarekat atau sufi yang mencetuskan segala unsur keajaiban pada diri mereka agar dikagumi oleh pengikutnya. Akhirnya, mereka seakan Tuhan yang disembah, atau wakil Tuhan yang menentukan penerimaan atau penolakan amalan pengikutnya. Bahkan untung rugi nasib masa depan pengikut pun seakan berada di tangan mereka.
Demikian juga, pengikut yang melampau, berlebih-lebihan memuja tokoh agama, akhirnya boleh terjerumus kepada kesyirikan. Terlampau memuja tokoh seperti itulah yang menyebabkan banyak individu dianggap keramat dan suci sehingga dipanggil ‘tok keramat’ lalu mereka seakan dimaksumkan. Kemudian, datang pula orang-orang jahil ke kubur mereka membayar nazar atau meminta hajat mereka ditunaikan. Sehingga apabila saya ke Urumuqi di China, ada satu gua yang kononnya dianggap tempat Ashabul Kahfi yang disebut dalam al-Quran itu.
Ramai yang pergi melakukan kesyirikan dengan meminta hajat di situ. Saya beritahu bahawa dalam dunia ini entah berapa banyak gua yang didakwa kononnya tempat Ashabul Kahfi. Ada di Turki, Jordan dan lain-lain. Semuanya dakwaan tanpa bukti. Sama juga kononnya tempat-tempat sejarah nabi yang didakwa oleh sesetengah pihak. Tiada petunjuk yang dapat memastikan ketulenannya.
Jika pun benar, mereka bukan tuhan untuk seseorang meminta hajat. Inilah yang terjadi kepada Nabi Isa. Dari seorang nabi yang diutuskan, akhirnya manusia menabalkannya menjadi anak Tuhan. Meminta hajat daripada orang-orang agama atau soleh setelah mereka mati adalah syirik. Islam tidak kenal perkara seperti itu. Islam tulen bebas dari segala unsur kebodohan tidak bertebing itu.
Ada yang cuba membela dengan menyatakan: bukan apa, mereka ini ialah orang yang dekat dengan Allah, kita ini jauh. Maka kita gunakan perantaraan mereka. Macam kita hendak dekat dengan menteri atau raja. Saya kata kepada mereka: Adakah awak menganggap Allah itu sama dengan tabiat raja atau menteri awak? Dakwaan inilah yang disanggah oleh al-Quran sekeras-kerasnya.
Firman Allah: (maksudnya)
Ingatlah! Hanya untuk Allah agama yang bersih (dari segala rupa syirik). Dan orang-orang musyrik yang mengambil selain dari Allah untuk menjadi pelindung itu berkata: “Kami tidak menyembah mereka (tuhan-tuhan palsu) melainkan untuk mendekatkan kami kepada Allah sehampir-hampirnya”. Sesungguhnya Allah akan menghukum antara mereka tentang apa yang mereka berselisihan padanya. Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada orang-orang yang tetap berdusta (mengatakan yang bukan- bukan), lagi sentiasa kufur (dengan melakukan syirik) - (al-Zumar:3).
Setelah Allah menceritakan tentang bulan Ramadan dan kewajiban puasa, Allah terus menyebut kemustajaban doa. Ia menunjukkan adanya kaitan yang kuat antara puasa Ramadan dan janji Allah untuk memustajabkan doa hamba-hamba-Nya. Allah berfirman (maksudnya):
Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku. Maka hendaklah mereka menyahut seruan-Ku (dengan mematuhi perintah-Ku), dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku supaya mereka mendapat petunjuk - (surah al-Baqarah: 186).
Demikian, Allah itu sentiasa hampir dengan kita, mendengar dan memperkenankan doa kita. Sesiapapun boleh sampai kepada-Nya. Tiada pengawal atau orang tengah yang menghalang seorang hamba untuk merintih dan merayu kepada Tuhannya. Siapapun hamba itu. Apa pun bangsanya dan apa pun bahasa doanya. Apa pun sejarah buruk dan baiknya. Tuhan sentiasa sudi mendengar lalu memustajabkan pemohonan mereka dengan cara yang dikehendaki-Nya. Bertambah banyak hajat dan permohonan seorang hamba, bertambah kasih dan dekat Allah kepadanya.
Amat berbeza dengan tabiat makhluk yang lemah ini. Walau bagaimana baik pun seseorang dengan kita, namun jika kita terlalu meminta, perasaan jemu dan bosan akan timbul dalam jiwanya. Allah Maha Suci dari demikian. Dia menyuruh kita berdoa dan membanyakkan doa. Ini kerana doa adalah lambang kehambaan diri kepada zat yang Maha Agung. Firman Allah (maksudnya):
Dan Tuhan kamu berfirman: Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat (berdoa kepada-Ku) akan masuk neraka jahanam dalam keadaan hina - (surah Ghafir: 60).
Seseorang kadangkala tidak perasan bahawa apabila dia berdoa kepada Allah sebenarnya dia sedang melakukan ibadah yang besar. Walaupun pada zahirnya kelihatan dia sedang memohon untuk kepentingan diri sendiri, namun hakikatnya dia sedang membuktikan keikhlasan tauhidnya kepada Allah dan ketundukan kepada Tuhan Yang Sebenar. Maka dengan itu Nabi menyatakan: Doa itu adalah ibadah. (Riwayat Abu Daud dan al- Tirmizi, sahih). Jika sepanjang malam seorang hamba berdoa kepada Allah, bererti sepanjang malam dia melakukan ibadah yang besar.
Doa sentiasa diterima oleh Allah. Jika ada yang kelihatan tidak diterima, mungkin ada beberapa faktor yang mengganggu. Mungkin pemohonan itu tidak membawa kebaikan jika dimustajabkan. Allah Maha Mengetahui. Seperti hasrat kita ingin mengahwini seseorang yang kita suka, lalu kita berdoa agar Allah menjadikan dia pasangan kita. Allah lebih mengetahui jika itu tidak baik untuk kita lalu Allah memilih untuk kita pasangan yang lain. Atau Allah memustajabkan doa orang lain yang lebih dikehendaki-Nya. Atau Allah memustajabkan doa calon berkenaan yang inginkan orang lain. Segalanya mungkin.
Namun doa tidak sia-sia. Pahala tetap diberikan, kebaikan yang lain pula akan diganti di dunia dan di akhirat. Sabda Nabi:
Tiada seorang muslim yang berdoa dengan suatu doa yang tiada dalamnya dosa, atau memutuskan silaturahim melainkan Allah akan memberikan kepadanya salah satu dari tiga perkara: sama ada disegerakan kemakbulan atau disimpan untuk diberikan pada hari akhirat, ataupun dijauhkan keburukan yang sepandan dengannya. - (Riwayat Ahmad, al-Bazzar dan Abu Ya‘la dengan sanad yang sahih).
Maka, ada doa kita kepada Allah diterima olehnya di dunia. Ada yang tidak diberi disebabkan hikmat yang Allah lebih mengetahuinya, lalu disimpan doa itu di sisi-Nya untuk diberikan pada hari akhirat dengan yang lebih baik dan lebih utama untuk kita. Atau doa itu ditukar dengan kebaikan-kebaikan yang lain seperti diselamatkan kita dari pelbagai bahaya yang sebahagian besarnya tidak pernah diduga.
Betapa banyak keberbahayaan yang menimpa orang lain, tetapi kita diselamatkan oleh Allah. Tidak juga kerana permohonan kita dalam perkara tersebut atau kebijaksanaan kita, namun barangkali doa kita dalam perkara yang lain, lalu diberikan gantian keselamatan untuk kita dalam perkara yang tidak diduga.
Kadangkala Dia tidak memberikan kepada kita sesuatu permohonan disebabkan rahmat-Nya kepada kita. Barangkali ingin menyelamatkan kita. Dia Maha Mengetahui, jika diberikan, mungkin kita hanyut atau menempuh sesuatu yang merugikan kehidupan di dunia atau akhirat. Kita pun demikian.
Bukan bererti apabila seorang bapa tidak tunaikan kehendak anaknya tanda kebencian terhadapnya. Bahkan sebahagian besarnya kerana kasih sayang dek bimbang jika diberikan akan mendatangkan kemudaratan. Maha Suci Allah untuk dibandingkan dengan kita semua, namun yang pasti rahmat-Nya sentiasa melimpah. Jika Dia menangguhkan doa kita, tentu ada hikmah-Nya.
Di samping itu hendaklah kita faham, doa itu bermaksud permohonan. Seorang yang berdoa mestilah bersungguh-sungguh dalam doanya. Maka tidaklah dinamakan berdoa jika tidak faham apa yang kita doa. Sebab itu saya amat hairan dengan sesetengah orang yang berdoa tanpa memahami maksud. Sesetengah mereka menghafal teks Arab kerana hendak menjadi ‘tekong’ doa dalam pelbagai majlis.
Malangnya, ada yang tidak faham apa yang dibaca dan yang mengaminkan pun sama. Ada orang merungut, kata mereka, umat Arab di Masjidilharam dan Masjid Nabawi tidak baca doa selepas solat beramai-ramai. Itu menunjukkan mereka tidak kuat pegangan Islam mereka. Saya katakan: Islam tidak diturun di kampung halaman kita, ia diturunkan di Mekah dan Madinah. Mereka melakukan apa yang menjadi amalan Rasulullah. Lagipun seseorang yang bersolat disuruh berdoa ketika dalam solat dan berwirid selepasnya.
Dalam hadis, kita diajar agar berdoa ketika sujud dan selepas membaca tasyahud sebelum salam. Di situlah antara waktu mustajabnya doa. Sabda Nabi:
Paling dekat hamba dengan tuhannya adalah ketika sujud, maka banyakkan doa ketika sujud. - (Riwayat Muslim).
Nabi memberitahu tentang doa selepas tasyahud sebelum memberi salam dalam solat:
Berdoalah pasti mustajab, mintalah pasti akan diberikan. - (Riwayat al-Nasai, sanadnya sahih).
Bukan bererti orang yang kita tengok tidak mengangkat tangan berdoa kuat beramai-ramai selepas solat itu tidak berdoa. Kita yang barangkali kurang faham sedangkan mungkin mereka berdoa dalam solat melebihi kita. Jika seseorang berdoa selepas memberi salam, tentulah dalam banyak hal, hajat makmum dan imam tidak sama. Maka jangan marah jika kita lihat orang berdoa bersendirian.
Nasihatilah mereka yang membaca doa tanpa faham maksudnya, atau mengaminkan tanpa mengetahui isinya. Lebih menyedihkan, kadangkala doa dibaca dengan nada dan irama yang tidak menggambarkan seorang hamba yang sedang merintih memohon kepada Allah. Sebahagian nada itu, jika seseorang bercakap kepada kita dengan menggunakannya pun kita akan pertikaikan. Layakkah nada seperti itu sebagai doa kepada Allah yang Maha Agung?
Benarlah sabda Rasulullah:
Berdoalah kamu kepada Allah Taala dalam keadaan kamu yakin akan dimustajabkan. Ketahuilah sesungguhnya Allah tidak menerima doa dari hati yang lalai dan alpa. - (Riwayat al-Tirmizi, disahihkan oleh al-Albani).
Pelajari kita nas-nas agama tentang doa kerana ianya amat penting bagi kehidupan dunia dan akhirat kita.

Sumber: http://www.drmaza.com/