Sunday 2 April 2017

Undian RUU355 bukan sidang kali ini - Zahid

 
Post Pic
SUBANG: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyuarakan keyakinan, pengundiaan Rang Undang-Undang (RUU) 355 tidak akan dibuat pada sidang Dewan Rakyat bulan ini. 
Timbalan Perdana Menteri berkata, penentuan terhadap RUU Memperkasa Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) Pindaan 2016 itu bagaimanapun tertakluk kepada bidang kuasa Speaker Dewan Rakyat. 
"Kita akan serahkan usul persendirian ini kepada budi bicara Speaker Dewan Rakyat, sama ada huraian atau perbahasan mengenai pindaan RUU 355 akan diberikan laluan pada sidang kali ini. 

"Tetapi, saya yakin pengundian (RUU 355) tidak akan dilakukan," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Agung Tahunan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Ke-24, di sini. 
Pada Rabu lalu, Barisan Nasional (BN) membuat keputusan untuk tidak membentangkan RUU Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) Pindaan 2016 atau RUU 355 di Dewan Rakyat. 
Perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Dewan Tertinggi BN yang diterajui Pengerusinya, Datuk Seri Najib Razak, selaras amalan gagasan berkenaan dalam membuat sebarang keputusan berdasarkan konsensus bersama parti komponen.
Dalam pada itu, Zahid turut memberitahu bahawa Malaysia tidak akan menutup pejabat kedutaannya di Korea Utara susulan pembunuhan Kim Jong-nam.
Malah katanya kerajaan juga tidak berhasrat untuk memutuskan hubungan dengan Korea Utara walaupun wujud polemik di antara kedua-dua negara sejak kebelakangan ini. 
"Menerusi Kementerian Dalam Negeri (KDN), kita izinkan rakyat Korea Utara untuk pulang ke negara asal mereka berdasarkan hubungan bilateral Malaysia-Korea Utara.
"Mereka (rakyat Korea Utara) yang berada di depoh Jabatan Imigresen pula akan diuruskan untuk dihantar pulang ke negara berkenaan. 
"Selain itu, rakyat Korea Utara yang masih berada di Malaysia adalah tertakluk dengan akta Imigresen, justeru perkara itu tiada perubahan," katanya

No comments:

Post a Comment