Tuesday 4 April 2017

NGOs Islam Tolak Akta 164

NGOAct 2
NGO Islam mengajak rakyat beragama Islam serta Ahli Parlimen Islam tidak kira apa jua ideologi politik supaya bersatu hati menolak hasrat kerajaan Malaysia untuk meminda Akta 164 yang memberi implikasi kepada penyuburan gejala murtad.
Tiga gabungan Ngo Islam itu menyifatkan pindaan akta itu sekali gus memperlecehkan ketetapan Persidangan Penyelarasan Undang-Undang Syarak/Sivil Kali Ke-19 yang sebulat suara memutuskan antara lain mana-mana pasangan bukan Islam yang memeluk Islam dan mempunyai anak-anak di bawah umur 18 tahun hendaklah menjadi orang Islam selaras hukum syarak.


NGOAct 3Timbalan Presiden Pertubuhan Profesional Muslim Malaysia (PPMM), Ir Mohd Jamal Nasir menyifatkan usul pindaan Akta 164 mencerminkan sikap pimpinan Umno BN yang tidak cermat dan peka dengan sensitiviti umat Islam, di samping mengekang gejala murtad yang melanda umat Islam ketika ini.
Beliau turut melahirkan rasa kecewa apabila pimpinan kerajaan yang diterajui Umno yang beragama Islam boleh membenarkan usul meminda Akta 164 di buat kerana ia begitu jelas peruntukkan ke atas pindaan tersebut mengancam akidah anak-anak di bawah umur 18 tahun kepada pasangan yang bercerai kerana memeluk agama Islam.
Jelasnya, tindakan kerajaan meminda Akta 164, juga seolah-olah mencabar keputusan Muzakarah Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan ke-87, 2009 yang secara jelas memutuskan bahawa “Apabila salah seorang pasangan ibu atau bapa memeluk agama Islam, status agama bagi anak bawah umur pasangan tersebut adalah secara langsung beragama Islam”.
“Adakah pemimpin Islam dalam kabinet tidak dapat melihat kesan dan bahayanya pindaan Akta 164 ke atas akidah anak-anak yang terlibat dalam kes atau pihak kerajaan terpaksa tunduk kepada tekanan pihak tertentu yang mengambil kesempatan di atas kelemahan pihak kerajaan masa kini," soalnya.
NGOAct 1Sementara itu, Ketua Eksekutif Majlis Kebajikan dan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Makpen) Mohd Zai Mustafa membidas tindakan kerajaan yang sepatutnya berbincang terlebih dahulu perkara itu dalam kalangan semua mufti supaya ia menepati kehendak Islam dan menghormati perlembagaan negara.
"Sepatutnya cadangan pindaan Akta 164 ini dibincangkan terlebih dahulu. Adalah sangat wajar akta ini ditarik dan dikaji semula serta pindaan tersebut diperhalusi oleh sebuah jawatankuasa yang ditubuhkan oleh parlimen yang akan sertai oleh pelbagai ahli yang boleh memberi pandangan yang menyeluruh kepada kesejahteraan agama Islam, rakyat dan negara," katanya kepada Harakahdaily.
Presiden Pertubuhan Permuafakatan Ayahanda Malaysia Dr Abdul Kadir Warsi Mohamed berkata, hasil penelitian pihaknya ke atas pindaan itu ia secara jelas memberi suatu peruntukkan bahawa agama anak kepada pasangan yang bercerai kerana seseorang dari mereka memeluk Islam, perlu kekal mengikut agama asal perkahwinan pasangan terbabit.
Tambahnya, pada hal Enakmen asal (sebelum pindaan), ia telah memberi peruntukkan bahawa keperluan untuk mendaftar keislaman anak tersebut diperlukan dan hanya salah seorang ibu atau bapa tersebut bersetuju atas pemelukan Islam anak tersebut.
Dr Kadir menegaskan, kesan dari pindaan tersebut ialah umat Islam akan mundur ke belakang lagi daripada keislamannya, di mana ia bersifat secara otomatik ke arah pelbagai syarat dikenakan untuk pemelukan Islam.
Di samping, katanya, ia turut memberi kesan kepada kes-kes terdahulu yang masih belum diputuskan, walaupun pindaan hanya akan berlaku setelah kelulusan dan diwartakan oleh pihak kerajaan.
“Jika pindaan ini diluluskan ia merupakan mala petaka kepada agama Islam dan umat Islam di negara ini, tegasnya
Sehubungan itu, ketiga-tiga Ngo ini mendesak supaya pindaan Akta 164 ini ditarik semula oleh pihak kerajaan, demi menjaga akidah dan martabat Islam yang menjadi agama rasmi Persekutuan. – HARAKAHDAILY 4/4/2017

No comments:

Post a Comment