Thursday 13 April 2017

Sihatkah minum kopi?


TIADA suatu kebiasaan atau pekerjaan yang berdampak negatif kecuali yang berlebihan. Prinsip ini menunjukkan bahawa kebiasaan yang baik atau pekerjaan yang baik sememangnya akan memberi kesan buruk jika dilakukan secara berlebihan.
Justeru, bagaimana dengan kebiasaan minum kopi? Kebiasaan minum kopi dasawarsa ini tidak hanya didominasi oleh orang dewasa untuk meningkatkan kualiti kerja, malahan para remaja dan anak sekolah turut tidak mahu ketinggalan. Para siswa dan siswi khususnya juga tergiur akan kopi. Ini tidak dinafikan bahawa kopi sememangnya akan menjadi pilihan utama mereka.


Tetapi persoalannya di sini, baikkah kopi untuk golongan muda mahupun golongan berusia di luar sana?
Jawapannya, boleh jadi baik dan boleh jadi tidak!
Minum kopi baik jika diamalkan secara teratur dan tidak berlebihan. Bagi kebanyakan orang yang menikmati minuman kopi sekadar secawan dua sehari memang tidak perlu risau. Hakikatnya, meminum dua ke empat cawan kopi sehari (200 ke 300mg kafein) berkemungkinan besar selamat.
Menurut fakta, zat kafein yang amat tinggi di dalam kopi menjadikan kopi sebagai minuman utama untuk membangkitkan semangat pagi hari, atau mencegah kantuk. Terutama untuk orang yang sering dikejar deadline atau lemau pada malam hari jarang hidup tanpa kopi.
Walau bagaimanapun, pengambilan kopi yang berlebihan seperti empat ke tujuh cawan sehari (500 ke 600mg kafein) akan mengundang pelbagai masalah seperti sukar tidur, cepat gemuruh, cepat marah, loya, degupan jantung yang laju, sakit kepala, kemurungan, tangan menggeletar dan sebagainya.
Bagi orang yang sensitif atau apabila kopi diminum terlalu banyak, kafein akan menyebabkan jantung berdebar-debar bukan sebab bertemu jodoh ya, tetapi disebabkan kenaikan tekanan darah dan menjadi susah tidur. Berikutan daripada itu, hal ini dapat menjadi faktor penyumbang kepada kematian kerana individu tersebut sedang menghadapi masalah berkaitan sistem pembuluh darah dan jantung.
Kopi juga memicu kepada timbulnya neurotransmitter bernama dopamin dalam otak. Neurotransmitter ialah zat pembawa informasi pada saraf dan otak. Salah satu neurotransmitter yang bernama dopamin berperananan untuk menyekat proses belajar, memori dan juga menyebabkan ketagihan atau ketergantungan terhadap sesuatu perkara.
Apabila mana-mana individu berterusan mengamalkan minum kopi, maka kopi akan merangsang penghasilan dopamin pada setiap saat. Apabila kadar dopamin dalam otak mulai menurun, maka kita akan mengalami gejala withdrawal. Gejala ini terjadi di saat kita mulai ketagih terhadap sesuatu benda. Orang yang ketagih terhadap kopi seringkali tidak dapat lagi memberi fokus yang jelas, susah bangun atau sakit kepala apabila tidak minum kopi.
Ini tidak ada bezanya antara ketergantungan terhadap narkoba, nikotin atau kopi. Apabila berhenti memasukkan zat tersebut, maka kesan putus ubat ataupun zat terus terasa kerana berpotensi menyebabkan ketagihan, maka sebaiknya jangan terlalu menlazimi diri minum kopi kecuali pada waktu yang diperlukan sahaja.
Sebagai penutup, kepada masyarakat terutamanya golongan remaja di luar sana yang belum menghadapi sindrom ketagihan terhadap kopi dan masih dapat mengawal diri sangat dianjurkan supaya tidak menjadikan minum kopi sebagai satu kebiasaan atau minuman berkafein contohnya minuman bersoda. Benar, kopi boleh diminum tetapi jangan keterlaluan. Ini kerana setiap perkara yang melampau-lampau akan mempunyai natijah yang buruk.
Diakhiri dengan firman Allah Ta’ala dalam kalam-Nya yang bermaksud:
“Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu haramkan apa-apa yang baik yang telah Allah halalkan bagi kamu, dan janganlah kamu melampaui batas. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas.” (Qs 5:87). - HARAKAHDAILY 12/4/2017
Penulis ialah pelajar Universiti Sains Islam Malaysia

No comments:

Post a Comment