GEJALA bercinta dan berhubungan sejenis dilihat semakin ketara dalam masyarakat di negara kita. Isu melibatkan transgender ini menimbulkan pelbagai reaksi masyarakat, malah menjadi punca kepada konflik sesama mereka. Mungkin ada yang tertanya-tanya, apakah pandangan Islam perihal transgender?
Hakikatnya, telah wujud sekelompok anggota masyarakat yang secara terang-terangan telah menerima dan mengakui diri sebagai pengamal kepada aktiviti ini yang lebih dikenali sebagai lesbian, gay, biseksual dan transgender atau dikenali dengan LGBT.
Dalam menangani gejala ini, sudah pasti wujud dalam kalangan masyarakat yang membantah, mahupun menyokongnya, atau tidak berpihak kepada mana-mana kumpulan. Namun bagi masyarakat yang berpegang kuat kepada ajaran Islam, sudah pasti menolak dan melihatnya sebagai satu gejala yang tidak bermoral, menentang ajaran agama, dan menyalahi aturan fitrah dan tabi'i manusia.
Apa Itu Transgender
Berikut adalah maklumat umum yang berkaitan dengan topik yang melanda masyarakat Islam Malaysia, iaitu:
1. Transgender: Lelaki yang tingkah lakunya seperti wanita dan wanita yang tingkah lakunya seperti lelaki.
2. Tranvestit: Lelaki yang berpenampilan seperti wanita dan wanita yang berpenampilan seperti lelaki.
3. Transeksual: Lelaki yang berasakan dia seorang wanita dan wanita yang berasakan dia seorang lelaki. Ada yang membuktikan perasaan itu dengan melakukan pembedahan bagi menukar alat kelamin.
4. Homoseksual: Orang yang melakukan hubungan seksual dengan jantina sejenisnya. Lelaki yang membuat hubungan seks dengan lelaki disebut sebagai gay manakala wanita yang membuat hubungan seks dengan wanita disebut Lesbian. Lawannya ialah Heteroseksual, iaitu lelaki yang membuat hubungan seks dengan wanita dan wanita yang membuat hubungan seks dengan lelaki. Ini adalah hubungan yang betul lagi normal dan dihalalkan oleh Islam melalui pernikahan yang menepati rukun-rukunnya.
5. Biseksual: Lelaki yang membuat hubungan seks dengan wanita dan lelaki. Juga wanita yang membuat hubungan seks dengan lelaki dan wanita.
6. TriSeksual: Lelaki yang membuat hubungan seks dengan wanita, lelaki dan transeksual. Juga wanita yang membuat hubungan seks dengan lelaki, wanita dan transeksual.
7. Pengkid: Wanita yang mencintai wanita seumpama pasangan hidupnya. Dalam kalangan pengkid ada yang berpenampilan sebagai lelaki.
Agama Islam sudah jelas dan nyata dalam ajaran dan pendiriannya terhadap isu ini. Malang lagi menyedihkan, semakin ramai pula umat Islam yang terlibat dalam gejala ini, malah tanpa segan silu dan bangga pula berkelakuan sebegitu.
Bagi masyarakat Barat dan negara maju, aktiviti LGBT bukanlah satu gejala atau penyakit, malah beranggapan aktiviti dan kehidupan LGBT ini adalah satu pilihan peribadi. Pilihan ini perlu diiktiraf dan disokong oleh semua ahli masyarakat walau di mana mereka berada sebagai satu hak peribadi individu terbabit.
Sebarang penolakan atau bantahan adalah penafian terhadap hak asasi mereka yang mana akhirnya dilihat melanggar piagam Hak Asasi Manusia Sejagat. Sesuatu yang janggal juga di mana kumpulan yang membantah ini pula yang sebaliknya akan terus dicerca dan dipulaukan secara besar-besaran, serta menerima tekanan demi tekanan dari kumpulan tertentu sehingga ke peringkat antarabangsa.
Punca Yang Membiak
Antara yang menyumbang kepada penularan aktiviti ini ialah:-
1. Perasaan semula jadi. Iaitu perasaan yang menyebabkan seseorang itu mempunyai nafsu terhadap kaum sejenis. Perasaan dan nafsu tersebut terhasil disebabkan bahan kimia dan hormon yang dikeluarkan dalam badan (luar kawalan).
2. Teori aturan kelahiran. Teori ini menentukan sama ada seseorang itu bersifat homoseksual atau tidak. Suatu kajian yang menunjukkan semakin bongsu seseorang anak, besar kemungkinan dia homoseksual. Alasan-alasan di belakang pemerhatian ini belum ditentukan. Dipercayai dengan setiap kehamilan, badan ibu mempunyai lebih hormon androgen yang boleh mempengaruhi orientasi seksual seseorang anak.
3. Proses penerapan sewaktu kecil. Umpamanya seorang ibu yang teringin mempunyai anak perempuan tetapi dikurniakan bayi lelaki. Semenjak kecil lagi, bayi lelaki itu dipakaikan dengan pakaian perempuan, diberi permainan kanak-kanak perempuan, berambut panjang dan dilayan sebagai kanak-kanak perempuan. Proses ini membentuk kepercayaan dalam dirinya dia seorang lelaki adalah seorang perempuan. Apabila dewasa, beliau akan mengalami kecelaruan identiti lalu berasakan dirinya terperangkap dalam tubuh seorang lelaki.
4. Masalah trauma yang melampau. Apabila seseorang mengalami trauma masa lampau yang sangat teruk, akan mendorong mereka tidak menyukai jantina yang berbeza dengan mereka.
Sebagai contohnya ialah mangsa pemerkosaan. Sekiranya mangsa rogol iaitu daripada aspek hubungan sumbang mahram di antara bapa (termasuklah saudara mara lelaki) dengan kanak-kanak perempuan akan menimbulkan rasa tidak percaya terhadap lelaki ( bapa atau saudara mara lelaki). Ini kerana orang yang sepatutnya menjaga dan memelihara mereka dengan penuh kasih sayang telah merogol dan merosakkan kehormatan mereka. Perasaan ketidakpercayaan ini berkemungkinan besar boleh menyebabkan kanak-kanak perempuan cenderung menjadi lesbian.
5. Salah faham takdir. Ramai dalam kalangan pengamal LGBT apabila ditegur mengenai kecenderungan jantina dan seksual yang berlawanan daripada fitrah manusia, ada yang menjawab itu takdir ALLAH SWT ke atas diri mereka dan mereka reda terhadapnya. Ini adalah kefahaman yang salah terhadap takdir.
LGBT Besar Mudaratnya
USAH dipertikaikan lagi apabila Islam mengharamkan sesuatu perkara, maka sudah pastinya perkara tersebut membawa mudarat besar kepada penganutnya. Apatah lagi perihal bahaya LGBT ini. Di antara kesan buruknya adalah:
1. Penyakit HIV Aids
Penyakit Aids menjadi tumpuan ramai kerana pada 5 Jun 1981, doktor mulai menggambarkan wabak paru-paru berair yang biasanya sukar terjadi, menular dalam kalangan lima homoseksual di Los Angeles. Semenjak itu, Aids dan homoseksual menjadi bagaikan seerti. Pada awal-awal penyakit merebak, San Francisco adalah kawasan gay paling teruk dijangkiti, hampir separuh daripada populasi homoseksualnya dijangkiti virus ini.
Tetapi selepas penurunan kadar jangkitan Aids dalam kalangan homoseksual pada tahun-tahun kebelakangan, peningkatan jangkitan Aids kembali meningkat dalam kalangan gay melalui tempat mandi umum, tempat popular bagi kalangan gay mencari seksual bebas, kini menjadi tempat utama penyebaran Aids dalam kalangan homoseksual.
2. Penyakit Sifilis
Antara penyakit lain ialah penyakit sifilis, yakni penyakit jangkitan seks mempengaruhi organ seks dan juga organ lain. Gonorea dan sifilis ialah penyakit seks yang paling biasa. Penyakit jangkitan seks juga dikenali sebagai penyakit kelamin atau venereal (VD–Venereal Disease). Penyakit jangkitan seks telah mencapai taraf epidemic. Sifilis dan gonorea mempunyai bilangan kes paling tinggi antara penyakit berjangkit yang dilaporkan. Walau bagaimanapun, bilangan kes sebenar dianggarkan tiga hingga lima kali ganda bilangan kes yang dilaporkan.
3. Menimbulkan Masalah Kecelaruan Dalam Hubungan Keluarga
Jika kita meneliti masalah LGBT di negara-negara Barat yang membenarkan perkahwinan sesama sejenis, terdapat masalah kecelaruan dalam hubungan keluarga. Ini kerana bagi wanita yang berkahwin dengan wanita, mereka tidak boleh melahirkan anak kerana tiada sperma.
Bagi lelaki yang berkahwin sesama lelaki juga turut mengalami masalah yang sama kerana tiada tempat khusus untuk mengandung. Untuk menyelesaikan masalah mendapatkan anak, mereka memilih permanian beradas. Kaedah ini bertentangan dengan syariah Islam kerana kita tidak dapat menentukan kesahihan nasab keturunan.
Kesimpulannya, LGBT ini membawa kepada fahaman budaya songsang melawan arus sistem agama, kemanusiaan dan keluarga. Bahkan ia sering menjadi berita yang sentiasa disebut-sebut. Mereka yang memilih dan terjebak dalam budaya songsang ini dengan jelasnya telah melakukan sesuatu yang tidak normal serta tidak menghormati agama. Jika dilihat dari perspektif yang lebih besar, budaya ini sememangnya boleh merosakkan sistem sosial dan keluarga. Berdoalah, agar kita dijauhkan daripadanya.
Kategori Hukum
Terdapat tiga kategori:-
Pertama: Hukum menyerupai jantina yang berbeza
Kedua: Hukum mencintai jantina sejenis umpama pasangan hidup
Ketiga: Hukum melakukan hubungan seks dengan jantina sejenis
Hukum menyerupai jantina yang berbeza
Rasulullah SAW bersabda: "Bukan daripada golongan kami siapa saja wanita yang menyerupai lelaki dan siapa saja lelaki yang menyerupai wanita." (Musnad Ahmad, no: 6875 dengan sanad yang dinilai hasan oleh Ahmad Syakir)
Bahkan 'Abdullah ibn 'Abbas menerangkan bahawa Rasulullah SAW melaknat lelaki menyerupai wanita dan begitulah sebaliknya. (Sahih Al-Bukhari)
Hadis larangan dalam bab ini juga diriwayatkan oleh Abu Hurairah dan Aisyah.
Jumhur mengatakan haram hukumnya seseorang itu menyerupai jantina yang berbeza dengannya, baik dalam bentuk tingkah laku, penampilan, pakaian mahupun perhiasan. Larangan ini termasuk kanak-kanak lelaki dan perempuan yang belum baligh, di mana haram hukumnya bagi ibu bapa atau penjaga kanak-kanak itu menyerupakan mereka dengan jantina berbeza. Jika dilakukan, dosa berada di bahu ibu bapa atau penjaga kanak-kanak.
Adapun hikmah di sebalik larangan, penyerupaan dengan jantina yang berbeza sebenarnya adalah satu tindakan melawan penciptaan ALLAH. Ini kerana ALLAH telah mencipta manusia sebagai lelaki dan wanita di mana masing-masing diberi ciri fizikal, biologikal, psikologikal dan peranan yang berbeza dalam kehidupan ini. Sejak awal penciptaan manusia, ALLAH telah dalam Surah An-Nisa'a ayat satu.
Sejak daripada awal kelahiran, ALLAH telah tetapkan lelaki dan perempuan sebagaimana yang disebut dalam Surah Al-Qiyamah ayat 37 hingga 39.
Lelaki yang menyerupai wanita dan wanita menyerupai lelaki, sebenarnya menentang apa yang ALLAH cipta dan tentukan bagi mereka. Oleh kerana itulah, tindakan penyerupaan tersebut diberi ancaman dahsyat oleh Rasulullah SAW dalam dua hadis yang dikemukakan sebelum ini.
Selain penentangan terhadap ciptaan ALLAH, penyerupaan juga adalah langkah awal ke arah pelbagai perbuatan maksiat yang lain.
Hukum mencintai jantina sejenis umpama pasangan hidup
Menyebut perihal cinta, asas pertama yang perlu diketahui oleh semua umat Islam ialah cinta hendaklah ditujukan kepada ALLAH sahaja. Ini disebut sebagai mentauhidkan ALLAH dalam urusan cinta.
Cinta kepada ALLAH ialah mentaati segala perintah larangan-Nya, mencari keredaan-Nya dan melaksanakan kehidupan di dunia ini sebagaimana yang Dia kehendaki. Cinta kepada ALLAH juga dibuktikan dengan mentaati segala perintah larangan, nasihat dan teguran Rasulullah SAW. Fakta terakhir ini ditekankan sendiri oleh ALLAH dalam Surah Ali Imran ayat 31.
Justeru apabila ingin mencintai seseorang sebagai pasangan hidupnya, hendaklah dalam bentuk pasangan lelaki dan wanita, Pasangan ini seterusnya menghalalkan percintaan mereka melalui ikatan nikah yang menepati rukun-rukun nikah dalam syariat Islam.
Individu yang mencintai jantina sejenis untuk dijadikan pasangan hidup, dia sebenarnya mencintai nafsunya melebihi cintanya kepada ALLAH. Atas dasar inilah dia berani mengarahkan cintanya kepada sesuatu yang berbeza daripada apa yang disusun, diperintah dan diredai oleh ALLAH.
Justeru setiap Muslim hanya mencintai ALLAH dan membuktikan kecintaan itu dengan mengikuti apa yang dicintai ALLAH serta meninggalkan apa yang dibenci ALLAH. Setiap Muslim mencintai pasangan hidupnya kerana ALLAH dan sejak awal memastikan pasangan hidupnya itu seorang yang ciri-cirinya menepati syariat ALLAH.
Hukum melakukan hubungan seks dengan jantina sejenis
Mencintai jantina sejenis sebagai pasangan hidup akan mengarah kepada hubungan seks dengan jantina sejenis dan ini tentu saja berlawanan daripada kehendak ALLAH. Malah ia adalah satu kesalahan yang amat besar sebagaimana sabda Rasulullah SAW: "Sesiapa yang kalian dapati melakukan perbuatan kaum Nabi Luth, maka bunuhlah pembuat dan pasangannya." (Shahih Sunan Abu Daud, no: 3869/4462)
Jika perbuatan homoseksual ini berlaku secara meluas, maka ALLAH sendiri yang akan menjatuhkan hukuman atau azab sebagaimana dalam Surah Hud ayat 82 dan 83.
Oleh itu, seks sejenis bukan sahaja dilarang tetapi langkah awal ke arahnya juga dilarang. Rasulullah SAW menegaskan: "Tidak boleh seorang lelaki melihat aurat lelaki yang lain dan tidak boleh seorang wanita melihat aurat wanita yang lain. Tidak boleh seorang lelaki menyentuhkan badannya kepada badan lelaki yang lain di dalam satu selimut dan tidak boleh seorang wanita menyentuhkan badannya kepada badan wanita yang lain dalam satu selimut." (Sahih Muslim)
Perhatikanlah! Jika sekadar melihat dan menyentuh aurat sesama jantina sudah disepakati keharamannya, apatah lagi jika saling melakukan hubungan seks di antara sesama jantina. Sudah tentu ia haram juga.
Berdasarkan penjelasan di atas, dapat difahami perbuatan menyerupai jantina yang berbeza, mencintai jantina sejenis dan melakukan hubungan seks dengan jantina sejenis adalah kesalahan yang besar dalam Islam. Ia menyelisihi penciptaan dan kehendak ALLAH. Selain itu ia juga membuka jalan ke arah pelbagai kemungkaran dan kerosakan sosial.
Oleh itu yakinilah bahawa kecenderungan kepada jantina atau seksual yang berbeza termasuk salah satu ujian daripada ALLAH. Yakinilah juga ujian itu tetap termasuk dalam kemampuan untuk lulus cemerlang daripadanya kerana apa jua ujian, ALLAH tidak akan menguji di luar batas kemampuan seseorang itu.
28 APRIL 2017
No comments:
Post a Comment