IPOH: Orang ramai disaran supaya tidak menjadikan gambar keluarga terutama anak-anak mereka sebagai gambar profil pada aplikasi Whatsapp kerana ia boleh mengundang risiko keselamatan.
Penolong Pesuruhjaya Perlindungan Data Peribadi, Jabatan Perlindungan Data Peribadi Mohd Shazrol Mohd Shah berkata adalah dibimbangi pihak yang berniat jahat mengakses gambar itu seterusnya mengecam wajah anak-anak pemilik nombor telefon.
"Gambar profil WhatsApp bertujuan mungkin untuk mengenal pasti kawan-kawan cuma kita sarankan agar mereka meletakkan satu gambar yang elok untuk diri sendiri.
"Kita jangan meletakkan gambar anak atau gambar orang lain kerana perkara ini boleh menyebabkan penjenayah dapat mengakses gambar tersebut sekali gus mencetuskan kejadian yang tidak diingini," katanya.
Mohd Shazrol berkata demikian kepada Bernama selepas Sesi Perkongsian Maklumat Industri 2017 anjuran Forum Pengguna Komunikasi dan Multimedia Malaysia sempena Hari Hak-Hak Pengguna Sedunia di sini pada Rabu.
Mohd Shazrol berkata tidak menjadi masalah sekiranya orang ramai tidak meletakkan gambar profil pada WhatSapp kerana aplikasi tersebut tetap boleh digunakan.
Terdahulu, dalam taklimatnya Mohd Shazrol menasihati ibu bapa supaya tidak meletakkan gambar anak-anak mereka dalam laman sosial termasuk Facebook kerana ia juga boleh mengundang risiko jenayah.
"Penggunaan Facebook amat berisiko kerana walaupun gambar dalam akaun sudah dipadam, namun ia masih tersimpan di luar negara kerana data laman sosial itu diproses di luar negara," katanya.
Sehubungan itu, katanya, Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 tidak terpakai untuk sebarang perlanggaran di Facebook.
Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (Akta 709) telah diluluskan di Parlimen pada Jun 2010 dan telah dikuatkuasakan pada 15 November 2013.
Tags : Gambar anak, Whatsapp,
No comments:
Post a Comment