Thursday 16 February 2017

Ambil upah baca doa satu eksploitasi agama



Berita

KOTA BHARU – Perkhidmatan Valet Doa atau mengambil upah membaca doa di Masjidil Haram yang diuruskan oleh sebuah syarikat perniagaan dalam media sosial disifatkan sebagai mengeksploitasi ajaran agama.

Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata,ini kerana promosi menggunakan doa-doa dengan mengenakan bayaran adalah satu tindakan yang tidak wajar.

“Valet Doa ini tidak sesuai sebab doa ini sebenarnya masing-masing boleh buat, kalau masih tidak termakbul jangan putus asa teruskan berdoa, kerana orang yang sentiasa berdoa tandanya orang yang tidak takbur.
“Kalau doa kita belum makbul itu adalah menunjukkan kesayangan ALLAH SWT kepada orang itu, lagi banyak berdoa lagi banyak pahala kita dapat kerana doa itu adalah ibadah,” katanya kepada Sinar Harian.


Beliau diminta mengulas berhubung sebuah laman Facebook yang diwujudkan beberapa hari lalu bagi tujuan mengambil upah membaca kiriman-kiriman doa di depan Kaabah telah menarik perhatian ramai.
Berdasarkan status di akaun Facebook, perkhidmatan tersebut boleh didapati dengan harga sekitar RM250 sehingga RM5,000, mengikut pakej-pakej yang  ditawarkan.

Mengulas lanjut, Mohamad Shukri berkata, mengirimkan doa kepada saudara semasa Islam tidak menjadi masalah tetapi jangan sampai menggunakan elemen agama untuk tujuan perniagaan kerana ia tidak sesuai.
"Jika tolong berdoa bagi pihak seseorang tanpa balasan ia tidak menjadi masalah kerana tindakan itu adalah usaha yang baik.

“Dalam konteks Valet Doa apa yang dia jamin doa dia depan Kaabah termakbul, sebenarnya kalau doa kita belum makbul kita kena cari halangan-halangan yang membuatkan kita susah nak dapat apa yang dihajati.

Beliau mendakwa , perkara sebegini juga mudah terdedah kepada unsur-unsur penipuan. - SH

No comments:

Post a Comment