KENYATAAN beberapa pemimpin Melayu dan Bukan Islam yang tidak bersetuju dengan RUU (Rang Undang-Undang) 355, yang bertujuan untuk meningkatkan bidang kuasa Mahkamah Syariah adalah dikesali.
Apabila RUU 355 dibawa ke sidang parlimen untuk dibahaskan maka ia bukanlah melanggar Perlembagaan Persekutuan seperti yang dituduh oleh sesetengah pemimpin. Kalau bercanggah dengan perlembangaan maka ia tidak perlu dibahas dan hanya perlu dilaksanakan tanpa dibawa ke sidang parlimen.
RUU 355 hanya untuk menaik taraf undang-undang syariah selari dengan undang-undang sivil dan khas untuk Muslim yang melakukan kesalahan jenayah mengikut perundangan Islam.
Mengapa masih ada orang mempertikaikan undang-undang Islam sedangkan ia bertujuan untuk mencegah penjenayah daripada melakukan kekacauan dan keharmonian di negara ini. Alasan mereka sebab mengapa perlu ada dua hukuman yang berlainan sedangkan mereka melakukan jenayah yang sama.
Kalau hanya ikut satu set undang-undang saja maka mengapa perlu ada mahkamah syariah dan juga Undang-Undang pada Tanah Adat Bumiputera di Sarawak sebagai contoh. Mengapa tidak selaraskan saja satu rang undang-undang negara, biar sama-sama menerima hukuman yang sama tanpa mengira bangsa dan agama.
Tentu ramai yang tidak setuju disebabkan berlainan fahaman dan kepercayaan, jadi sebaiknya bagi mereka yang tidak tahu hak dan adat budaya sesuatu kaum sepatutnya jangan mencampuri urusan agama dan adat sesuatu kaum kalau mahu melihat rakyat dalam negara ini hidup bersatu dan harmoni.
PAS juga mengesa kepada Mufti Sarawak agar dapat memberi nasihat dan teguran kepada umat Muslim yang jahil dengan agama Islam agar jangan bercakap sesuatu perkara yang boleh merosakkan akidah mereka.
PAS Sarawak menyokong penuh RUU 355 ini agar dapat diberi peluang dibahaskan di sidang parlimen agar mereka yang tidak faham atau tidak puas hati dengan RUU 355 ini diberi peluang untuk berdebat.
Kepada yang bukan Islam tolong hormati hak umat Muslim dan jangan cuba mencampuri urusan agama Islam seperti mereka juga tidak suka kita mencampuri urusan agama mereka. Kita perlu sering hormat menghormati antara satu sama lain walaupun kita mempunyai kepercayaan yang berlainan .
Negara ini mengamalkan sistem demokrasi, mengapa mesti menyekat hak sesuatu kaum dan agama
daripada mengamal ajaran agama mereka. Ini adalah hak umat Muslim untuk melaksanakan tuntutan agama mereka dan kita juga menyeru pemimpin umat Muslim tanpa mengira bangsa dan fahaman politik sama-sama memberi sokongan pada RUU355 ini.
Sebagai seorang penganut agama Islam sepatutnya mereka tahu hak mereka sebagai penganut agama Islam tanpa perlu takut akan kedudukan mereka kerana jawatan dan kuasa itu boleh hilang bila-bila masa. Mereka tidak sepatutnya ikut arahan manusia tanpa memikir kesan dari perbuatan mereka di akhirat kelak. – HARAKAHDAILY 29/9/2016
No comments:
Post a Comment