Monday 1 May 2017
Hak Pekerja Dalam Islam
Pekerja merupakan aset bagi menentukan kemandirian ekonomi sesebuah negara. Tanpa pekerja, sesuatu perusahaan dan aktiviti ekonomi sesebuah negara akan menjadi sukar, lambat, dan berkemungkinan lumpuh. Bayangkan sebuah negara yang mana kesemua petaninya enggan bercucuk tanam. Sudah pasti perbuatan ini akan mengakibatkan kekurangan makanan yang boleh mempengaruhi eksport negara dan seterusnya memberi kesan kepada ekonomi negara, bahkan boleh membawa kepada kebuluran dan kekacauan dalam negara.
Setiap pekerja di Malaysia contohnya, tertakluk di bawah Akta Pekerja 1955. Menurut Akta Pekerja 1955, Perkara 60(A), setiap pekerja tidak dibenarkan untuk bekerja (i) lebih dari 5 jam berterusan tanpa rehat tidak kurang dari tempoh 30 minit, (ii) lebih dari 8 jam sehari, (iii) lebih dari 10 jam sehari bagi tempoh yang terputus-putus dan (iv) lebih dari 48 jam dalam seminggu.[1] Perkara 60(D) di bawah Akta yang sama menetapkan bahawa setiap pekerja berhak untuk mendapat cuti berbayar melibatkan empat hari cuti umum yang ditetapkan oleh Akta dan, 6 hari cuti selebihnya ditetapkan oleh majikan. Empat hari cuti umum di bawah Akta adalah cuti bagi (i) Hari Kebangsaan, (ii) Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong, (iii) Hari Keputeraan Sultan/ Raja atau Yang di-Pertua Negeri di tempat pekerja bekerja sepenuhnya dan (iv) Hari Wilayah juga Hari Pekerja.[2] Namun, keadaan tentunya berbeza daripada negara ke negara.
Di negara China contohnya, 12 orang pekerja muda di Kilang Foxconn, Longhua, Shenzhen bertindak menamatkan riwayat sendiri pada tahun 2010 akibat tekanan perasaan yang maha dahsyat di tempat kerja. Apa yang menyedihkan, kitaran sama masih berlaku di kilang tersebut sehinggalah kilang tersebut bertindak untuk memasang jaring keselamatan di tempat tinggal pekerja bagi mengelakkan pekerja membunuh diri.[3] Sepatutnya, pihak pengurusan perlu meneliti semula ‘tahap kesihatan’ persekitaran di dalam kilang dan tempat tinggal tenaga kerja mereka dan bukannya meletakkan kesalahan di bahu pekerja semata-mata.
Di era moden ini, banyak kisah yang melibatkan hubungan antara majikan dan pekerja dapat didengari. Selalunya, kisah yang paling kerap berlaku adalah melibatkan majikan yang tidak menjaga kebajikan pekerjanya. Sepatutnya, semakin maju sesuatu peradaban, semakin baik layanan yang diberikan oleh majikan terhadap pekerja dalam sesebuah organisasi, negara mahupun syarikat, bukan sebaliknya. Ini menunjukkan bahawa kemodenan sesuatu peradaban tidak menjamin ketinggian budi pekerti dan sifat ehsan.
Dunia Islam sendiri telah meletakkan garis panduan bagaimana majikan perlu mensantuni pekerja. Seawal 1400 tahun yang lalu, layanan majikan terhadap hamba sahaya mereka sahaja jauh lebih baik, seperti yang diceritakan oleh hadis Sahih Bukhari: “Telah menceritakan kepada kami Adam bin Abi Iyas telah menceritakan kepada kami Syu’bah telah menceritakan kepada kami Washil Al Ahdab berkata, aku mendengar Al Ma’rur bin Suwaid berkata; Aku pernah melihat Abu Dzar Al Ghifari r.a. yang ketika itu dia memakai pakaian yang sama (seragam) dengan budak kecilnya, kami pun bertanya kepadanya tentang masalahnya itu. Maka dia berkata: “Aku pernah menawan seorang laki-laki lalu hal ini aku adukan kepada Nabi S.A.W, maka Nabi S.A.W berkata kepadaku: “Apakah kamu menjelek-jelekkannya karena ibunya?” Beliau bersabda: “Sesungguhnya saudara-saudara kalian adalah tanggungan kalian, Allah menjadikan mereka di bawah tangan kalian, maka siapa yang saudaranya berada di tangannya hendaklah dia memberi makan dari apa yang dia makan dan memberi pakaian dari pakaian yang ia pakai dan janganlah kalian membebani mereka dengan apa yang mereka tidak sanggup. Jika kalian membebani mereka dengan apa yang mereka tidak sanggup maka bantulah mereka”.[4]
Lihatlah bagaimana Rasulullah SAW sendiri menganjurkan kepada para sahabat untuk menghormati hamba sahaya ketika itu. Sedangkan hamba sahaya perlu dihormati akan haknya, apatah lagi mereka yang bebas merdeka. Ini menunjukkan bahawa ajaran Islam adalah sangat universal dan terkedepan, terpakai tidak kira waktu dan ketika. Akan tetapi, sifat kemanusiaan semakin terhakis dan digantikan oleh semangat kapitalisme untuk mengaut sebanyak mungkin kekayaan dengan kos yang paling rendah. Konsep untuk meraih keuntungan maksimum dengan kos yang terendah telah menimbulkan banyak masalah di seluruh pelusuk dunia. Namun masih wujud syarikat-syarikat yang menitikberatkan kebajikan pekerja seperti syarikat Google dan Bank Standard Chartered Malaysia.
Kebahagiaan pekerja merupakan penanda aras kejayaan syarikat Google. Di syarikat ini, pekerja dibenarkan untuk melepaskan lelah di pod tidur sementara malah, mereka boleh menghilangkan tekanan kerjaya dengan bermain di bilik permainan yang disediakan sebelum menyambung kembali tugasan. Hasilnya, syarikat ini semakin hebat dan maju dalam penghasilan aplikasi dan gajet, terkedepan berbanding syarikat-syarikat lain.[5] Bank Standard Chartered Malaysia juga mengambil langkah yang hampir sama seperti Google untuk merealisasikan budaya mesra keluarga bank itu. Sebagai contoh, pihak bank telah mengumumkan pelaksanaan cuti bersalin 20 minggu bergaji penuh kepada ibu yang bersalin, pekerja lelaki akan menikmati cuti dua minggu jika isteri mereka bersalin malah ibu bapa yang ingin mengambil anak angkat baharu juga akan diberikan cuti selama dua minggu bergaji penuh.[6]
Kesimpulannya, banyak lagi perkara yang boleh diperbaiki dan dipertingkatkan melibatkan hubungan dan layanan majikan terhadap pekerja untuk mencapai hak pekerja yang ideal. Sekiranya anda mendapat seorang majikan yang baik, bertanggungjawab dan bertimbang rasa, maka, janganlah disia-siakan kebaikan majikan tersebut. Janganlah air susu dibalas dengan air tuba. Selamat Hari Pekerja bagi semua pekerja terutamanya yang sedang bekerja hari ini demi mencari rezeki yang halal.
Rujukan [1] Law of Malaysia, Employment Act 1955 (Act 265), As at 30 April 2012, Online Version of Updated Text of Reprint, M/s 53
[2] Law of Malaysia, Employment Act 1955 (Act 265), As at 30 April 2012, Online Version of Updated Text of Reprint, M/s 58-59
[3] https://youtu.be/Qibxm52y1v8
[4] Sahih Bukhari Book 46, Manumission of Slaves, Hadith 046:721
[5] http://www.sinarharian.com.my/bisnes/google-bukan-syarikat-biasa-1.206625
[6] http://www.sinarharian.com.my/mobile/bisnes/beri-cuti-bersalin-20-minggu-bergaji-penuh-1.666734
By Rosnani Azman
Read more at: https://www.menara.my/hak-pekerja-dalam-islam/
No comments:
Post a Comment