Wednesday 5 April 2017

TPM lancar sistem bersepadu halal antarabangsa


Post Pic
SEPANG: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi malam tadi melancarkan Sistem Pihak Berkuasa dan Badan Halal Antarabangsa Malaysia (MyIHAB), yang pertama seumpamanya di dunia. 
 
Ia adalah sistem permohonan pengiktirafan Badan Pensijilan Halal Antarabangsa secara atas talian oleh badan pensijilan halal luar negara, dengan pengurusan dan pendaftaran bersepadu serta mempunyai pangkalan data berpusat di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). 
 
Dalam ucapannya, Ahmad Zahid berkata, sistem berkenaan adalah titik permulaan bagi Malaysia ke arah mewujudkan Lembaga Akreditasi Halal Antarabangsa pada masa akan datang. 
 
"Ketika ini, kita mempunyai 67 Badan Pensijilan Halal yang diiktiraf dari 40 negara, yang kesemuanya komited dalam membangunkan industri halal di seluruh dunia melalui pemerkasaan Pensijilan Halal," katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Rasmi sempena Konvensyen Badan Pensijilan Halal Ke-8 2017 di sini. 
 
Yang turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan timbalannya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki serta Ketua Pengarah JAKIM, Tan Sri Othman Mustapha. 
 
Ahmad Zahid turut menyeru semua badan pensijilan halal supaya mempromosi halal sebagai jenama premium, yang menekankan aspek kualiti, keselamatan serta baik untuk kesihatan. 
 
"Bagi mencapai matlamat itu, Malaysia komited untuk kekal sebagai pemain penting dalam pasaran halal, seterusnya menjadi hab halal di peringkat dunia. 
 
"Insya-Allah, melalui pembangunan industri dan ekonomi halal, kita akan melihat kesan positif ke atas Islam dan umat Islam dalam perniagaan dan perdagangan di seluruh dunia," katanya. 
 
Ahmad Zahid berkata, pasaran halal global sangat meluas dan pada tahun lalu saja, nilai pasaran produk dan makanan halal oleh Malaysia mencecah RM37.02 bilion, terutama di negara Asia Tenggara, Asia Barat serta China. 
 
Kerajaan, katanya, menyasarkan untuk mencapai RM40 bilion pada tahun ini. 
 
Kira-kira 1,000 wakil agensi kerajaan dan badan pensijilan halal dari 40 negara menghadiri konvensyen itu yang diadakan selama dua hari bermula semalam.

No comments:

Post a Comment