Sunday 9 April 2017

RUU 355 adalah dakwah, bersabarlah



الحمد لله والصلاة والسلام على رسول الله.
1. RUU 355 adalah bertujuan meningkatkan kadar hukuman kepada kesalahan Syariah yang dibicarakan di Mahkamah Syariah di negeri-negeri khusus untuk umat Islam.
2. Hukuman sebagai satu proses pendidikan adalah suatu yang rasional bagi seorang pelaku kesalahan yang tidak mampu disekat melakukan kesalahan oleh pendidikan berupa nasihat dan peraturan.
3. PAS telah membentangkan hujah dan rasional RUU 355 di Dewan Rakyat secara rasmi pada 6hb April 2017 menerusi YB Marang dan YB Kota Bharu. Rakyat dan juga ahli parlimen mempunyai ruang masa yang luas untuk meneliti hujahan sebelum perbahasan dibuka nanti di Dewan Rakyat. Insya Allah lebih ramai yang menentang akan berubah menjadi pendukung apabila dakwah dan penjelasan diperluaskan.


4. RUU 355 adalah Dakwah.  Ia memberi peluang untuk rakyat lebih mengenali Islam dan undang-undang Islam, dan menyedari tanggungjawab memperkasakan Islam dan Mahkamah Syariah di negara ini. Ia adalah dakwah yang besar yang sedang masuk jauh ke sanubari setiap muslim di negara ini dan sedang menembusi pasaran baru ke hati-hati bukan Islam. Dakwah memerlukan masa dan kesabaran.
5. Namun, penentangan keras oleh ahli parlimen PH di awal usaha pembentangan sehingga lahirnya aksi yang menjengkelkan di Dewan Rakyat seterusnya kenyataan media menolak RUU 355 seusai sidang mengajak rakyat menilai apa sebenarnya rasional penentangan Pakatan Harapan?
6. Jika RUU 355 dikatakan permainan Umno maka mudah sahaja.  Sokonglah RUU 355 pasti berakhirlah permainan Umno.
7. Jika RUU 355 dikatakan pemecah belah pakatan pembangkang maka mudah sahaja. Sokonglah RUU 355 pasti bersatulah pembangkang.
8. Jika dibuat alasan kononnya PH mahukan pemerkasaan Mahkamah Syariah yang menyeluruh bukan hanya pemerkasaan kadar hukuman maka mudah sahaja.  Bawalah usul baru memperkasakan Mahkamah Syariah dan jangan lupa, sokonglah RUU 355 sekarang.
9. Jika RUU 355 dikatakan menimbulkan polemik di kalangan rakyat maka mudah sahaja. Hentikanlah polemik dengan PH menyokong RUU 355.
10. Tapi adakah itu semua alasan sebenar penolakan? Tidak. Mereka tiada alasan dan hujah rasional kerana
- RUU 355 adalah mengikut perlembagaan.
- RUU 355 adalah hak orang Islam.
- RUU 355 tidak melibatkan bukan Islam.
Mereka tidak menentang RUU kerana hujah rasional. Mereka menentang kerana sentimen.
11. Sebenarnya PH menari mengikut tarian DAP yang menentang sebarang usaha pemerkasaan Islam dalam negara ini.  ITULAH SEBENARNYA.
12. Pemerkasaan Islam umpama panah dan petir yang menusuk ke telinga mereka lalu mereka menutup telinga dengan kedua belah tangan kerana ketakutan.
13. Salah seorang pemimpin pembangkang seumpama orang gila ketakutan atau dirasuk syaitan apabila pembentangan usul mahu dimulakan oleh YB Marang.
14. Mereka sudah terlupa bahawa memperkasakan Islam adalah hak rakyat Muslim di negara yang meletakkan "Islam Agama Persekutuan" dalam peruntukan perlembagaannya. Mereka terlupa untuk menghormati hak ini.
15. Mereka cuba melupakan bahawa Mahkamah Syariah adalah mahkamah asal negeri-negeri dalam negara ini.
16. Mereka cuba melupakan bahawa Islam adalah undang-undang asal Tanah Melayu ini.
17. Namun, apabila RUU 164 dicadangkan oleh kerajaan mereka berbondong-bondong menyokongnya termasuk oleh Ahli Parlimen Muslim Pakatan harapan.  Meskipun RUU itu jelas bertentangan dengan Perlembagaan dan jelas bercanggah dengan akidah muslim.
18. Malangnya, komponen BN seperti MIC dan MCA juga menari mengikut tarian DAP. Mereka berlumba untuk menunjukkan siapakah lebih anti kepada RUU 355. Mereka mungkin terlupa dengan pengundi muslim dalam Umno yang memenangkan mereka di kerusi parlimen sekarang.
19. Jika undi menjadi pertaruhan maka RUU 355 menjadi kayu ukur untuk pengundi muslim menilai Pakatan harapan. Usah diharap Islam diperkasakan menerusi Pakatan harapan. Usah berjudi nasib untung rugi Islam.  Ia adalah kemusnahan bagi Islam di negara ini.
20. Keharmonian bernegara ialah apabila hak orang Islam dihormati oleh bukan Islam di negara yang majoriti muslim,  di negara yang meletakkan Islam Agama Persekutuan,  di negeri-negeri yang agama negerinya adalah Islam dengan Sultan adalah ketua agama.
21. Tsunami Islam bakal menjadi penentu pada PRU ke-14. Rakyat mendambakan kesatuan muslim atas nama memperkasakan Islam bagi menyelamatkan negara ini daripada kebobrokan akhlak dan penyelewengan dengan alternatifnya adalah ISLAM bukannya sekular atau sosialis.
Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali
Ahli Parlimen Kuala Nerus
Ahad 9hb April 2017 - HARAKAHDAILY 9/4/2017

No comments:

Post a Comment