Tuesday 4 April 2017

Keganasan rumahtangga: Jangan lupa 26% mangsa lelaki



Artikel

 
Baru-baru ini, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) mendedahkan statistik dari 2014 hingga 2016, mencatatkan sebanyak 15,617 kes keganasan rumahtangga yang berlaku di negara ini, dengan 26% daripadanya membabitkan penderaan terhadap suami.  
 

Isu keganasan dalam sesebuah rumahtangga sentiasa mendapat tempat dalam negara kita setiap tahun. Dalam mendalami perkara ini, selalunya kita lebih memberi fokus terhadap mangsa kaum wanita iaitu isteri.

Jarang kita dengar mangsa lelaki atau suami dilaporkan. Pendedahan dibuat pihak KPWKM mengenai statistik 26% melibatkan suami sebagai mangsa perlu membuka mata orang ramai.

Mangsa keganasan rumahtangga melibatkan lelaki tidak boleh dipandang ringan kerana ia akan menjejaskan kehidupan mangsa itu sendiri serta kehidupan keluarganya.

Statistik yang diberikan hanya kes dilaporkan kepada pihak berkuasa. Dipercayai terdapat banyak lagi kes yang tidak dilaporkan kerana sikap kaum lelaki itu sendiri yang mungkin malu sekiranya isu keganasan rumahtangga yang melibatkan diri mereka sebagai mangsa menjadi gurauan masyarakat sekeliling.


Masyarakat kita masih hidup dalam keadaan yang konservatif di mana kaum lelaki sering dianggap sebagai tunggak rumahtangga serta mempunyai daya kekuatan mental dan fizikal untuk mendepani segala bentuk cabaran rumahtangga mereka sendiri.

Namun, ramai juga yang tidak ketahui ada suami yang terpaksa memendam perasaan mereka kerana ingin menyelamatkan rumahtangga mereka serta kehidupan ahli keluarga mereka terutama anak mereka.

Maka ada yang terpaksa menelan hempedu pahit serta menanggung segala seksa dan dugaan yang mendatang. Ada juga kaum lelaki yang tidak tahu untuk mengambil tindakan selanjutnya bagi menghentikan segala penderitaan yang dilalui mereka selama ini.

Ada yang mempunyai anggapan segala peruntukan undang-undang hanya memberi fokus perlindungan terhadap kaum wanita sahaja.

Akta Keganasan Rumahtangga 1994 (Akta 521) kita merangkumi aspek perlindungan, bukan sahaja terhadap wanita malah lelaki juga.

Kewujudan Akta 521 merupakan antara usaha kerajaan melalui kerjasama badan bukan kerajaan (NGO) bagi menangani masalah keganasan rumah tangga.

Akta 521 diluluskan Parlimen pada 1994. Akta 521 terbabit mengenal pasti keganasan dalam sesebuah rumahtangga sebagai masalah sosial yang serius dan mesti ditangani dengan segera.

Keganasan rumahtangga bukan masalah peribadi keluarga. Undang-undang khusus bagi membendung masalah keganasan dalam keluarga ini mengiktiraf hak semua manusia untuk mengecapi kehidupan berkeluarga lebih bermaruah, aman dan harmoni.

Kaum lelaki perlu tampil bersuara untuk meluahkan segala masalah dialami mereka tanpa sengan silu bagi menjamin kesejahteraan kehidupan mereka dan anak mereka serta pada masa sama berani dalam menuntut segala hak dan keadilan buat diri mereka seperti yang termaktub melalui peruntukan undang-undang.

Masyarakat kita pula harus mengubah segala tanggapan lama mereka yang anggap keganasan rumahtangga hanya boleh berlaku terhadap kaum wanita sahaja serta menganggap mangsa lelaki sebagai bahan gurauan.

Pada masa sama, masyarakat sekeliling harus memainkan peranan dengan turut menghulurkan segala bentuk bantuan dan sokongan terhadap mangsa yang terlibat dengan isu keganasan rumahtangga.

Dr Muzaffar Syah Mallow
 

No comments:

Post a Comment