HULU TERENGGANU, 23 April ― Orang ramai sekali lagi diingatkan agar tidak sekali-kali mendedahkan maklumat peribadi mereka di media sosial.
Mengingatkan demikian, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari berkata kebanyakan pengguna sering cuai dengan memuatnaik data peribadi mereka secara terbuka di media sosial tanpa menyedari ada pihak tidak bertanggungjawab menggunakan data mereka untuk perkara negatif.
"Apa yang ingin saya nasihatkan pengguna-pengguna di luar sana, jangan kita sewenang-wenangnya berkongsi maklumat peribadi sama ada nama, tarikh lahir atau pun nombor akaun (bank).
"Kebanyakan pengguna media sosial teruja memuat naik gambar yang mengandungi maklumat peribadi contohnya keputusan peperiksaan di mana di dalamnya terkandung nombor kad pengenalan dan lain-lain, begitu juga mereka yang memuatnaik gambar pasport sedangkan banyak maklumat peribadi dipaparkan," katanya kepada pemberita di sini semalam.
Jailani yang juga Anggota Parlimen Hulu Terengganu berkata maklumat ataupun data peribadi rakyat negara ini adalah tertakluk di bawah Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia.
"Sekiranya mana-mana pihak memperolehi data peribadi (kita), dan menyebar luaskannya tanpa persetujuan kita, ia menjadi satu kesalahan di bawah Seksyen 130... apabila disabitkan, didenda tidak melebihi RM500,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.
Pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) boleh membantu sekiranya ada pihak yang mencuri dan menyebarkan data peribadi orang lain, katanya.
Sebarang permasalahan ataupun aduan mengenai kecurian data peribadi boleh dibuat di laman web [email protected]/* */, katanya. ― Bernama
No comments:
Post a Comment