KUALA LUMPUR: 'Raja Bomoh' atau nama sebenarnya, Ibrahim Mat Zin mengaku bahawa tindakannya melakukan ritual pelik, termasuk aksi 'melihat menggunakan teropong buluh' dan 'angkat kelapa' adalah ‘lakonan’ yang diarahkan oleh individu tertentu yang tidak dapat didedahkannya.
Bercakap pada sidang akhbar di Kompleks Pusat Islam, Kuala Lumpur, hari ini, Ibrahim, 66, mengakui bahawa tindakannya yang kononnya untuk membantu menyelesaikan beberapa kejadian dan isu besar di negara ini, sebenarnya hanyalah bagi memeriahkan suasana.
“Kini saya tidak lagi mahu dikenali dengan panggilan Raja Bomoh dan menyesali segala perbuatan saya sebelum ini.
“Saya memohon ampun dan maaf kepada semua umat Islam di Malaysia dan seluruh dunia,” katanya yang dipetik oleh portal Utusan Online.
Pengakuan bertaubatnya itu disaksikan oleh Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Zulkifli Al Bakri; Pengarah JAWI, Abdul Aziz Jusoh dan Ketua Pegawai Penguatkuasa Agama JAWI, Wan Jaapar Wan Ahmad.
Sementara itu, portal itu turut memetik Abdul Aziz sebagai berkata, Ibrahim mengaku bersalah atas segala pertuduhan yang dibacakan kepadanya di bawah seksyen 7(a), Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997 bagi kesalahan menghina Islam.
“Disebabkan faktor kesihatan dan umur, Ibrahim diperintah untuk berkelakuan baik selama enam bulan dan menjalani kelas akidah serta fardu ain.
“Diharapkan hukuman yang diterima dapat memberi pengajaran kepada beliau menyesali dan bertaubat atas semua perbuatannya,” katanya.
Ibrahim mencetuskan kontroversi apabila dirinya sering melakukan ritual pelik.
Terakhir, pada 13 Mac lalu dia melakukan ritual di hadapan Institut Perubatan Forensik Nasional, Hospital Kuala Lumpur kononnya 'memagar' Malaysia dari diserang negara asing khususnya Korea Utara.
Antara ritual peliknya yang lain termasuk mencari pesawat Penerbangan Malaysia MH370 yang hilang dan ‘merestui’ tempat kejadian kemalangan yang membabitkan bekas pemimpin DAP, mendiang Karpal Singh.
Sebelum ini Ibrahim ditahan oleh JAWI di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi pada 22 April lalu.
No comments:
Post a Comment