Thursday 13 April 2017
Hakim Wanita Muslim AS Pertama Dibunuh Kejam
NEW YORK - Mayat individu kulit hitam yang merupakan hakim wanita pertama Muslim dilantik di Amerika Syarikat (AS) ditemui di Sungai Hudson, lapor agensi berita antarabangsa Reuters.
Jasad Sheila Abdus-Salaam, yang berusia 65 tahun serta berkhidmat di mahkamah tinggi New York itu, dijumpai tidak bernyawa dan terapung di barat Manhattan di sini pada Rabu, kata jurucakap polis tempatan hari ini.
Pihak polis New York terpaksa menarik mayat allahyarham yang masih lagi berbalut lengkap berpakaian ke tebing sungai tersebut pada sekitar pukul 1.45 tengah hari Rabu waktu tempatan (iaitu 1.45 pagi Khamis waktu Malaysia).
Jurucakap polis memberitahu, pihaknya sudah mengenal pasti waris ahli keluarganya dan selesai melakukan proses bedah siasat terhadap jenazah Sheila untuk menentukan punca penyebab sebenar kematian mangsa tersebut.
Allahyarham yang berasal dari Washington DC, menjadi wanita berdarah Afrika-Amerika yang pertama dilantik bertugas di mahkamah tinggi daerah itu ketika Gabenor Mario Cuomo memilihnya untuk ditugaskan pada 2013 lalu.
“Hakim Sheila merupakan pengamal undang-undang yang keseluruhan hidupnya untuk kesejahteraan masyarakat dan membuatkan semua warga New York merasakan keadilan,” kata beliau menerusi satu kenyataan media.
Menurut sumber rujukan Encyclopedia of American Political History, Sheila merupakan wanita beragama Islam pertama yang pernah dilantik secara rasmi menjadi hakim tempatan di sebuah mahkamah AS.
Terdahulu, akhbar berpengaruh The New York Post melaporkan, allahyarham dilaporkan telah hilang dari rumahnya di Harlem, New York sejak pagi Rabu dan usaha untuk menghubungi keluarganya juga tidak berjaya.
Wanita tersebut merupakan penuntut perundangan lulusan dari Barnard College Law School, Universiti Columbia sebelum memulakan kerjaya kehakiman sebagai penolong hakim sebuah mahkamah tinggi di negeri New York.
Allahyarham pernah mengadakan siri kempen kesedaran awam mengenai institusi keadilan menerusi satu laman sesawang setelah dipilih sebagai hakim di New York City pada tahun 1991. – Agensi/Mynewshub.cc/HA
No comments:
Post a Comment