Saturday 1 April 2017
Hadi sendiri bentang RUU 355
Abdul Hadi Awang
01 April 2017 1:00 AM
MARANG 31 Mac - Rang Undang-undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355 akan dibentangkan sendiri oleh Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam sesi sidang Dewan Rakyat yang sedang berlangsung sekarang.
Menurut Presiden Pas itu, pembentangan rang undang-undang tersebut telah mendapat persetujuan kerajaan yang kemudiannya akan dibahaskan dalam sesi kali ini.
Sidang Dewan Rakyat kali ini akan berlangsung sehingga 6 April ini.
Abdul Hadi walau bagaimanapun berkata, tarikh pembentangan pindaan itu bergantung kepada keputusan Speaker Dewan Rakyat.
“Insya-Allah saya akan bawa sendiri (bentang RUU 355) di Parlimen dan kita sudah dapat persetujuan untuk bawa dalam sidang kali ini juga dan akan dibahaskan.
“Speaker akan tentukan masa mengikut standing order Parlimen selesai urusan kerajaan. Walau bagaimanapun kerajaan boleh beri (tarikh pembentangan) pada bila-bila masa,” katanya kepada pemberita sejurus selesai menyampaikan kuliah Jumaat di Masjid Rusila, dekat ini hari ini.
Abdul Hadi mengulas keputusan Barisan Nasional (BN) tidak akan membentangkan RUU 355 selaras dengan amalan BN yang membuat keputusan berdasarkan konsensus bersama parti komponen.
Kelmarin, Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Mesyuarat Dewan Tertinggi BN di Kuala Lumpur berkata, pembentangan RUU 355 akan kekal sebagai rang undang-undang persendirian yang akan dibentangkan oleh Abdul Hadi.
Abdul Hadi berkata, keputusan BN tidak membentangkan rang undang-undang tersebut tidak memberi kesan kepada Pas untuk meneruskan pembentangan.
“Tak ada kesan. Sebenarnya kerajaan setuju dan beri jalan untuk kita bawa (bentang),” katanya.
Beliau turut menggesa semua ahli Parlimen yang beragama Islam supaya bersama menyokong pembentangan tersebut kerana itu merupakan kewajiban dalam Islam.
“Ini berkaitan dengan hak dan kewajiban orang Islam. Tidak ada sebab bagi orang bukan Islam untuk campur tangan,” tegasnya.
Ditanya mengenai pelbagai halangan yang dihadapi Pas untuk membentangkan RUU 355 itu, Abdul Hadi berkata: “Kita hadapi halangan itu dan kita kenal siapa yang menghalang.”
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/berita/politik/hadi-sendiri-bentang-ruu-355-1.464380#ixzz4cz17sIEa
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment