Saturday 4 March 2017

RUU 355 Memperkasa Mahkamah Syariah akan bawa kesan buruk kata kumpulan Kristian



Berita

PETALING JAYA: Rang undang-undang persendirian untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU 355 akan membawa kesan buruk dan menjejaskan prinsip asas keadilan, kebebasan dan hak rakyat Malaysia, kata Persekutuan Kristian Malaysia (CFM).

Merujuk RUU persendirian yang dibawakan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Pengerusi CFM, Eu Hong Sen berkata, cadangan pindaan itu hanya boleh dimulakan kerajaan selepas kajian menyeluruh mengenai kesannya ke atas semua lapisan masyarakat.

“Mereka perlu membincangkan (pindaan itu) dengan teliti dan bertanggungjawab serta secara terbuka dan jujur, tetapi ini tidak berlaku.



“Pindaan itu tidak patut menjadi domain umat Islam semata-mata. Ia juga tidak seharusnya dilihat sebagai tugas kompulsif umat Islam seperti ditegaskan presiden PAS yang mendakwa ia adalah ‘undang-undang Allah’,” katanya dalam satu kenyataan yang disertakan lembaran fakta mengenai RUU 355.

Dengan mendakwa undang-undang Islam sudah memberi kesan kepada kehidupan orang bukan Islam, CFM memberi contoh beberapa dekad lalu, daripada penggunaan perkataan yang dikhasnya untuk umat Islam dan kontroversi berterusan apa yang “halal” dan sebaliknya.

“Walaupun orang bukan Islam asyik diberi jaminan mereka tidak akan terjejas, ini tidak benar.

“Ini sebabnya CFM menyiarkan lembaran fakta ini supaya rakyat Malaysia bukan beragama Islam akan sedar tentang implikasi RUU ini,” kata Eu yang merayu rakyat Malaysia meminta ahli Parlimen mereka mengundi menentang RUU 355.

Dengan Umno sebagai parti utama dalam kerajaan pemerintah pimpinan Barisan Nasional, bergabung tenaga dengan PAS untuk membentangkan RUU itu di Parlimen, CFM berkata, implikasinya besar kerana pemimpin Umno secara terbuka menyokong RUU 355.

“Oleh itu, CFM menyeru ahli Parlimen Malaysia di Dewan Rakyat dan Dewan Negara, tidak meluluskan mana-mana versi pindaan terhadap Akta 355.”

Lembaran fakta CFM boleh didapati di https://www.scribd.com/document/340808724/CFM-Fact-Sheet-on-Proposed-Amendment-Bill-to-Act-355-FINAL-3-March-2017

No comments:

Post a Comment