Monday 20 March 2017

Peluk Islam selepas terjatuh



Peluk Islam selepas terjatuh
Muhammad Yusof (kanan) dan Shahidin di sebuah pondok agama didiami Yusof.


BALING - Insiden jatuh daripada bumbung sebuah gereja dua tingkat tanpa mengalami kecederaan menyedarkan seorang lelaki bukan Islam mengenai kebesaran ALLAH sebelum dia mengambil keputusan memeluk Islam.

Mengimbau kembali peristiwa dua tahun lalu, Davindran atau nama muslimnya, Muhammad Yusof Abdullah, 63, berkata, kejadian itu berlaku ketika dia sedang membantu rakannya membaiki bumbung gereja.

“Waktu tu saya ditugaskan di tingkat satu untuk baiki paip air. Bila tugasan selesai, saya naik ke bahagian bumbung untuk bantu rakan.


“Tetapi disebabkan tersalah pijak salah satu bahagian bumbung, saya terjatuh ke lantai dalam ruang tandas hingga menyebabkan tujuh singki pecah. Siling dan tiang penyokong juga jatuh ke lantai,” katanya, di sini, semalam.

Muhammad Yusof berkata, sangkaan dia akan maut akibat kejadian itu ternyata meleset sama sekali.

“Selepas terjatuh, paderi dan rakan-rakan lain berlari ke arah tandas. Mereka sangka saya dah mati, tapi waktu tu saya mampu bangun seperti biasa tanpa sebarang kecederaan. Hanya terasa sakit sedikit di bahagian belakang badan.

“Saya sendiri sangka akan mati sebab jatuh dari tempat tinggi. Dengan usia 61 tahun ketika itu, mustahil seseorang masih hidup dan tidak mengalami kecederaan Paling tidak tulang akan patah sebab saya terhentak di atas simen. Inilah kebesaran ALLAH,” katanya.

Menurutnya, menguatkan lagi kepercayaan terhadap kebenaran Islam apabila dia melafazkan kalimah allahuakbar dan alhamdulillah tanpa sengaja.

Katanya, perkara itu berlaku beberapa hari selepas insiden tidak dapat dilupakan itu.

“Bibir mengungkapkan kalimah allahuakbar dan alhamdulillah setiap kali sebelum tidur dan terjaga. Ia dilafazkan selama dua hari berturut-turut dalam keadaan saya tidak faham makna perkataan tersebut dan secara spontan.

“Kemudian perkara itu diceritakan kepada rakan muslim sebelum dia membawa berjumpa dengan seorang imam di Masjid Labuhan Dagang Selangor. Atas kerelaan saya memeluk Islam,” katanya.

Muhammad Yusof yang menuntut ilmu di sebuah pondok agama dalam daerah, menerima bantuan kewangan daripada Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK).

“Pesanan kepada saudara baru yang lain, jagalah solat dengan baik. Jangan sesekali tinggalkan kewajipan tersebut. Itu adalah kunci kebenaran,” katanya.

Sementara itu, abang angkatnya, Shahidin Hamid, 75, berkata, kisah Muhammad Yusof jatuh daripada bumbung gereja disahkan melalui kenalan yang menyaksikan kemalangan tersebut.

“Sebelum mengambilnya sebagai adik angkat, saya hubungi beberapa kenalannya selain berjumpa sendiri dengan pihak masjid yang mengislamkan Yusof.

“Rutin harian Yusof adalah menuntut ilmu. Selain di pondok, dia juga menghadiri kelas pengajian agama di beberapa daerah lain,”katanya.

Untuk bantuan boleh hubungi Shahidin Hamid di talian 019-4001942.

No comments:

Post a Comment