Monday 27 March 2017

Minuman Tiger tanpa alkohol: Jika dibuat dari premis yang membuat arak, maka hukumnya adalah haram



Selongkar

BANGI, 27 Jamadilakhir 1438H, Ahad – Syarikat pengeluar arak tidak layak memperoleh sijil pengesahan halal Malaysia meskipun ke atas produk minumannya yang tidak mempunyai alkohol.

Perkara itu disahkan oleh Bahagian Hab Halal, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menerusi laman Facebooknya hari ini sebagai menjawab soalan berhubung status halal minuman tanpa alkohol jenama Tiger.

Menurut kenyataan itu, minuman jenama berkenaan bukan pemegang dan tidak layak untuk memohon sijil pengesahan halal meskipun ia tanpa alkohol.

“Sekiranya produk ini dibuat dari premis yang membuat arak, maka hukumnya adalah haram sekalipun dilabel sebagai tanpa alkohol.

“Selain itu, Jakim menetapkan bahawa pengilang yang menghasilkan produk halal dan haram tidak layak memohon sijil halal,” kata kenyataan itu.

Malah Jakim berkata, syarat pemilikan sijil halal yang ditetapkan oleh pihaknya itu adalah berasaskan kepada ketentuan fatwa.

“Sebuah kilang arak pernah menghubungi kami untuk mendapatkan nasihat bagi membolehkan mereka memperolehi sijil halal untuk produk luar negara. Jawapan kami, tidak layak memohon.

“Pernah juga sebuah kilang ingin mendapatkan sijil halal untuk kantin pekerjanya. Jawapan Bahagian Hab Halal Jakim, tidak layak memohon.

“Menarik bukan? Bekerja di kilang arak tetapi mempunyai komitmen yang tinggi untuk memastikan makanan di kantin benar-benar halalan toyyiban,” katanya.

1 comment: