Sunday 5 March 2017

6 Cara Anda Menjadi Ejen Penyebaran Islam Melalui Media Sosial






Media sosial adalah satu medium penyampaian maklumat terpenting yang berpengaruh dalam kalangan masyarakat kini. Justeru, amatlah rugi sekiranya kita tidak memanfaatkan peluang tersebut untuk menyebarkan keindahan Islam.


Lalu, bagaimana caranya untuk memanfaatkan media sosial ini bagi tujuan tersebut?
#1 – Menulis Status Yang Bermanfaat

Cuba sekali, anda menulis status berbentuk Islamik, sebagai contoh, ‘sabar itu separuh dari iman’, ‘diam itu lebih baik daripada berkata perkara yang buruk’. Mudah bukan?

Ataupun jika rajin, anda juga bolehlah menaip dengan lebih panjang dalam bentuk story telling supaya penulisan tersebut menarik perhatian orang lain untuk membacanya.
#2 – Share Sesuatu Yang Berguna


Tiada salahnya apabila anda berkongsi sesuatu yang beroleh manfaat untuk diri sendiri dan orang lain. Pada ruangan facebook, twitter atau instagram ada ruangan untuk anda share status orang lain di laman sosial milik anda. Apapun, adalah lebih baik untuk kita meminta izin kepada pemilik asal sebelum share perkara tersebut.

Contoh, perkongsian ilmu yang diperoleh melalui doodle dakwah, iaitu kartun berbentuk Islamik yang ternyata menarik minat anak muda masa kini, termasuk kanak-kanak.
#3 – Hindari Perdebatan

Sekiranya ada perdebatan mengenai sesuatu perkara di dalam media sosial tersebut, sebaiknya anda elakkan. Melainkan, jika anda berada di laman tersebut untuk mendamaikan pihak yang tegas menegakkan hujah masing-masing.

Hal ini bagi mengelakkan persepsi negatif golongan bukan Islam terhadap Islam itu sendiri. Bukankah Islam itu agama kedamaian, juga kesejahteraan?

#4 – Tukar Gambar Profile

Menukar gambar profile diri yang biasanya diletakkan gambar peribadi kepada gambar yang berbentuk Islamik, adalah salah satu cara paling mudah untuk menyebarkan keindahan Islam itu sendiri.

Sebagai contoh, letakkan gambar pemandangan Kaabah, masjid, mutiara kata Islam, dan lain-lain lagi. Siapa tahu, rakan anda yang bukan Islam tertarik dengan gambar tersebut dan mula mengkajinya?

Selain itu, anda juga boleh mengelakkan diri daripada terkena buatan orang yang berniat jahat. Ini kerana, perbuatan menyihir orang boleh dilakukan melalui gambar peribadi.
#5 – Sertai Group Yang Bermanfaat

Hati manusia memang perlu dinasihati sentiasa. Anda juga boleh memanfaatkan media sosial ini dengan menyertai mana-mana group yang membincangkan mengenai hal-hal agama.

Sebagai contoh, melalui medium Whatsapp dan Telegram yang rata-rata digunakan oleh masyarakat kini sebagai perantara.

Dalam erti kata yang mudah, ia seakan ‘usrah bergerak’. Dan, segala perkongsian atau ilmu yang didapati menerusi group tersebutlah bolehlah dikongsi kepada rakan-rakan, ahli keluarga dan sesiapa sahaja.
#6 – Menjalankan Bisnes

Tahukah anda, bisnes juga turut menyumbang dalam penyebaran Islam? Sebagai contoh, anda menjalankan perniagaan tudung atau pakaian yang mengikut syariat secara online.

Siapa tahu, ada dalam kalangan mereka yang belum menutup aurat secara sempurna sebenarnya ingin berubah ke arah yang lebih baik dan mencari-cari busana muslimah yang bersesuaian dengan dirinya. Secara tidak langsung, anda telah membantu dirinya dan ‘saham akhirat’ anda juga turut meningkat.

Perkembangan teknologi yang semakin maju dan pesat kini seharusnya dimanfaatkan secara berkesan, bukan dilihat dari sudut negatif mahupun keburukannya sahaja.

Selain enam cara di atas, sebenarnya masih banyak lagi peluang dan ruang yang boleh kita gunakan untuk memanfaatkan media sosial ke jalan kebaikan, lebih-lebih lagi untuk tujuan dakwah kepada diri sendiri dan khalayak ramai.

Justeru itu, hayatilah sabda Baginda Nabi saw ini yang bermaksud;


“Sampaikanlah dariku walau hanya satu ayat.”Hadis riwayat Bukhari

No comments:

Post a Comment