Mujur ada Facebook, Instagram dan Twitter. Akhirnya rancangan dibuat dan berjumpalah mereka di meja makan sebuah restoran. Mula-mula pertemuan berlangsung cemerlang. Masing-masing seronok bercerita sehinggalah muncul si pelayan dengan pesanan yang diminta.
Melihat makanan yang banyak dan ‘penampilan’ makanan yang menggiurkan, masing-masing terus mengeluarkan telefon bimbit. Gambar makanan segera diambil dari pelbagai posisi. Atas, kanan kiri, dekat, jauh. Terus masuk di Instagram dan Facebook. Setiap kali ada respon di media sosial, maka berbunyilah telefon bimbit masing-masing.
Akhirnya tumpuan beralih kepada telefon bimbit. Rakan yang dirindukan di media sosial, bertemu lagi pada saat itu di media sosial walaupun secara fizikalnya sudah ada di depan mata. Pada saat itu anda mulai terfikir, “Adakah aku obses dengan media sosial?”
#1 – Terus Capai Telefon Apabila Bangun Tidur
Bila bangun dari tidur, perkara pertama anda lakukan adalah melihat telefon bimbit anda. Anda tak sabar hendak melihat berapa banyak ‘like’, ‘comment’, dan ‘retweet’. Ia tidur bersama anda malam tadi, betul-betul di sisi anda.
#2 – Photographer Tegar Makanan
Pantang makan di restoran. Semua makanan anda mahu ambil gambarnya. Anda mahu orang lain atau pun peminat anda atau pengikut anda juga ‘menikmati’ makanan anda. Kalau mereka teruja, anda pun gembira. Kalau anda makan dengan pasangan anda, anda fikir ia lebih romantik bila pengikut anda juga tahu apa anda makan.
#3 – Ambil Gambar Lagi!
Anda ada aktiviti bersama anak anda. Mereka mendapati anda mengambil gambar mereka sepanjang aktiviti dan tidak menghiraukan mereka. Ini kerana anda perlu kongsi gambar aktiviti anda bersama anak-anak terlebih dahulu di media sosial!
#4 – Lupa Nama
Anda lupa nama kawan anda tapi anda ingat nama media sosial mereka.
#5 – Tengok FB lah!
Bila anda bertemu rakan anda, anda minta mereka merujuk di media sosial untuk mengetahui perkembangan anda selama ini.
#6 – ‘Like Seekers’
Anda suka semua yang anda kongsi di Facebook. Jadi, daripada menunggu kawan-kawan ‘like’, anda lakukannya sendiri terlebih dahulu. Anda juga sanggup lakukan aktiviti berbahaya hanya untuk mendapat ‘like’.
#7 – Kerap Meluah Cerita Sedih Di Media Sosial
Perkara pertama apabila mendengar berita sedih atau buruk adalah dengan berkongsi kesedihan anda di media sosial. Anda mahu jadi orang yang pertama dengan semua hashtag yang pertama.
#8 – Swafoto(selfie)Tidak Kira Tempat
Anda sudah tidak mengira aktiviti dan lokasi untuk dikongsi di media sosial. Semua aktiviti yang anda lakukan mempunyai tujuan untuk dikongsikan di media sosial. Anda masukkan selfie di kubur dengan wajah sedih.
#9 – Anda Kehilangan Emosi
Anda tidak ketawa dengan lawak yang dibuat, tapi menggantikannya dengan LOL. Anda tidak senyum dengan berita gembira tapi sebaliknya menggunakan ‘smiley’.
#10 – Hashtag!
Anda bercakap dengan menggunakan perkataan yang biasa digunakan di media sosial untuk komunikasi harian anda seperti “Saya sudah makan. Hashtag makan, hashtag sedap.”
Dari Ibnu Mas’ud r.a, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
“Binasalah orang-orang yang berlebih-lebihan.”
Orang yang berlebih-lebihan dalam sesuatu akan mendatangkan kesan yang buruk bukan sahaja kepada dirinya, malah kepada mereka yang berada disekelilingnya. Individu dengan obsesi media sosial mudah kehilangan fokus kepada dunia realitinya.
Perkara yang sebenarnya tidak penting kini menjadi keutamaan kepadanya sehingga memberi kesan kepada kestabilan emosinya. Sedangkan perkara yang ditekankan itu tidak langsung bermanfaat baginya.
Abu Hurairah r.a berkata, Rasulullah s.a.w bersabda,
“Di antara tanda kebaikan keislaman seseorang ialah jika dia meninggalkan hal-hal yang tidak bermanfaat baginya.”At-Tirmidzi
Penggunaan media sosial tidak salah tapi jika berlebihan sehingga melekakan, ia akan membuang semua kebaikan. Gantinya nanti ialah keburukan yang menjurus kepada larangan-larangan dari Allah s.w.t. Oleh itu, kawal diri dan pantau penggunaan media sosial anda.
No comments:
Post a Comment