Oleh: Dr. Khalif Muamar
Tulisan dan ceramah saudara tentang Ilmu Kalam, sifat 20 dan anjuran untuk tidak terikat dengan mazhab adalah dirujuk.
Penting untuk kita ketahui bahawa Asha'irah melalui ilmu Kalam telah banyak berjasa menangkis dan meranapkan hujah-hujah Mu'tazilah, Syi'ah dan kelompok sesat yang lain.
Ini kerana hanya golongan Asha'irah-Maturidiyyah yang mempunyai alat untuk melawan hujah dengan hujah secara intelektual sesuatu yang tidak dimiliki oleh ulama' Ahli Hadith. Selain daripada itu ilmu usul al-fiqh telah banyak mengambil manfaat daripada ilmu Kalam. Kitab al-Burhan oleh Imam al-Juwayni dan kitab al-Mustasfa oleh Imam al-Ghazali menurut Ibn Khaldun adalah dua kitab yang paling berpengaruh dalam ilmu Usul al-fiqh dalam dunia Islam dan keduanya menggunakan ilmu Kalam. Kitab al-Mustasfa bukan sahaja menjadi rujukan mazhab al-Shafi'i tetapi juga diterima pakai oleh mazhab empat yang lain. Sehingga ulama'- ulama' yang bermazhab Maliki di Tunis, Maghribi, di Barat dunia Islam turut mensyarahkannya. Kerana itu dapat disimpulkan bahawa tindakan memperkecilkan dan mengkeji ilmu Kalam adalah tindakan mundur ke belakang bahkan dapat merosakkan asas-asas peradaban Islam.
Cerita tentang seorang tua yang keliru tentang pengajian sifat 20 yang telah berzaman diamalkan di alam Melayu adalah cerita yang keterlaluan, ia mungkin diada-adakan atau ditokok tambah. Jika adapun kaedah pengajaran sifat 20 seperti itu ia adalah kes terpencil yang ekstrim yang bukan sebenarnya dan tidak patut menjadi ukuran. Tidak sewajarnya kita menolak pengajian sifat 20 hanya kerana ada seorang makcik yang tidak dapat memahaminya. Sedangkan sifat 20 ini telah membantu ramai orang untuk mengenal Allah dan membentengi umat Islam daripada syirik dan mengukuhkan Aqidah mereka. Pengajian sifat Allah, tanpa melihat kepada angkanya, adalah perkara yang telah disepakati oleh ulama’ Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah dan bahkan di kalangan ulama’ Salafi sendiri sebagaimana terakam dalam Kitab Aqidah al-Tahawiyyah.
Apabila saudara mengatakan bahawa segala yang baik adalah sifat Allah, tampak di sini tiada sandaran yang saudara gunakan melainkan akal. Sedangkan Asha'irah-Maturidiyyah apabila mengemukakan sifat 20 mereka memberikan setiap satunya sandaran daripada ayat-ayat al-Qur'an dan al-Sunnah. Sifat 20 disarikan daripada kenyataan al-Qur'an bukan akal manusia. Jadi di mana letaknya dakwaan bahawa saudara hanya mengikuti al-Qur'an dan al-Sunnah. Oleh kerana itu tindakan saudara memperlekeh pengajian sifat 20 suatu tindakan yang melampau dan tidak sepatutnya berlaku jika saudara faham pentingnya menjaga perpaduan umat Islam.
Gerakan Wahabi, atau lebih tepat lagi Pseudo-Salafi, adalah satu fenomena baru yang telah memporakperandakan saf umat Islam. Ia bukan satu mazhab fiqh dan bukan juga satu gerakan atau aliran pemikiran yang tersusun. Ia lebih mirip kepada Khawarij di masa lalu yang biadab dan menentang autoriti Sahabat. Perlu dibezakan antara Wahabi dengan Salafi. Jika Salafi mengikuti Athariyyah yang merupakan sebahagian daripada ASWJ dan berpegang kepada Aqidah al-Tahawiyyah, Wahabi hanya menisbahkan diri mereka kepada Salafi tetapi tidak mempunyai ilmu dan sifat yang dimiliki oleh Salafi sebenar. Kebanyakan pemimpin gerakan ini terdiri daripada pakar dalam satu bidang ilmu kecil iaitu ilmu hadith, ilmu yang juz’i, kerana itu pandangan mereka sempit. Sedangkan para ulama’ ASWJ selain menguasai ilmu-ilmu juz’i tertentu mereka juga menguasai ilmu kulli, seperti ilmu Kalam dan ilmu usul al-fiqh, kerana itu wawasan dan pandangan mereka lebih luas.
Antara ciri penting Wahabi adalah menolak mazhab. Taqlid dengan mazhab tertentu dianggap sebagai taassub. Sedangkan ulama'-ulama' ASWJ sepakat bahawa keempat-empat mazhab ini adalah sah dan orang awam dianjurkan untuk bertaqlid kepada salah satu mazhab itu kerana ia lebih selamat bagi mereka (sila rujuk kata-kata Shah Waliyyullah al-Dahlawi dalam Hujjatullah al-Balighah tentang keharusan bertaqlid dengan mazhab). Justeru 4 mazhab inilah yang membentuk ASWJ. Menolak mazhab bermakna menolak imam-imam yang empat, Imam Malik, Abu Hanifah, al-Shafi’i dan Ahmad b. Hanbal,
walaupun dengan alasan terus merujuk kepada al-Qur'an dan al-Sunnah namun pada hakikatnya mereka menolak autoriti ulama' dan meletakkan diri mereka sebagai mujtahid yang setanding dengan imam-imam mazhab tersebut padahal mereka tiada kelayakan ilmiah dan keupayaan intelektual yang mencukupi. Imam-imam ASWJ daripada 8 kelompok yang disebutkan oleh Abd al-Qahir al-Baghdadi adalah autoriti ilmu yang mesti dirujuk oleh umat Islam. Golongan yang tidak menghormati autoriti ilmu ini umpama isteri Aladin yang tertipu dengan kilauan lampu baharu lalu bertindak menukarkan lampu lama yang amat berharga dan tiada duanya. Yang lama tidak semestinya perlu ditukar, yang baru tidak semestinya lebih baik. Yang penting adalah kita tahu menghargai tradisi yang kita miliki dan tidak terikut-ikut masuk lobang biawak modenisasi dan liberalisasi.
Kedua, kelompok Wahabi juga suka mempersoalkan amalan-amalan umat Islam dan membid’ahkannya semata-mata kerana dalil-dalil yang digunakan adalah lemah di sisi mereka. Mereka mempertikaikan amalan mawlid, tahlil, zikir berjamaah, melafazkan niat, mempelajari ilmu Kalam, ilmu Tasawwuf, dan menganggapnya bid’ah dolalah. Persoalan-persoalan yang sebenarnya telah selesai dibincangkan oleh para ulama’ dan terpulang kepada masing-masing pihak untuk menerima pandangan mana yang difikirnya lebih mendekati kebenaran tanpa mencerca pandangan yang lain.
Meskipun ilmu Tasawwuf dan ilmu Kalam tidak ada di zaman Rasulullah saw dan para Sahabat tetapi tidak bermakna kewujudannya dan perkembangannya bercanggah dengan ajaran Islam. Sesungguhnya Islam tidak menghalang perkembangan ilmu. Ketiadaan ilmu-ilmu ini di zaman Rasulullah dan Sahabat kerana di zaman mereka tidak ada keperluan. Perkembangan zaman yang mencabar dan kemunculan aliran-aliran yang sesat dan kerosakan pada kefahaman dan amalan keagamaan telah mendorong para ulama’ membangunkan ilmu ini berdasarkan asas-asas yang telah dibina oleh Rasulullah dan Sahabat baginda. Pendekatan golongan Wahabi dalam usaha kononnya untuk memurnikan agama Islam secara melampau telah menjadi pemicu kepada sikap ekstrim dan radikal sebahagian kelompok yang terlalu bersemangat tetapi miskin ilmu dan pengalaman.
Kedua-dua kecenderungan di atas sering terlihat pada tulisan dan ceramah saudara dan telah pun mendatangkan kegelisahan awam dan pertelingkahan yang merugikan. Saya melihatnya sebagai pengaruh wacana keagamaan di Timur Tengah yang cuba dibawa ke alam Melayu yang sebenarnya lebih damai dan santun dalam menanggapi perbezaan.
Kerana itu saya merayu dan menyeru kepada kelompok Salafi yang ekstrim agar kembali ke pangkuan ASWJ. Berhentilah menyakiti sesama Islam dan mengelirukan umat Islam yang awam dengan persoalan yang remeh. Bersama-samalah kita berganding bahu menumpukan pada agenda umat yang lebih penting demi masa depan yang lebih baik. ASWJ bukan satu kelompok kecil yang menghadkan kebenaran pada kelompoknya sahaja dan menolak yang tidak sealiran sebagai sesat hanya semata-mata kerana perbezaan pendapat. Ia adalah jumhur umat Islam yang termasuk dalam golongan al-firqah al-najiah (golongan yang selamat), kerana berpegang teguh kepada Sunnah Rasulullah dan sunnah para Sahabat baginda dengan menolak penyelewengan ahl al-bid’ah seperti Mu’tazilah, Syi’ah, Khawarij, Falasifah, dll. Perbezaan ASWJ dengan kelompok yang lain adalah perbezaan dalam hal usul bukan hal furu’.
Sebaliknya dalam hal furu’, ijtihadiyyah, mereka saling berlapang dada dan bersangka baik. Hanya dalam perkara yang secara qat’i bertentangan dengan al-Qur’an dan al-Sunnah kita tidak boleh bertolak ansur. Adapun dalam masalah khilafiyyah maka kaedah yang digunapakai oleh ulama adalah “al-khuruj min al-khilaf mustahab”, atau awla, (keluar daripada khilaf adalah digalakkan) bahkan wajib menurut sebahagian ulama (lihat al-Ashbah wa al-Naza’ir oleh al-Subki). Kerana itu kami tidak memaksa golongan Salafi menerima sifat 20, kerana keislaman seseorang tidak tertakluk pada penerimaan sifat 20, tetapi sekurang-kurangnya demi maslahat ummah hormatilah pendekatan para ulama’ ASWJ itu kerana ia berasaskan kepada al-Qur’an dan hadith sebagaimana anda mendakwa pendekatan Salafi juga bersumberkan al-Qur’an dan Hadith.
Awal kurun ke-20 kita telahpun menghadapi masalah pertikaian antara kaum muda dengan kaum tua. Pertikaian ini telah reda apabila pemimpin-pemimpin kedua belah pihak memilih jalan damai dengan tidak lagi membicarakan hal2 yang telah dipertelingkahkan. Bahkan di saat-saat tua Hamka yang merupakan pemimpin Muhammadiah dan kaum muda semakin menghargai dan menghormati kaum tua dan amalan Tasawwuf mereka. Amatlah rugi jika umat Islam kembali disibukkan dengan pertikaian yang merugikan dalam persoalan remeh temeh sedangkan banyak lagi agenda besar umat Islam terabaikan.
Berhentilah meniupkan semangat kaum muda untuk menolak dan membenci kaum tua, ia tidak akan memberi apa-apa manfaat. Ia bukan semangat tajdid yang diinginkan oleh Islam tetapi malah boleh menjadi sumber mala petaka bagi umat Islam. Islam mengajarkan kita untuk mengambil sikap bersederhana, dan tidak melampau dalam beragama. Dalam Islam autoriti ilmu adalah penting tanpanya Islam akan mudah mengalami kerosakan dan penyelewengan. Islam juga menyuruh kita untuk menyantuni masyarakat dan mengasihi mereka bukan membebankan mereka dengan persoalan khilafiyyah. Di sinilah pentingnya sikap saling menghormati dan berlapang dada sesama Islam demi menjaga persaudaraan Islam.
No comments:
Post a Comment