ADAM A KADIR
19 FEBRUARI 2017
Donald Trump
‘JUJ Makjuj’ (Yakjuj & Makjuj) dan ‘Firaun’ dianggap sebagai sesuatu yang hodoh dan zalim. Mustahil hendak dibayangkan rupa dan wajah masing-masing. Itulah kesan yang tinggal dalam kalangan orang kampung pada zaman dulu. Bila merujuk kepada budak yang tidak terkawal perangainya dan mengganggu ketenteraman orang lain, dia dipanggil ‘jahat macam Firaun’. Apabila ada orang yang suka bertindak kurang siuman, hodoh dan menakutkan, dia diumpamakan sebagai ‘Juj Makjuj’.
Jijiknya Juj Makjuj sehingga ungkapan ini dikarang: ‘Juj Makjuj jalan tepi pantai, jumpa sanggul busuk buat sentil tembakau’. Memanglah, Firaun itu ialah dinasti Raja Mesir yang beribu tahun wujudnya sehingga ke Cleopatra yang bersuamikan Julius Caesar, Emperor Rome. Firaun yang menjadi lambang kezaliman ialah yang bertakhta pada zaman Nabi Musa AS. Akibatnya, baginda dengan baninya tersingkir dari bumi Mesir kira-kira 2000 tahun sebelum Nabi Muhammad SAW.
Definisi kezaliman dalam konteks di atas ialah perangai jahat Firaun yang begitu. Dipercayai, pemerian hodoh dan jahat Firaun dan Juj Makjub itu diberikan oleh guru-guru agama dari satu generasi ke satu generasi. Antara yang kerap didengar dan diulang ialah Juj Makjuj akan timbul dulu sebelum hari kiamat, atau dengan menggunakan ungkapan lain, dunia akan kiamat bila Juj Makjuj menjelma.
Apabila Presiden Trump berkuasa di AS, beliau juga dianggap mempunyai ciri-ciri Juj Makjuj lebih-lebih lagi kerana bersikap anti-Muslim dan pro-Israel. Malah, Trump juga diumpamakan Firaun.
Sebaliknya Juj Makjuj, menurut hemah mereka yang berwibawa, adalah apa saja kehodohan yang membawa malapetaka paling dahsyat hingga mengkiamatkan dunia. Apakah dia? Sehari dua yang lalu, Presiden Trump berkata jika berlaku perang nuklear antara AS dengan Rusia selaku dua kuasa nuklear terbesar, ia akan mengakibatkan malapetaka yang tidak ada tolok banding dalam sejarah manusia. Kiamatkah kita?
AS mempunyai lebih 1,000 bom nuklear. Rusia ada lebih daripada itu. Tiap-tiap satunya beratus kali lebih kuat daripada yang digugurkan di Hiroshima dan Nagasaki, Jepun, pada tahun 1945. Jika yang sekecil itu boleh membunuh kira-kira 300,000 orang, bayangkan jumlah yang akan terkorban jika lebih 2,000 juta bom yang jauh lebih besar itu dilancarkan. Pastinya tidak cukup manusia di bumi ini untuk menjadi mangsa! Mungkin itu Juj Makjuj.
Untuk sekian lama AS sentiasa saja bermusuh. Semasa bermusuh dengan Soviet, kini Rusia, ia bermusuh pula dengan negara China. Jelas sekali AS tidak mahu Soviet dan China meluaskan kawasan komunis di dunia. Apabila komunis tumpas di Rusia 25 tahun dulu, AS masih tidak berpuas hati. Rusia yang baru belajar hidup secara kapitalis tidak diberikan ruang untuk bernafas dulu. Kebanyakan sekutu Soviet telah dimenangi AS Dalam keadaan terhimpit, Rusia tidak ada pilihan melainkan berpegang kepada yang ada dan mengaup balik apa yang ia hilang.
AS naik marah lalu menggunakan Nato (Pertubuhan Atlantik Utara) untuk terus menggugat Rusia. Iran dan beberapa negara lain yang berbaik dengan Rusia dikira menjadi musuh AS juga. Di latar belakang segala itu ialah senjata nuklear. Iran dinafikan memiliki bom nuklear untuk melemahkannya. Sebaliknya, Israel mempunyai 300 bom nuklear kononnya untuk mempertahankan diri. Dalam tersepit, Rusia memperbanyak dan menguatkan senjata itu.
Menghayati segala itu, Presiden Trump sedar bahawa berbaik dengan Rusia adalah satu dasar yang baik demi menjaga kepentingan AS dan dunia. Saya tidak tahu secara pasti apa yang disebut Juj Makjuj dalam kitab Injil (bible) tetapi Apocalyose dan Armageddon mungkin tidak jauh pengertiannya daripada itu. Trump menggunakan holocaust (pembunuhan Yahudi besar-besaran) yang berkali-kali lebih besar jika berlaku perang nuklear AS-Rusia. Tidak siapa yang akan menang dan untung, katanya.
Selepas berkunjung ke semua benua yang berpenduduk di dunia ini, saya dapati semua manusia adalah sama. Perbezaan hanya terdapat pada warna kulit dan pegangan agama. Semua boleh ceria, marah, benci, merajuk, mendendam, malu, megah dan lain-lain. Pekerti baik disukai, sifat buruk dikutuk. Orang baik dan jahat terdapat di mana-mana, tidak kira agama atau ideologi. Oleh itu ‘Juj Makjuj’ dan ‘Firaun’ boleh timbul di Estonia atau Malaysia. Yang penting, hayat yang merupakan anugerah Tuhan yang paling besar harus dipenuhi sebaik-baiknya demi kebaikan kemanusiaan, sebelum Juj Makjuj menuntut gilirannya
No comments:
Post a Comment