Thursday 26 January 2017

Menangkis Jerat Pragmatisme Terhadap Pemikiran Umat Islam


Perjalanan falsafah pemikiran telah melalui proses perkembangan yang panjang dengan berkembangnya tamadun manusia sama ada di zaman kemuncak peradaban Dunia Islam mahupun gerakan “renaissance” di Barat. Malangnya ketika fasa kolonialisasi berlaku pada abad ke-20, falsafah-falsafah pemikiran Barat telah mengakibatkan politik masyarakat Islam bersifat “stagnant” dan reaktif terhadap petunjuk al-Quran. Kekaguman masyarakat Islam terhadap idea-idea Barat menyebabkan berlakunya perubahan dalam realiti geopolitik dan praktis sosio-budaya di mana wujud negara Islam yang menjadi blok kapitalisme, ada juga yang menjadi blok sosialisme (ba’athisme). Bahkan sesetengah pemimpin beragama Islam mengadaptasi idea-idea Barat dengan mengatakan, “...Kita adalah bangsa yang pragmatik, meyakini politik itu dinamik boleh berubah mengikut keadaan dan suasana serta kehendak rakyat”.

Sejak fahaman pragmatisme diasaskan Charles S. Pierce (1839-1942), kemudian dikembangkan oleh William James (1842-1910) dan John Dewey (1859-1952), Barat cenderung mengambil pendekatan yang dianggap oleh mereka sebagai praktikal dalam memajukan negaranya meskipun pembangunan itu dilakukan di atas penderitaan orang lain. Mereka juga sanggup menjatuhkan sesiapun yang menghalang matlamatnya tidak kira apapun cara dan kaedahnya, asalkan orang itu ditumbangkan sehabis-habisnya. Ahli-ahli politik yang berfahaman pragmatisme gemar mendakwa perjuangannya adalah demi rakyat, sedangkan hakikat sebenarnya adalah demi kepentingan dirinya sendiri. Allah Taala telah berfirman dalam surah al-Ana’am ayat 116;
وَإِن تُطِعْ أَكْثَرَ مَن فِي الأَرْضِ يُضِلُّوكَ عَن سَبِيلِ اللَّهِ
“Dan jika engkau menurut kebanyakan orang yang ada di muka bumi, nescaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah.”

Inilah antara sebabnya mengapa Islam menentang teori-teori falsafah Barat kerana mereka meletakkan pengertian kebenaran hanya bersumber dari pengalaman, selera dan logik bukannya bersumber dari sesuatu yang maha tinggi dari akal manusia. Kebenaran menurut falsafah Barat bergantung kepada manfaat yang mampu dicapai oleh keadaan peribadi manusia. Kebenaran mutlak dihapuskan kerana falsafah Barat berpandangan bahawa apa yang benar atau salah, positif atau negatif adalah relatif dan bergantung kepada situasi kehidupan manusia. Kesannya menyebabkan sesuatu pegangan yang benar bagi individu atau kelompok tidak semestinya benar bagi individu dan kelompok yang lain. Sedangkan kebenaran menurut Islam pada hakikatnya bersifat tetap, tidak berubah walaupun berbeza dari sudut tanggapan manusia.





Firman Allah di dalam surah Aali-Imran ayat 60;
الْحَقُّ مِن رَّبِّكَ فَلاَ تَكُن مِّن الْمُمْتَرِينَ
“Kebenaran itu datangnya dari Tuhan-mu, kerana itu janganlah kamu termasuk dalam golongan orang yang ragu.”

Surah al-Mu’minun ayat 71;
وَلَوِ اتَّبَعَ الْحَقُّ أَهْوَاءَهُمْ لَفَسَدَتِ السَّمَوَاتُ وَالْأَرْضُ وَمَنْ فِيهِنَّ
“Andai kebenaran itu menuruti selera mereka, pasti binasalah langit dan bumi ini dan semua yang ada di dalamnya.”

Menolak Kebenaran Bersifat Mutlak

Individu atau masyarakat yang bersikap pragmatisme akan menolak unsur-unsur kebenaran yang bersifat mutlak. Tidak hairanlah jika ada yang mengatakan, “kebenaran bukan hanya milik Islam”, “kebenaran ditegakkan walau bukan dengan nama Islam” dan seumpamanya. Padahal ketika Rasulullah sallallahua’laihi wasallam menyampaikan surat kepada Raja-raja, Baginda Nabi tidak bersembunyi tentang keunggulan Islam yang dibawanya.
فَإِنِّي أَدْعُوكَ بِدِعَايَةِ الْإِسْلَامِ
“Saya menyampaikan dakwah kepadamu tentang seruan Islam...”

Hakikat yang perlu kita sedari terhadap mereka yang ragu-ragu terhadap Islam dengan mengatakan “kebenaran mutlak tidak wujud” sebenarnya mereka juga telah membuat kenyataan bersifat mutlak apabila mereka menyangka tiada kebenaran bersifat mutlak. Manusia mempunyai pengetahuan dan fikiran yang terhad, maka secara logiknya manusia tidak mampu mendabik dada secara fanatik mengatakan, “tidak mungkin ada kebenaran mutlak” kerana dalam rangka untuk membuat kenyataan sedemikian, dia perlu mempunyai pengetahuan meliputi seluruh alam semesta dari awal hingga akhir. Memandangkan hal itu tidak mungkin berlaku, Allah menjelaskan dalam surah Yunus ayat 94 sebagai jawapan kepada permasalahan mereka;
لَقَدْ جَاءَكَ الْحَقُّ مِن رَّبِّكَ فَلاَ تَكُونَنَّ مِنَ الْمُمْتَرِينَ
“Sesungguhnya telah datang kebenaran dari Tuhanmu (al-Quran dan Rasul), sebab itu janganlah sekali-kali kamu termasuk ke dalam golongan orang-orang yang ragu.”

Oleh kerana itu Islam menolak pragmatisme kerena aliran tersebut hanya menerima realiti agama yang bersifat fungsional dan kondusif sebagai “primary concern” yakni jika dirasakan ia dapat memberi faedah kepada kehidupan manusia. Hal ini sekaligus memperlihatkan bentuk keyakinan aliran pragmatisme yang nyata berbeza dengan nilai keyakinan yang wajib diimani oleh umat Islam. Pragmatisme mengakibatkan muncul sikap-sikap individu yang membenarkan sebahagian ajaran Islam dan menolak sebahagian yang lain atas alasan ia tidak fungsional dan tidak kondusif. Hal ini secara jelas mendapat tempelakan daripada Allah Taala dalam surah al-Baqarah ayat 85;
أَفَتُؤْمِنُونَ بِبَعْضِ الْكِتَابِ وَتَكْفُرُونَ بِبَعْضٍ فَمَا جَزَاء مَن يَفْعَلُ ذَلِكَ مِنكُمْ إِلاَّ خِزْيٌ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَيَوْمَ الْقِيَامَةِ يُرَدُّونَ إِلَى أَشَدِّ الْعَذَابِ
“Patutkah kamu hanya percaya kepada sebahagian isi kandungan al-Kitab dan mengingkari sebahagian yang lain? Maka tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian itu selain dari kehinaan ketika hidup di dunia, dan pada hari kiamat akan ditolak mereka ke dalam azab seksa yang amat berat.”

Oleh yang demikian Islam menyeru umat manusia supaya menerima dan meyakini ajarannya secara total sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah di dalam surah al-Baqarah ayat 208;
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ ادْخُلُواْ فِي السِّلْمِ كَافَّةً وَلاَ تَتَّبِعُواْ خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ
“Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah syaitan.”

Ayat di atas ini menunjukkan supaya umat Islam komited memperjuangkan kesempurnaan ajaran Islam kepada seluruh khalayak manusia, Muslim mahupun Non-Muslim. Tetapi kerana falsafah pragmatisme yang menjadi ikutan masyarakat Islam dewasa ini, mereka hanya akan mengambil kira faktor keselesaan rakyat (kondusif) tanpa mempedulikan kepentingan ta’abbudi kepada Allah dan geraklaku masyarakat yang dipandu syariat agama.

Hudud Tidak Fungsional Tanpa Suasana Kondusif?

Mutakhir ini bibit-bibit penolakan untuk menstrukturkan undang-undang hudud di Kelantan hangat diperdebatkan kembali atas alasan kondusif. Kondusif yang dimaksudkan pula ialah “khuatir Islam tidak diterima oleh masyarakat non-Muslim”, dengan mengambil contoh Umar al-Khattab radhiallahu anhu menangguhkan (breakdown) hudud pada tahun kemarau (am al-rimada). Sedangkan faktanya Umar al-Khattab tidak pernah menangguhkan pelaksanaan hudud, hukuman terhadap penzina tetap berjalan, hukuman terhadap peminum arak tetap berjalan, pendek kata beliau tetap melaksanakan undang-undang hudud kecuali pada kes-kes yang melibatkan jenayah curi pada waktu itu kerana wujud syubhat (keraguan) berhubung harta yang dicuri pada tahun kemarau yang panjang di zamannya. Apabila tanaman yang disemai tidak tumbuh, ternakan yang dibela mati menyebabkan kecurian berleluasa kerana masing-masing berjuang untuk meneruskan hidup.

Kaedah menyebut;
الْحُدُودُ تُدْرَأُ بِالشُّبُهَاتِ
“Hukum hudud terbatal dengan adanya keraguan.”

Sabda Rasulullah sallallahua’laihi wasallam;
مَنْ أَصَابَ بِفِيهِ مِنْ ذِي حَاجَةٍ غَيْرَ مُتَّخِذٍ خُبْنَةً فَلَا شَيْءَ عَلَيْهِ وَمَنْ خَرَجَ بِشَيْءٍ مِنْهُ فَعَلَيْهِ غَرَامَةُ مِثْلَيْهِ وَالْعُقُوبَةُ وَمَنْ سَرَقَ مِنْهُ شَيْئًا بَعْدَ أَنْ يُؤْوِيَهُ الْجَرِينُ فَبَلَغَ ثَمَنَ الْمِجَنِّ فَعَلَيْهِ الْقَطْعُ
“Sesiapa mengambilnya sekadar keperluannya untuk meneruskan hidup (menghilangkan kelaparan), dia tidak akan dikenakan apa-apa hukuman. Sesiapa yang mengambil sesuatu melebihi daripada keperluannya, maka wajib ke atasnya mengganti barang tersebut dengan barang yang serupa dan diberikan hukuman ta’zir. Dan sesiapa mencuri sesuatu barang (sedangkan dia tidak terdesak untuk melakukan demikian) setelah barang itu diletak di tempat penyimpanan (dijaga dengan rapi), bila nilai curiannya sama harga dengan nilai perisai maka wajib dihukum potong tangan.” (Riwayat Abi Daud)

Shaikh Abd al-Qadir Audah di dalam “al-Tashri’e al-Jina’ie al-Islamiy” menyatakan bahawa para ulama bersepakat bahawa hadd potong tangan tidak dikenakan kepada individu yang mencuri kerana mahu meneruskan hidup sekadar menghilangkan kelaparan. Bagaimanapun mereka berselisih pendapat mengenai hukuman hadd jika hasil curian itu adalah jenis makanan yang mudah rosak seperti buah-buahan dan sayur-sayuran. Imam Abu Hanifah menyatakan makanan seperti buah-buahan yang masih ditandan, ayam (burung), ikan segar atau ikan masin, garam dan barang-barang remeh tidak dikenakan hukuman hadd. Namun tidak semua imam-imam mazhab bersependapat dengan pandangan Abu Hanifah, ada yang mengatakan pencurian terhadap sebarang harta walaupun remeh/ tidak penting seperti kayu api, rumput, tanah, air ataupun barang yang mudah rosak seperti makanan, buah-buahan dan sayur-sayuran semuanya dikenakan hukuman hadd jika cukup nisabnya.

Jika kita menerokai perbahasan setiap mazhab, para ulama telahpun membincangkan hal ini secara panjang lebar. Soalnya adakah isu men“taqnin”kan hudud ini perlu dipengaruhi faktor kondusif? Adakah kerana kondusif menyebabkan seluruh jenayah hadd terbatal? Sepatutnya isu kondusif hanya timbul setelah hudud menjadi komponen dalam sistem kehakiman, bukannya ketika proses men“taqnin” masih berjalan atau ketika belum pun ia menjadi salah satu komponen dalam undang-undang kehakiman di Malaysia. Mengambil contoh penangguhan hudud pada situasi musim kemarau yang berlaku pada zaman pemerintahan Umar al-Khattab juga tidak betul, kerana Saidina Umar tetap melaksanakan hudud terhadap pelaku-pelaku jenayah hadd yang lain. Hudud tetap menjadi salah satu qanun yang terpakai dalam sistem kehakiman di zaman pemerintahan Umar al-Khattab. Bahkan Saidina Umar pernah mengenakan hukuman kepada pencuri yang memberikan alasan tidak wajar dan tidak boleh diterima walaupun situasi ketika itu masyarakat Islam menghadapi tahun-tahun kemarau.

Diriwayatkan oleh al-Ramahramzi, ketika seorang pencuri diadili oleh Umar al-Khattab radhiallahu anhu, beliau bertanya kepadanya, “Kenapa kamu mencuri?” Pencuri itu menjawab;
حملني عليها قضاء الله وقدره
“Saya mencuri kerana qadha’ dan qadar Allah.”

Lalu Umar al-Khattab pun menjawab;
وأنا أقطع يدك بقضاء الله وقدره
“Dan aku perintahkan tanganmu dikenakan hukuman hadd kerana qadha’ dan qadar Allah.”

Sebahagian riwayat mengatakan pencuri tersebut dikenakan hukuman hadd potong tangan beserta sebatan sebanyak 80 kali. Justeru mereka yang mendakwa bahawa perjuangan mengembalikan undang-undang hudud tidak boleh dilaksanakan dalam enakmen syariah di Malaysia selagi tidak mencapai tahap kondusif adalah jerat-jerat pragmatisme. Hakikat ini dijelaskan oleh Shaikh Mohamad Salih al-Munjid katanya;
أما حكامنا اليوم فلا يوثق بدينهم، يعني أكثرهم لا يوثق بدينه، ولا يوثق بنصحه للأمة، ولو فتح الباب لقال هؤلاء الحكام – وأعني بذلك بعضهم – لقالوا : إقامة الحد في هذا العصر لا يناسب ؛ لأن أعداءنا من الكفار يتهموننا بأننا همج ، وأننا وحوش ، وأننا نخالف ما يجب من مراعاة حقوق الإنسان ؛ ثم يرفع الحدود كلياً كما هو الواقع الآن في أكثر بلاد المسلمين مع الأسف ؛ حيث عطلت الحدود من أجل مراعاة أعداء الله. ولهذا لما عطلت الحدود كثرت الجرائم وصار الناس – حتى الحكام الذين تابعوا الكفار في هذا الأمر – في حيرة ماذا يفعلون في هذه الجرائم
“Para penguasa hari ini tidak konsisten berpegang dengan ajaran Islam, kebanyakan mereka tidak yakin dengan Islam (dijadikan sumber hukum) dan dijadikan sandaran dalam menasihati rakyat. Dalam era langit terbukapun segelintir mereka sering beralasan dengan kata-kata; Hudud di zaman ini tidak sesuai (tidak kondusif); kerana orang-orang bukan Islam menuduh masyarakat Islam tidak bertamadun (barbarik), dan rakus, lantaran itu kita cuba membetulkan tanggapan mereka. Hasilnya seluruh enakmen hudud disisihkan sebagaimana realiti yang berlaku di negara-negara umat Islam hari ini semata-mata menjaga hak asasi manusia; padahal hakikatnya penyisihan hudud berlaku kerana sikap keterlaluan menjaga kepentingan musuh Islam. Apabila hudud tidak diperjuangkan sebagai suatu enakmen perundangan banyaklah jenayah berlaku di kalangan manusia, sehingga para penguasa tadinya yang mengekori ke mana sahaja telunjuk musuh kononnya kebuntuan, apakah sepatutnya kita lakukan untuk menangani jenayah ini?”

Penutup

Dengan berpandukan kepada al-Quran dan al-Sunnah pemikiran-pemikiran menyeleweng yang datang dari Barat dapat didiagnosis awal supaya kebangkitan Islam yang berlaku tertegak atas dasar pemikiran yang jernih, kompeten dan padu demi meninggikan kalimah Allah, bukan sengih-sinis penyelewengan yang dilakukan oleh golongan-golongan pragmatisme. Islam tidak mengongkong fikiran manusia supaya bersikap “taqlid buta” sebaliknya Islam memberikan ruang yang luas kepada akal untuk memperhitungkan keadaan dan akibat serta menentukan arah tuju kehidupan manusia menuju redha Ilahi.

Akhirnya, marilah kita sama-sama hayati hadis di bawah ini yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas radhiallahu anhu agar kita thabat dan istiqamah memperjuangkan kalimah Allah walaupun dituduh dengan pelbagai tuduhan bodoh seperti fanatik, taliban dan sebagainya.
احْفَظْ اللَّهَ يَحْفَظْكَ، احْفَظْ اللَّهَ تَجِدْهُ تُجَاهَكَ، إِذَا سَأَلْتَ فَاسْأَلِ اللَّهَ، وَإِذَا اسْتَعَنْتَ فَاسْتَعِنْ بِاللَّهِ، وَاعْلَمْ أَنَّ الْأُمَّةَ لَوِ اجْتَمَعَتْ عَلَى أَنْ يَنْفَعُوكَ بِشَيْءٍ لَمْ يَنْفَعُوكَ إِلَّا بِشَيْءٍ قَدْ كَتَبَهُ اللَّهُ لَكَ، وَلَوِ اجْتَمَعُوا عَلَى أَنْ يَضُرُّوكَ بِشَيْءٍ لَمْ يَضُرُّوكَ إِلَّا بِشَيْءٍ قَدْ كَتَبَهُ اللَّهُ عَلَيْكَ. رُفِعَتِ الْأَقْلَامُ وَجَفَّتِ الصُّحُفُ 
“Jagalah hak Allah, nescaya Dia akan menjaga hakmu, jagalah hak Allah nescaya Dia bersamamu. Jika kamu meminta, mintalah kepada Allah, jika kamu mohon pertolongan, pohonlah kepada Allah. Ketahuilah kalau seluruh umat ini berkumpul untuk mendatangkan manfaat kepadamu, mereka tidak akan dapat memberikan manfaat sedikitpun kecuali apa yang telah Allah ditetapkan bagimu. Jika mereka berhimpun untuk memudharatkanmu, nescaya mereka tidak akan mampu memudharatkan kamu kecuali apa yang telah ditetapkan Allah bagimu. Pena-pena (takdir) telah diangkat dan lembaran-lembaran (tempat menulis takdir) telah kering.” (riwayat al-Tirmizi)

Biodata Penulis

Mohd Azmir bin Maideen mendapat pendidikan di Universiti Al Azhar, Fakulti Usuluddin Jabatan Dakwah wa Thaqafah Islamiyah, Kaherah. Pernah bertugas sebagai Pegawai Pembangunan dan Penyelidikan Dewan Pemuda PAS Malaysia. Beliau memilih PAS sebagai platform perjuangan Islam di Malaysia

No comments:

Post a Comment