Pendakwah bebas Ustaz Shanmugam memulakan kuliah Maghrib dengan membaca beberapa hadis berkaitan kelebihan menuntut ilmu. Kemudian Ustaz bercerita tentang pengalamannya mencari Islam ketika berumur 19 tahun. Lapan tahun kemudian ketika usianya 27 tahun, barulah beliau mendapat apa yang dicarinya; Islam agama yang benar.
Beliau mendapat hidayah melalui seruan azan. Dia selalu menonton TV ketika waktu Maghrib. Ibu bapanya selalu menyuruh beliau tutup TV ketika azan. Dalam kata lain, ibu bapanya tidak membenarkan dia mendengar seruan azan yang selalu dikumandangkan di TV. Namun suatu hari, seruan azan terasa benar menyentuh hati dan perasaannya. Peristiwa ini menggerakkan beliau untuk keluar mencari Islam.
Bapanya, seorang sami di Pulau Pinang, akhirnya memulaukannya setelah dia Islam. Sebelum Islam, Ustaz Shanmugam pernah menganuti 4 agama iaitu Hindu, Kristian, Buddha dan Bahai. Dia dapati tiada suatu agama pun yang mengisytiharkan agamanya betul. Tetapi Islam, diisytihar sendiri oleh Allah melalui al-Quranul Karim.
Ustaz Shanmugam berpesan bahawa Allah mengamanahkan Islam kepada setiap muslim. Dan setiap muslim hendaklah hidup dengan celupan Allah. Amat menyedihkan baginya, kini umat Islam hidup dengan cara dan fahaman Barat. Cara mereka berpakaian, cara makan, pergaulan, berekonomi dan berpolitik jauh dari ajaran Islam. Kata ustaz, bagaimana sanggup muslim menyanggahi aturan Allah sedangkan Bumi yang besar ini akur untuk sentiasa tawaf atau mengelilingi Matahari.
Malu kita kepada Ustaz. Ustaz kata dia berkorban keluarga untuk mencari Islam. Dia kehilangan ibu dan ayah tercinta kerana Islam. Dia kehilangan keluarga kerana Islam. Tetapi kita sebagai muslim sejak lahir dalam keturunan keluarga Islam, apa yang telah kita korbankan demi Islam? Kata ustaz, para sahabat Rasulullah s.a.w. meninggalkan harta, kebun, keluarga dan tanah air demi Islam. Itulah harganya kecintaan pada Islam.
Akhirnya, ustaz Shanmugam mengajak semua umat Islam turun untuk menyertai Himpunan RUU355 pada 18 Februari nanti. Inilah sedikit tanda rasa cinta pada Islam. Buktikan bahawa bumi bertuah ini milik Islam. Apakah yang ini pun kita tak mampu untuk tunjuk cinta pada Islam?
No comments:
Post a Comment