Ditulis oleh Umar Mukhtar Mohd Noor
Diterbitkan: 13 Januari 2017
SOALAN:
Assalamualaikum wrm wbt,
Bolehkah bagi seorang pengawal keselamatan meninggalkan solat jumaat kerana menjalankan tugas?
JAWAPAN:
Waalaikumussalam wrm wbt,
Tugas pengawal keselamatan ialah menjaga keselamatan kawasan yang dijaga daripada orang yang ingin melakukan kezaliman seperti penceroboh, pencuri dan perompak. Jika mereka tidak menjalankan tugas, maka maslahat-maslahat manusia seperti nyawa dan harta akan terdedah kepada bahaya. Justeru, para ulama meletakkan syarat wajib solat al-jumaat ialah al-khulw `an al-udzr (ketiadaan uzur). Dalilnya ialah hadis Ibn Abbas R.Anhuma, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ سَمِعَ الْمُنَادِيَ فَلَمْ يَمْنَعْهُ مِنَ اتِّبَاعِهِ عُذْرٌ فَلَا صَلَاةَ لَهُ قَالُوا: وَمَا الْعُذْرُ؟ قَالَ: خَوْفٌ، أَوْ مَرَضٌ
Maksunya: Barangsiapa yang mendengar (azan) tukang azan lalu dia tidak memiliki keuzuran yang menghalangnya mengikuti solat (jemaah), maka solatnya tidak diterima. Sahabat bertanya, “Apakah itu keuzuran?” Baginda menjawab: “Perasan takut dan sakit.”
Syeikh Muhammad al-Zuhaili menyebut, yang bermaksud,“Dan setiap keuzuran yang sama tahap kesusahannya dengan kesusahan akibat sakit, dianggap juga sebagai uzur yang dikiaskan dengan sakit yang dinaskan ke atasnya. Justeru, tidak wajib Jumaat ke atas orang yang berasa takut ke atas dirinya atau hartanya.”
Rujuk Al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie (1/497)
Para ulama juga memasukkan dalam pengertian uzur, bagi seorang rakan karib, sihr (menantu atau ipar), atau orang yang dia sayang, jika dia tidak hadir solat Jumaat kerana takut saudaranya itu mati maka dibenarkan dia tidak hadir solat Jumaat. Ini seperti riwayat dalam Sahih al-Bukhari:
أَنَّ ابْنَ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا، ذُكِرَ لَهُ: أَنَّ سَعِيدَ بْنَ زَيْدِ بْنِ عَمْرِو بْنِ نُفَيْلٍ، وَكَانَ بَدْرِيًّا، مَرِضَ فِي يَوْمِ جُمُعَةٍ، فَرَكِبَ إِلَيْهِ بَعْدَ أَنْ تَعَالَى النَّهَارُ، وَاقْتَرَبَتِ الجُمُعَةُ، وَتَرَكَ الجُمُعَةَ
Maksudnya: "Ibn Umar pernah diberitahu bahawa Sa`id bin Zaid bin `Amr bin Nufail, salah seorang daripada pahlawan Badr, telah jatuh sakit pada hari Jumaat. Ibn Umar telah menunggang kenderaan menuju ke tempat Sa`id pada waktu tengahari. Apabila masuk waktu solat Jumaat, beliau meninggalkan solat Jumaat."
Hadis riwayat al-Bukhari (3990)
Ahli Jawatankuasa Lajnah Daimah Li Al-Ifta Arab Saudi juga pernah menjawab soalan berkaitan dengan maksudnya:
“Hukum asal solat Jumaat adalah wajib bagi setiap individu…. akan tetapi jika wujud uzur syarak ke atas orang yang wajib ke atasnya solat Jumaat seperti dia bertugas dengan tanggungjawab secara langsung berkait tugasan menjaga keamanan umat dan menjaga kepentingan mereka, menuntut dia menjalankan tugasnya saat solat Jumaat seperti keadaan petugas keselamatan, penjaga trafik, operator telefon dan seumpamanya… Keadaan mereka tidak kurang uzurnya berbanding mereka yang takut kerosakan menimpa nyawanya dan hartanya, yakni mereka yang disebut oleh ulama sebagai mendapat keuzuran meninggalkan Jumaat dan berjemaah selama mana berterusan uzur terbabit. Tetapi ini tidak menghilangkan kefarduan solat Zuhur, maka wajib atasnya untuk bersolat pada waktunya, dan selagi boleh hendaklah secara berjemaah kerana wajib hal itu seperti mana lima solat fardu yang lain.”
Rujuk Himpunan Fatwa Lajnah Daimah Arab Saudi (18/188)
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-14 yang bersidang pada 22-23 Oktober 1985 telah membincangkan isu Sembahyang Jumaat Polis dan Tentera yang Bertugas dan telah memutuskan bahawa adalah harus bagi Polis dan Tentera meninggalkan Sembahyang Jumaat kerana menjalankan tugas-tugas keselamatan yang dikira uzur syarie kerana mereka terpaksa bertugas dengan syarat tidak meninggalkan sembahyang Jumaat 3 kali berturut-turut.
Rujuk Kompilasi Pandangan Hukum Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (ms. 36)
Melihat kepada hujah dan dalil yang dinyatakan di atas, kami cenderung kepada hukum harus bagi pengawal keselamatan untuk meninggalkan solat Jumaat dengan syarat-syarat berikut:
1. Tugasan tersebut tidak boleh diganti dengan orang lain yang tidak diwajibkan solat Jumaat seperti orang perempuan atau orang bukan Islam. Jika boleh digantikan, makan wajib atas pengawal keselamatan berkenaan menunaikan solat Jumaat.
2. Jika tidak boleh digantikan, tetapi boleh dilakukan secara jadual giliran maka hendaklah dilakukan secara bergilir. Contohnya, minggu pertama Pengawal A bersolat Jumaat dan Pengawal B mengawal kawasan. Ini bagi mengelakkan ancaman meninggalkan solat Jumaat 3 kali seperti mana hadis riwayat Abu al-Ja`d bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ تَرَكَ الجُمُعَةَ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ تَهَاوُنًا بِهَا طَبَعَ اللَّهُ عَلَى قَلْبِهِ
Maksudnya: "Barangsiapa yang meninggalkan solat Jumaat tiga kali kerana meringan-ringankannya, Allah akan mengunci hatinya."
Hadis riwayat al-Tirmidzi (500). Beliau menyatakan hadis ini hadis hasan.
Berkata Imam al-Munawi: "Allah mengunci hatinya bererti Allah memateri hatinya, menutupnya, dan menghalang hati itu daripada mendapat kelembutan-kelembutan daripada Allah, diwujudkan pada hati itu kejahilan dan kekesatan, atau Dia menukarkan hati orang itu menjadi hati seorang munafik." Rujuk Faidh al-Qadir (6/133)
3. Jika tidak mampu juga, maka hendaklah dia mendirikan solat Zuhur sahaja dan sebaiknya dengan berjemaah.
Wallahua’lam.
No comments:
Post a Comment