Thursday 12 January 2017

H355: 'Demam purple'



Berita

1. Januari dan Februari adalah dua bulan yang menyaksikan seluruh rakyat Malaysia sedang mengalami "demam purple". Selain daripada berlangsungnya Badminton SS Purple League sejak 12 Disember 2016 dan akan berakhir 12 Februari 2017 kelak, kini Malaysia juga sedang menanti detik bersejarah Himpunan "Purple" 355.

2. Himpunan 355 yang juga bertemakan purple akan berlangsung pada 18 Februari 2017 di bandaraya Kuala Lumpur. Siri kempen dan roadshow 'Road to H355' sedang berlangsung dan kini marak ke seluruh negara.




3. Ramai yang bertanya saya kenapa purple? Jawapan saya adalah kerana ia bukan merah, bukan kuning, bukan hitam, bukan biru, bukan hijau dan bukan lainnya. Maka ia adalah purple. Ia akan menghimpunkan semua warna-warna penduduk negara ini yang cintakan keamanan, kedamaian dan kesejahteraan hidup.

4. Justeru itu, H355 mengangkat tema Syariat Diperkasa, Rakyat Sejahtera. Malaysia perlukan perubahan. Tidak mampu untuk lakukan perubahan total, maka berubah dalam perkara yang boleh dilakukan sudah cukup bermakna bagi masa depan negara.

5. Sudah sampai masanya negara ini memerlukan pelaksanaan syariah untuk mengekang pelbagai perkembangan mungkar dan apa yang paling penting adalah berusaha untuk membentuk sebuah negara yang bebas murka Allah SWT. Sekali gus mengundang rahmat dan berkat dari Tuhan yang Maha Mencipta.

6. Himpunan 355 (H355) adalah bermaksud memugar semangat dan sokongan seluruh rakyat agar terus bangkit berjuang, berdoa dan memastikan Parlimen Malaysia yang berlangsung pada 6 Mac hingga 6 April akan datang, meluluskan Pindaan Akta 355 melalui sikap positif dan sokongan ahli-ahli parlimen yang ada sekarang.

7. Insya Allah, Demam Purple ini akan kebah pada 18 FebruarI 2017 akan datang.

Nasrudin Hassan
Pengarah Himpunan 355
11 Januari 2017 / 12 Rabiul Akhir 1438
Kuantan 

No comments:

Post a Comment