Tuesday 31 January 2017


MukadimahAlhamdulillah, dengan kedatangan 12 Rabi’ al-Awwal, ramai di kalangan umat Islam mengingati peristiwa Maulid al-Rasul SAW walaupun sesetengahnya berpendapat Rasulullah dilahirkan pada 9 Rabi’ al-Awwal. Mereka semua menzahirkan rasa syukur dengan kelahiran insan agung yang mulia ini yang menjadi penyambung risalah Ilahi kepada manusia sejagat. Bersempena dengan Maulid al-Rasul pada kali ini, kami kemukakan dengan panjang lebar isu berkaitan hukum menyambutnya. Kami harapkan Bayan Linnas pada kali ini memberi satu jawapan yang tuntas kepada semua pihak.
Sejarah Sambutan Maulid al-Rasul

Sebagai mukadimah, dinyatakan dalam kitab Al-Bidayah wa al-Nihayah 13/136 al-Allamah Ibn Kathir antara lain beliau memuji Raja al-Muzaffar yang telah menyambut majlis Maulid al-Rasul secara besar-besaran dengan berkata: “Adalah Raja Muzaffar menganjurkan Maulid Syarif pada Rabi’ul Awal dan membuat perhimpunan secara besar-besaran.


Disamping itu, beliau adalah seorang yang berhati bersih, bersemangat, berani, mempunyai semangat keperwiraan, cerdik, alim, adil. Semoga Allah merahmatinya dan memuliakan kuburnya.” Dinukilkan di sini daripada beberapa kitab bagaimana para penyair di kalangan sahabat dan lainnya memuliakan Baginda SAW samada di hadapannya atau melalui syair-syair mereka. Antaranya:
Al-Abbas bersyair: “Di kala dikau dilahirkan, bumi bersinar terang hingga jelas pasak bumi tidak mampu untuk menanggung cahayamu dan kami dapat terus melangkah lantaran kerana terangnya cahaya dan jalan yang terpimpin.” Lihat al-Mustadrak ala al-Sahihain.
Hasan bin Thabit banyak menggubah syair di hadapan Rasulullah SAW dan para Sahabat Baginda. Isu ini seringkali menjadi polemik dalam kalangan sarjana Islam.
Hukum Sambutan Maulid al-RasulAda yang mengharuskannya dan ada yang sebaliknya. Saya nukilkan sebahagian pendapat ulama:
Pertama: Hukum sambutan Maulidurrasul adalah bid’ah. Ini dipelopori oleh sebahagian ulama. Antara hujahnya adalah:
Perayaan ini tidak pernah dilaksanakan pada generasi yang paling mulia, generasi sahabat, tabiin, tabi’ tabi’in, dan juga tidak pada generasi setelahnya. Ia adalah satu bentuk pemujaan yang melampau kepada Nabi SAW.
Sabda Nabi SAW,
لاَ تُطْرُونِي، كَمَا أَطْرَتْ النَّصَارَى ابْنَ مَرْيَمَ، فَإِنَّمَا أَنَا عَبْدُهُ، فَقُولُوا عَبْدُ اللَّهِ، وَرَسُولُهُ
Maksudnya: “Janganlah kalian berlebihan dalam memujiku seperti kaum Nasrani yang memuji anak lelaki Maryam. Aku hanyalah hamba-Nya, maka katakanlah (mengenaiku) “ Hamba Allah dan Rasul-Nya “
(Riwayat al-Bukhari, no. 3445)
Sambutan maulid seperti ini pasti disertai dengan berbagai bentuk kemungkaran dan hal-hal yang diharamkan dalam agama
Kedua: Hukumnya adalah dibolehkan. Syeikh Abu Shamah atau nama sebenarnya, Syeikh Abdul Rahman bin Ismail al-Maqdisi (salah seorang Syeikh Dar al-Hadis di Damsyik) berpendapat: Adalah dibolehkan sambutan Maulidurrasul berdasarkan amalan oleh tokoh ulama zaman dahulu antaranya di Irbil (salah satu wilayah di Iraq).
Antara tokoh-tokoh yang berpegang kepada keharusannya dan termasuk dalam bid’ah hasanah ialah:
  • Imam Jalaluddin al-Suyuti
  • Imam Ibn Hajar al-Haithami
  • Syeikh Ibn al-Hajj al-Abdari
  • Imam Ibn al-Battal
  • Al-Hafiz Shamsuddin Muhammad bin Nasiruddin al-Dimashqi
  • Al-Hafiz Shamsuddin bin al-Jazari
  • Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi
  • Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili
  • Syeikh Abdul Halim Mahmud
  • Syeikh Atiyyah Saqr
  • Syeikh Muhammad Mutawalli al-Sya’rawi dan lain-lain.
Para ulama yang mengharuskan Maulid al-Rasul menggunakan hadis di bawah:
Dari Abu Qatada, sesungguhnya Rasulullah SAW pernah ditanya tentang puasa Isnin? Maka Baginda menjawab:
فِيهِ وُلِدْتُ وَفِيهِ أُنْزِلَ عَلَيَّ
Maksudnya: “Padanya aku dilahirkan dan padanya diturunkan (al-Quran) ke atasku.”
(Riwayat Muslim, no. 1162)
Ini menunjukkan bahawa Rasulullah mensyukuri nikmat Allah atas kelahirannya pada hari Isnin dengan berpuasa. Maka, jika Baginda SAW berpuasa pada hari Isnin kerana bersyukur kepada Allah atas kelahirannya sendiri pada hari itu, maka begitu juga bagi ummatnya untuk mensyukuri nikmat kelahiran Baginda SAW untuk berpuasa pada hari Isnin, membaca al-Quran, membaca kisah kelahiran Baginda SAW, bersedekah, atau melakukan perbuatan baik yang lain.
Sabda Nabi SAW:
مَنْ سَنَّ فِي الْإِسْلَامِ سُنَّةً حَسَنَةً، فَلَهُ أَجْرُهَا، وَأَجْرُ مَنْ عَمِلَ بِهَا بَعْدَهُ، مِنْ غَيْرِ أَنْ يَنْقُصَ مِنْ أُجُورِهِمْ شَيْءٌ
Maksudnya: “Barang siapa yang melakukan (merintis) dalam Islam sesuatu perkara yang baik maka ia akan mendapatkan pahala daripada perbuatan baiknya tersebut, dan ia juga mendapatkan pahala dari orang yang mengikutinya selepasnya, tanpa dikurangkan pahala mereka sedikitpun”.
(Riwayat Muslim, no. 1017)
Hadis ini memberikan satu kefahaman bahawa dibenarkan untuk melakukan perkara perkara baru yang baik dan tidak bertentangan dengan al-Quran, al-Sunnah, athar mahupun ijmak ulama. Maulid al-Rasul adalah perkara baru yang baik dan sama sekali tidak menyalahi satu-pun di antara dalil-dalil tersebut. Dengan demikian, bererti hukumnya diharuskan bahkan sebagai salah satu jalan untuk mendapatkan pahala jika bertepatan dengan syarak.
Selain itu, antara hujahnya adalah fatwa ulama seperti berikut:
  • Ibn Hajar al-Asqalani ketika ditanya tentang hukum perayaan Maulid al-Rasul menjawab: “Asal dalam amalan sambutan peringatan Maulid adalah bid’ah yang tidak diriwayatkan dari ulama Salaf al-Soleh. Akan tetapi Maulid tersebut mengandungi banyak kebaikannya. Maka barangsiapa yang berusaha meraih kebaikan dalam Maulid dan menjauhi yang buruk, maka termasuk bid’ah yang baik (hasanah). Jika tidak, maka tidak disebut bid’ah hasanah.” (Al-Haawi Lil Fataawa oleh Imam Jalaluddin al-Suyuti)
  • Imam al-Suyuti juga antara lain menyebut: “Amalan memberi makan adalah perbuatan yang baik. Dengan demikian, amalan Maulid termasuk perkara baru yang dianjurkan sebagaimana yang diungkapkan oleh Sultan al-Ulama Syeikh Izzuddin bin Abd al-Salam.”
  • Sebenarnya al-Suhaili telah menyebut bahawa al-Abbas berkata: “Tatkala Abu Lahab meninggal dunia, aku bermimpi bertemunya selepas setahun pada seburuk keadaan lantas dia berkata: “Tidak aku dapati selepas kamu sebarang kerehatan kecuali azab diringankan daripadaku setiap hari Isnin. Yang demikian kerana Nabi SAW dilahirkan pada hari Isnin dan Thuwaibah telah memberikan berita gembira kepada Abu Lahab berkenaan dengan kelahiran Nabi SAW lantas dimerdekakannya.” (Imam Ibn Hajar al-Asqalani, Fath al-Bari Syarah Sahih Bukhari, 9/43 – 48)
  • Syeikh Muhammad Bakhit Al-Muti’i (Mantan Mufti Mesir): “Justeru setiap apa yang dijadikan ketaatan dan untuk mendekatkan diri kepada Allah yang tidak ditentukan syariat(Allah) waktu tertentu dan tidak pula tempat tertentu maka boleh bagi setiap mukallaf untuk melakukannya pada setiap waktu dan tempat, dan begitu juga setiap yang tidak termasuk dalam larangan umum atau khusus daripada syariat maka hukumnya Mubah/Harus, dan apa yang selainnya(yakni ada larangan) adalah bid’ah yang haram atau makruh. Maka wajib untuk menghindarinya dan menghalangnya” (Ahsanul Kalam Fi Ma Yata’allaqu Bi al-Sunnah wa al-Bid’ah Min Ahkam, m. 74).
  • Syeikh Abdul Halim Mahmud: “Sambutan Maulid Nabi SAW adalah sunnah/jalan yang baik daripada sunnah-sunnah yang diisyaratkan oleh Rasul SAW dalam sabdanya: “Barangsiapa melakukan sunnah yang baik, maka dia mendapat pahalanya dan pahala orang yang beramal denganya, barangsiapa yang melakukan sunnah yang buruk, maka dia menanggung dosanya dan dosa sesiapa yang beramal dengannya” Dan ianya adalah kerana terdapat usul/asas yang membimbingnya dan dalildalil yang sahih yang berpandukan padanya. “Dan tidaklah bererti peninggalan salafussoleh bagi amalan yang soleh ini merupakan pertentangan kepada syariat, kerana salafussoleh masih mempunyai kebangkitan/keprihatinan agama dan cinta Nabi yang mulia yang mana menyebabkan mereka tidak memerlukan kepada peringatan hari maulid untuk disambut.” (Fatawa Imam Abdul Halim Mahmud, m. 273)
Tarjih
Setelah mengamati pendapat-pendapat ulama, saya berpandangan bahawa sambutan Maulid al-Rasul adalah harus dan termasuk dalam bid’ah hasanah tetapi hendaklah dengan meraikan beberapa syarat utama, antaranya:
  • Pengisian yang baik seperti tazkirah dan ceramah.
  • Tiada percampuran lelaki dan perempuan.
  • Menutup aurat.
  • Tiada unsur maksiat.
  • Mempelajari riwayat hidup Baginda SAW atau sirahnya dengan lebih baik dari tahun ke tahun. Alhamdulillah terdapat banyak kitab yang kita dapat manfaat untuk mengenali dan makrifah Rasulullah SAW. Antaranya:
    • Kitab al-Rahiq al-Makhtum oleh Syeikh Safiyurrahman al-Mubarakfuri
    • Kitab Sirah Nabawiyyah oleh Ibn Hisham
    • Kitab al-Syamail al-Muhammadiyyah oleh Imam al-Tirmizi
  • Penekanan kepada keperluan mengikuti Sunnah Rasulullah SAW. Begitu juga memahami fiqhnya seperti:
    • Kitab Fiqh al-Sirah oleh Syeikh Muhammad al-Ghazali
    • Kitab Fiqh al-Sirah oleh Syeikh Dr. Muhammad Said Ramadhan al-Buti
    • Kitab Al-Sirah al-Nabawiyyah Durus wa ‘Ibar oleh Syeikh Dr. Mustafa al-Siba’ie
    • Kitab Al-Manhaj al-Haraki li al-Sirah al-Nabawi oleh Syeikh Dr. Munir al-Ghadban dan lain-lain
  • Disemarakkan dengan berselawat kepada Nabi SAW. Antara kelebihan selawat yang sahih sebagaimana sabda Nabi SAW:
مَنْ صَلَّى عَلَيَّ صَلَاةً وَاحِدَةً صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ عَشْرَ صَلَوَاتٍ، وَحُطَّتْ عَنْهُ عَشْرُ خَطِيئَاتٍ، وَرُفِعَتْ لَهُ عَشْرُ دَرَجَاتٍ
“Sesiapa yang mengucapkan selawat kepadaku satu kali maka Allah akan berselawat baginya sepuluh kali, dan digugurkan sepuluh kesalahan (dosa)nya, serta ditinggikan baginya sepuluh darjat/tingkatan (di syurga kelak).”
(Riwayat al-Nasa’i, no. 1297)
Berhubung lafaz selawat yang afdhal, maka antaranya ialah riwayat dalam Sahih al-Bukhari no. 2497 dari Ka’ab bin ‘Ujrah RA yang menceritakan bahawa para sahabat pernah bertanya kepada Nabi SAW tentang bagaimana cara berselawat kepada beliau. Baginda menjawab dengan mengatakan: “Katakanlah
اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ، وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ، كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ، إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ، اللَّهُمَّ بَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ، وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ، كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ، إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ
  • Meraikan kegembiraan dan kesyukuran kelahiran Baginda SAW dengan bersedekah kepada fakir miskin. Sebagai mengukuhkan kenyataan ini, suka saya petik pendapat Imam Abu Syamah. Antara lain berkata: “Termasuk perkara baru atau bid’ah yang dilakukan pada masa kita iaitu sambutan setiap tahun pada hari kelahiran Baginda SAW dengan bersedekah, melakukan yang ma’ruf, menzahirkan perhiasan dan kegembiraan. Maka sesungguhnya disamping itu, melakukan ihsan kepada golongan fakir miskin adalah tanda kecintaan dan memuliakan Rasulullah SAW dalam hati orang yang menyambutnya. Begitu juga merupakan tanda kesyukuran kepada Allah kerana diutus-Nya Rasulullah SAW sebagai pembawa rahmat ke seluruh alam.”
Penutup
Antara tugasan Rasul adalah untuk menyatukan ummah daripada pelbagai kabilah, kaum, bangsa dan ras agar semuanya kembali mengubudiyyah kepada Yang Maha Esa dengan penuh hikmah dan rahmah, Rasulullah SAW menyampaikan dakwah sehingga akhirnya ukhuwwah Islamiyyah yang kukuh dan dapat membina perpaduan yang mapan. Natijahnya, ummat yang bijak mencari titik persamaan dan mengurangkan jurang perbezaan menjadi ummat yang terkehadapan sehingga dapat memimpin dunia.
Parsi tumbang, Rom lemah dan Islam menggemakan syiarnya dan syariatnya sehingga melahirkan kerukunan sejagat. Rasulullah SAW telah menjadikan tali persahabatan dan ukhuwwah Islamiyyah sejak mula menegakkan negara Islam Madina dengan sistem mu’akhah (persaudaraan) dan diletakkan dalam Piagam Madinah. Justeru, kami menyeru kepada diri ini dan khalayak masyarakat ummah serta rakyat Malaysia agar kita bina perpaduan dan kita kukuhkannya sehingga perasaan kasih sayang terbina dan saling hormat menghormati sesama kita.
Akhir kalam, marilah sama-sama kita mentahqiqkan hasrat dan tema Majlis Sambutan Maulid al-Rasul SAW Peringkat Kebangsaan 1438H yang berteraskan Ukhuwwah Islamiyyah Asas Penyatuan Ummah.
Akhukum fillah,
Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan

No comments:

Post a Comment