Tuesday 22 November 2016

Sindrom ketagih A dalam peperiksaan



Pendidikan


Oleh Muzaffar Syah Mallow


Sudah sampai masanya ketagihan sesetengah pihak untuk memperolehi jumlah A dalam peperiksaan diatasi.
Berapa banyak pun A yang diperolehi tidak akan menjamin kejayaan hidup seseorang dalam menempuh pelbagai jenis cabaran di alaf baru ini.

Ketagihan untuk mendapat sejumlah A dalam kertas peperiksaan dilihat mencapai kemuncaknya terhadap pelajar di sekolah, di mana mereka diberi pendedahan awal mengenai kepentingan untuk memperolehi sejumlah A dengan harapan ia membantu kehidupan mereka di kemudian hari.


Ini secara tidak langsung mengundang tekanan emosi dan mental para pelajar itu yang terpaksa bertukus lumus belajar siang dan malam serta mengambil beberapa kelas tambahan semata-mata mengejar sejumlah A dalam peperiksaan.

Kita tidak boleh hanya menyalahkan ibu bapa serta pelajar terhadap harapan mereka untuk memperolehi A dalam peperiksaan, kerana sistem sedia ada menyebabkan ramai di antara kita terpaksa bergantung pada jumlah A yang diperolehi untuk mendapatkan sesuatu.

Misalnya, tawaran memasuki institusi pengajian atau sekolah berasrama masih terikat kepada jumlah A yang diperolehi. Begitu juga, pemberian biasiswa selain daripada hadiah serta ganjaran yang diberikan terhadap pelajar yang berjaya memperolehi A dalam semua subjek.

Sistem kini menyebabkan ramai terpaksa belajar untuk memperolehi sejumlah A. Akibatnya, ramai generasi muda yang bakal dilahirkan kelak hanya memberi fokus serta keutamaan mereka untuk memperolehi sejumlah A kerana mereka dilatih serta didedahkan pada peringkat awal di rumah, sekolah serta melalui kefahaman yang kejayaan hidup bergantung kepada “A”.Ini memberi impak negatif terhadap pelajar yang tidak berjaya memperolehi A, yang beranggapan masa depan mereka gelap.

Sindrom ketagihan atau kebergantungan terhadap “A” mesti dihapuskan. Sistem pendidikan negara harus ditambah baik lagi bagi melahirkan generasi muda yang betul-betul berkualiti serta yang tidak dinilai berdasarkan jumlah A yang diperolehi mereka.

Pihak media dalam negara kita juga harus membantu bagi merubah sindrom berkenaan.
Setiap tahun, media memberi ruang terhadap pelajar yang memperolehi A setiap kali keputusan peperiksaan diumum. Ini, walaupun mempunyai tujuan baik untuk memberi contoh kepada pelajar lain, secara tidak langsung juga mereka menyumbang kepada ketagihan untuk mendapat sejumlah A.

....
Muzaffar Syah Mallow merupakan pensyarah di Universiti Sains Islam Malaysia, Nilai.

No comments:

Post a Comment