Monday 26 September 2016

Melakar peta berdarah (Sykes-Picot baharu)




Artikel

Negara kuasa besar khususnya Barat, adalah yang paling lantang menyuarakan kebebasan, keamanan, keselamatan, hak asasi manusia, keadilan, ketelusan dan sebagainya. Namun mereka pula boleh melakukan apa sahaja demi kepentingan mereka semata-mata, khususnya terhadap umat Islam yang dikira pencabar paling merbahaya. Mereka bertindak bukan kerana hujah yang sebenar, tanpa disedari umat Islam, mereka juga menjadi mangsa pihak ketiga yang memperalatkan pertembungan sesama umat Islam, yang kalahnya menjadi abu dan menangnya menjadi arang.

Mereka boleh melakukan apa sahaja terhadap umat Islam, peristiwa di Afghanistan, Iraq, Syria, Yaman, Afrika Tengah dan negara-negara yang menunggu giliran menjadi mangsanya. Bahkan kemenangan mana-mana kumpulan Islam secara demokrasi pilihan raya pun tidak diktiraf seperti kemenangan Partai Islam Indonesia (Masyumi) 1955, selepasnya FIS di Algeria pada tahun 1991, Parti Refah yang berjaya menang pilihan raya Turki Tahun 1996 dan pada 1998 diharamkan apabila pemimpinnya Profesor Najmuddin Erbakan berjaya mencadangkan D8 (organisasi antarbangsa gabungan lapan negara umat Islam) dalam merintis kerjasama politik, ekonomi dan hubungan antarabangsa. Begitu juga tindakan terhadap Ikhwan Mesir pada 2012 yang berjaya melantik Presiden Muhammad Mursi, namun akhirnya diguling dan dihukum oleh drama mahkamah yang dilakonkan.


Peristiwa terkini pada 15 Julai 2016 usaha rampasan kuasa di Turki kerana demokrasinya membuka jalan bebas menyebut Islam dan aktiviti-aktiviti Islam yang dilarang sejak Mustafa Kamal Ataturk, walaupun Parti AK mengisytiharkan sekularismenya.

Tidak cukup umat Islam dibelasah dengan Deklarasi Balfour (1917) Perjanjian Sykes-Picot (1916) dan Lausanne (1923). Malangnya tarikh pelaksanaannya dijadikan hari kebangsaan oleh keseluruhan negara arab yang menjadikan Kerajaan Uthmaniyah adalah penjajah. Adapun negara-negara  penjajah Barat yang terlibat adalah sahabat akrab yang diberi walak yang tidak berbelah bahagi. Membenarkan pangkalan tentera dan ekonomi asing itu bertapak dengan sekuat-kuatnya, sehingga kemasukan warga Barat dimudahkan, adapun saudara seIslam dipayahkan, khususnya terhadap rakyat lemah dan miskin yang dipaksa menjadi pelarian kerana kekacauan yang dicetuskan, sehingga hanyut di laut atau menjadi peminta sedekah di Eropah atau mangsa dimurtadkan di negara Barat  atau menunggu kematian.

Negara Iran pula dianggap musuh yang lebih bahaya daripada Israel kerana mazhab Syiahnya. Ada pun negara yang menubuhkan Israel atau bersahabat dengan Israel itu dianggap sahabat. Sudah tentu negara Arab dan Islam yang melaksanakan polisi ini,  bersekongkol dengan negara Zionis dan Barat yang menubuhkan Israel.

Dalam memahami senario pergolakan politik antarabangsa, khususnya para ulama dan umara yang setia kepada Islam dan umatnya,  perlu  mempelajari politik Islam yang tidak dipisahkan daripada Islam yang menyeluruh dan mengetahui sejarah Islam dan kerajaanya yang berjaya memimpin  dunia bersama rahmat Allah yang datang daripada Islam yang dilaksanakan dengan betul. Wajib mengerti dan mengenali musuh yang menjatuhkan kerajaannya yang berjaya. Semua musuh yang bermusuh terhadap Islam itu bersatu menentang kebangkitan semula kuasa pemerintah Islam. Mereka boleh bertukar menjadi kuasa besar dunia asalkan tidak beralih kepada Islam.

Dalam permainan politik terkini kumpulan Yahudi Freemason dan Zionis sedang berhempas pulas berjuang supaya kalangan mereka yang berpusat di negara haram Israel akan mengambil alih peranan kuasa besar dunia. Mereka bukan sahaja memusnahkan ekonomi yang telah menjadi punca krisis global dan krisis moral dan pemikiran melalui media yang sudah tidak ada sempadan. Sedarlah betapa terkini umat Islam menjadi sasaran. Teori takfir dan melagakan mazhab, khususnya Sunni dan Syiah sedang dinyalakan.   

Banyak dalil menunjukkan betapa kekacauan yang berlaku di rantau Asia Barat terkini adalah pembaharuan "road map" yang dilakar dengan darah yang sengaja ditumpahkan demi melaksanakan perancangan baru. Objektifnya ialah  bagi menjamin keutuhan pangaruh penjajah dan Zionis yang berterusan. Maka, sebarang perubahan yang  berlaku dan yang menunjukkan boleh kembali kepada Islam, yang dikira  berkemungkinan kepada perubahan yang bersifat negatif terhadap Israel dan Zionisnya akan ditentang habis-habisan.

Semuanya dicipta oleh kumpulan Zionis yang telah berjaya menggabungkan Yahudi dan Kristian, sangat mempengaruhi politik antarabangsa, khususnya negara Barat dan termasuk juga negara Arab dan Islam yang bernaung di bawahnya, tujuannya adalah:

[1] Bagi menjamin keamanan dan keselamatan negara haram Israel  dengan apa sahaja pengorbanan dan sumbangan, termasuk memejam mata terhadap senjata pemusnah yang dimiliki negara haram itu dan mendiamkan diri terhadap langkah-langkah yang haram mengikut undang-undang antarabangsa, serta menyekat segala keputusan mengutuknya. Negara haram Israel dikuatkan kedudukannya, bukan sahaja dengan segala senjata, bahkan diperkuatkan dengan kemasukan bangsa Yahudi Zionis yang dikerah daripada seluruh pelosok dunia, bersama dengan penempatan secara meroboh rumah-rumah kediaman dan merampas perkampungan, pusat perniagaan dan tanah pertanian milik rakyat Palestin.

[2] Menguasai sepenuhnya terhadap sumber tenaga seperti petrol dan gas serta menjaga laluannya ke negara Barat, mengawal pasaran dan pelaburannya demi menjamin segala keperluan dan strategi  politik, ekonomi, keselamatan dan pertahanan mereka semata-mata.

[3] Menjaga keselamatan laluan perdagangan antarabangsa melalui perairan dan udara. Mengadakan pangkalan tentera laut, udara dan darat, demi mengawal segala laluan saperti kawasan Teluk melalui Selat Hormuz ke Laut Merah melalui Bab al-Mandab (Yaman dan Afrika Utara), Terusan Suez (Mesir dan Libya) sehingga ke laut Hitam (Turki) dan Selat Gibraltar (Algeria dan Maghribi) dan seterusnya.

[4] Mendukung negara yang ada kepentingan bagi mereka, dengan menguatkan pengaruh terhadap kerajaannya dengan segala cara, walaupun bercanggah dengan konsep demokrasi yang dimuliakan oleh mereka laksana menjadi Tuhan Yang Maha Suci di negara mereka, tetapi melindungi diktator di negara umat Islam, yang melakukan segala yang haram mengikut segala agama dan sifat kemanusiaan sejagat.

[5] Menjaga kedudukan mereka dengan benteng pertahanan yang menyekat segala campur tangan kuasa besar lain yang dikira menjadi saingan atau ancaman kepada kepentingan mereka semata-mata. Walau pun membunuh rakyat tempatan yang sudah mencecah angka juta.

Cukup menjadi alasan perkara tersebut di atas, daripada campur tangan asing di Afghanistan dan Iraq,  yang menimbulkan kacau bilau yang menjadikan rakyat lemah sebagai mangsa yang berpanjangan. Seterusnya mengheret kekacauan  di Syria, Yaman, Libya, Selatan Sudan dan Afrika Tengah. Termasuk penglibatan dalam usaha rampasan kuasa yang gagal di Turki.

Seterusnya berusaha supaya memanjangkan krisis dengan lakonan mencari penyelesaian berlesenkan PBB, dengan cara-cara  yang tidak menunjukkan penyelesaiannya. Di samping sengaja melemahkan negara-negara serantau supaya sentiasa bergantung kemajuannya dengan mereka, tanpa memanfaatkan sumber yang kaya kerana rela dicuri dan dirompak, dengan mengekalkan para pemimpin negara yang dimewahkan, rasuah dan berkuasa dengan menundukkan rakyat kerana zalimnya, bukannya dihormati kerana adilnya.

Melakar perpecahan rakyat dengan sebab kaum, kabilah, mazhab dan ideologi dengan membekalkan senjata dan kemudahan yang diperniagakan kepada semua pihak yang bersedia diperalatkan. Bertujuan melakar peta baharu menggantikan Sykes-Picot yang usang ketinggalan zaman yang telah berlalu sejak seratus tahun dahulu. Perjanjian dan program yang telah melakukan pembahagian penguasaan  dalam kalangan penjajah Barat dan melantik pemimpin yang berjasa menjatuhkan Khilafah Uthmaniyah.

Adapun pembahagian peta rancangan terkini  dengan mengambil ruang sebab perbezaan kaum Arab, Kurdis, Turkuman dan Barbar. Dan perbezaan agama Islam, Kristian dan Yazidiyah, juga perbezaan mazhab Sunni, Syiah, Ibadi, termasuk perbezaan sesama Sunni dan Syiah dalam perkara furuk.

Kuasa besar berkenaan menangani krisis secara bijak (smart management of crisis) tanpa menunjukkan matlamat bermusuh terhadap dunia Islam dalam menguasai negara Arab dan sekelilingnya tanpa mengira Sunni atau Syiah. Walaupun parti apa dan siapa calon presiden dan Kongres Amerika atau perdana menteri England atau presiden Perancis yang menang pilihan raya, walaupun pendekatannya berbeza keras dan lembut namun berada di bawah perancangan yang sama.

Negara serantau dan kerajaannya khususnya di Asia Barat pula terus mengapi-apikan rakyat masing-masing dengan semangat fanatik mazhab dan kaum. 

Dalam masa yang sama semua musuh Islam itu menyekat segala perancangan memajukan negara yang menjadi sasarannya, supaya sentiasa bergantung segala keperluannya dengan pihak kuasa besar Zionis itu. Segala pencapaian kemajuan sains dan teknologi daripada pertanian keperluan asasi untuk kehidupan diri sehinggalah persejataan untuk mempertahankan diri oleh mana-mana negara Islam tidak diiktiraf mengikut piawaian antara bangsa yang dimonopoli oleh kalangan mereka sahaja. Pendekatan ini dilakukan terhadap Iran dan Turki apabila menunjukkan pendirian yang tersendiri tanpa pergantungan kepada kuasa asing. Negara Arab pula cukup dengan kaya duitnya yang lebih banyak dilaburkan dengan muamalat haram di negara asing, tetapi papa kedana jati dirinya.

Allah mengajar umat Islam supaya berjati diri dengan keyakinan mereka kepada kuasa Allah mengatasi seluruh alam,  dengan berusaha dan berjuang  mengikut hidayah-Nya, bukannya mengikut kehendak pihak bukan Islam. Berbeza dengan negara-negara Arab yang sentiasa berwala kepada penjajah itu sehingga kekayaan harta dan tenaga manusia tidak dimanfaatkan, sebaliknya dikorbankan kepada pihak asing demi mempertahan takhta dan harta, diri dan keluarga.

Kemuliaan umat Islam hanya dengan kembali kepada asas dan asal usul mereka di atas aqidah Islam, jati diri umat dan keikhlasan para pemimpinnya membawa rakyat.

Akhirnya fahamilah firman Allah SWT:

۞يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَا تَتَّخِذُواْ ٱلۡيَهُودَ وَٱلنَّصَٰرَىٰٓ أَوۡلِيَآءَۘ بَعۡضُهُمۡ أَوۡلِيَآءُ بَعۡضٖۚ وَمَن يَتَوَلَّهُم مِّنكُمۡ فَإِنَّهُۥ مِنۡهُمۡۗ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يَهۡدِي ٱلۡقَوۡمَ ٱلظَّٰلِمِين
-َ ٥١ المائدة -

"Wahai orang-orang yang beriman ! Janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani itu sebagai teman rapat kerana setengah mereka menjadi teman rapat kepada setengahnya yang lain dan sesiapa di antara kamu yang menjadikan mereka teman rapatnya, maka sesungguhnya dia adalah dari golongan mereka itu. Sesungguhnya Allah tidak memberikan petunjuk kepada kaum yang berlaku zalim."

Sah bahawa firman Allah mengena terhadap mana-mana negara Arab dan Islam serta pemimpinnya yang bergabung dengan Zionis Yahudi dan Kristian, sehingga melupakan maruah agama, bangsa, tanah air, persaudaraan iman dan khususnya tanah suci Palestin dan Masjid al-Aqsa. Akhirnya melakukan bencana.  Amaran Rasulullah s.a.w. dalam Khutbah Haji Wadaa:

لا ترجعوا بعدي كفارا يضرب بعضكم رقاب بعض
 -البخارى-

"Jangan kamu menyeleweng menjadi kufur selepas aku wafat, sehingga memancug leher sesama kamu (bunuh membunuh sesama sendiri)."

Krisis Iraq, Syria, Libya dan Yaman cukup menjadi kenyataan. Ada pula para ulama yang malang memberi fatwa mengikut kerajaannya selepas mendapat fatwa daripada pemimipin Zionis yang bersedia untuk membantu bagi Sunni memerangi Syiah atau Syiah memerangi Sunni dan berlakulah jihad dengan bantuan musuh untuk bunuh membunuh kerana hukum takfir dengan mudah dalam umat yang satu al-Quran, Rasul dan satu kiblatnya.

 "Inilah Penyelesaian Kita"

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
20 Zulhijjah 1437 / 22 September 2016

No comments:

Post a Comment