Friday 2 September 2016

Hina mufti dan Islam, pihak berkuasa wajar bertindak


MOHD AZMI ABDUL HAMID | .

Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) kesal dan membantah keras tindakan penganjur Anugerah Aiyoh Wat Lah pada 29 Ogos lalu, dengan sengaja melakukan penghinaan ke atas seorang mufti di negara ini dan Islam itu sendiri hanya kerana menganggap pendirian mufti dan hukum Islam berlawanan dengan pendirian mereka.

Menghina dengan cara yang dilakukan pihak penganjur gabungan hak-hak wanita itu ternyata melambangkan ciri tidak berakhlak dan mencabar wibawa seorang ulama yang berhujah dengan ilmu yang benar berdasarkan rujukkan ilmu Islam.

Mengheret nama mufti dengan mengumumkan beliau dianugerah kategori 'menghina intelektual' di majlis tersebut adalah biadap dan tidak bertamadun.



Kami berpendapat kumpulan yang menyokong dan terlibat dalam penganjuran majlis tersebut itu sendiri, terperangkap dengan sikap liberalisme melampau di Barat yang membenarkan apa sahaja, termasuk agama, syiar agama dan tokoh agama bebas untuk dipersenda dan dihina.

Tindakan ini melambangkan pegangan sekular dan liberal yang dianuti oleh mereka sehingga adab dan disiplin ilmu diketepi sama sekali. Mereka merasa berhak dan layak untuk bercakap apa sahaja mengenai agama dan mentafsirkannya mengikut kemahuan sendiri tanpa merasa malu dan bersalah bahawa mereka tidak mempunyai latarbelakang ilmu agama yang mencukupi untuk berbuat demikian.

Mufti Negeri Perak Tan Sri Dr Harussani Zakaria yang dijadi sasaran penghinaan itu adalah seorang ulama yang memberikan hujah berdasarkan dalil dan nas dalam disiplin ilmu Islam. Jika kumpulan ini merasa pandangan beliau tidak dipersetujui, apakah tujuan mereka melakukan penistaan yang biadap itu?

Kenapa mereka tidak berhujah secara langsung dan membentangkan hujah dengan adab dan bersopan? Apa tujuan mereka mencari publisiti murahan dengan cara yang sering dilakukan oleh kumpulan feminis liberalis di negara barat? Inikah budaya liar dan tidak bertamadun yang mahu diketengahkan di negara ini?

Kami ingin mengingatkan bahawa kumpulan yang berterusan mahu mencabar golongan agamawan, institusi agama dan kedudukan agama Islam dalam Perlembagaan Persekutuan, boleh mencetuskan reaksi balas dari mereka yang sensitif dengan penghinaan terhadap agama.

Menghina mufti sebagai institusi agama Islam di negara ini secara biadap sudah tentu mengundang kemarahan masyarakat yang mahu kemuliaan Islam dilindungi.

Kami menggesa pihak berkuasa menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya kepada provokasi oleh kumpulan ini, yang kami anggap boleh mencetuskan ketegangan agama di negara ini.

Anugerah tahunan, yang masuk tahun keenam itu, perlu dipantau supaya penganjur tidak dengan wewenang menggunakan acara itu untuk mencetuskan kontroversi.

Kami menasihatkan kumpulan ini agar menjaga keharmonian negara ini dengan meneliti semula sikap dan pendirian mereka terhadap isu yang menyentuh agama Islam di negara ini. Persoalan yang hendak diketengahkan sepatutnya mengelak dari mencetuskan rasa benci dan bertanggapan negatif, terutama terhadap institusi agama Islam di negara ini.
HARAKAHDAILY 31/8/2016

No comments:

Post a Comment