CUBAAN kudeta
Turki tengah malam 15 Julai lalu berjaya ditangani dalam tempoh dua jam dan
diselesaikan sepenuhnya dalam masa lima jam.Melihat pada singkatnya masa yang
diambil, muncul tanggapan bahawa tindakan merampas kuasa itu tidak dirancang
dengan teliti, lalu mudahlah dipatahkan. Malah ada juga yang mengambil faham
dari sudut logika, mudahnya hal itu ditangani oleh pihak berkuasa ‘membuktikan’
ia sandiwara yang diarahkan oleh Erdogan sendiri.
Dengan
berfikir mengikut hukum logik juga, mudahkah bagi seorang pemimpin seperti
Erdogan untuk mengorbankan rakyat sendiri, termasuk rakan karibnya, Erol Olcak
yang maut bersama anaknya ditembak tentera pemberontak ketika
mempertahankan Erdogan?
Erdogan
sendiri menitiskan air mata ketika memberikan penghormatan terakhir buat rakan
karibnya itu.
Tidak
mengapalah!
Kalau
sudah dikatakan sandiwara, apalah sangat ‘lakonan’ mengesat air mata dan
menggetarkan suara sebagai tanda sebak tatkala berkata-kata dalam situasi sedih
seperti itu.
Orang
boleh kata, atas nama realpolitik, apa sahaja sanggup dilakukan oleh seseorang
politikus untuk mempertahankan kuasa. Namun jika mahu dikira, apakah logik juga
untuk tindakan yang seumpama itu dilakukan tanpa perancangan teliti sedangkan
tenaga di belakangnya adalah terdiri daripada kumpulan jeneral tentera yang
cukup berpengalaman, berpengaruh dan ternama?
Sanggupkah
mereka mengorbankan reputasi yang diusahakan selama puluhan tahun untuk sesuatu
yang diketahui akan berakhir dengan sia-sia .Mereka pula bukan seorang atau dua
tetapi berpuluh-puluh.
Selain
itu, laporan akhbar semalam mengenai penahanan 11 anggota komando Turki yang
cuba menculik Erdogan, membuktikan apa yang mahu dilakukan itu adalah sangat
serius.
Mereka
dilaporkan telah bersiap sedia untuk menyerang hotel penginapan Erdogan bersama
keluarganya di Pantai Marmaris namun pemimpin itu bertindak lebih awal
meninggalkan hotel tersebut setelah mendapat maklumat mengenainya daripada
pihak risikan.
Malah
ramai yang tidak sedar bahawa ketua penasihat ketenteraan Erdogan sendiri, Kol.
Ali Yazici dan adikong presiden, Lt. Kol. Erkan Kivrak turut bersekongkol
dengan dalang kudeta. Mereka adalah orang yang paling tahu mengenai pergerakan
Erdogan dan seharusnya adalah yang paling dipercayainya tanpa setitik pun
keraguan.
Sebagai
penjaga pemimpin No. 1 negara, mereka adalah pihak yang bertanggungjawab atas
keselamatan presiden pada setiap masa, tidak kira waktu dia tidur atau jaga!
Dalam
keadaan seperti ini, jika kita berada di tempat Erdogan, siapakah lagi yang
boleh dipercayai dan diharapkan sedang yang jadi pertaruhan adalah nyawa diri
dan keluarga?
Itulah
sebabnya, pasca kudeta, Erdogan telah bertindak membubarkan pasukan
perkhidmatan khas 300 pengawal presiden kerana jika dibiarkan, ia adalah sangat
membahayakan. Sebagai manusia biasa, Erdogan tidak akan mampu mengenal siapa
gunting dalam lipatan, siapa musuh dalam selimut dalam kalangan mereka yang
bersamanya setiap hari.
Mujurlah,
dalam keadaan seperti itu – meskipun sukar untuk diduga sebenarnya – masih ada
yang setia.
Pada
malam kejadian 15 Julai, tatkala pejabat MIT – pasukan intelijen Turki
– ditembak bertalu-talu oleh helikopter prokudeta, Hakan Fidan,
ketua MIT telah menghubungi Erdogan: "Telah terjadi kudeta Tuan Presiden!
Kami akan bertempur habis-habisan. Tuan bergabunglah dengan rakyat. Umumkan
darurat sekarang juga!"
Itulah
sebenarnya tindakan yang telah menyelamatkan Erdogan dan kerajaannya. Daripada
makluman Fidan, Erdogan telah mengambil tindakan pantas menghebahkan apa
yang berlaku menerusi Facetime dan minta rakyat turun ke medan menggagalkan
rancangan pihak yang mahu menggulingkan kerajaan.
Serentak
dengan itu, berbondong-bondong rakyat Turki tanpa sebarang rasa gentar meskipun
sedar nyawa mereka yang menjadi taruhan, turun ke jalanan di mana tentera
kudeta sedang berbalas tembakan dengan polis dan rakan-rakan mereka yang setia
kepada kerajaan. Rakyat dengan tangan kosong – apa yang ada
hanyalah semangat patriotisme yang menjulang – tanpa ragu-ragu menjadi
galang untuk mencegah tanah air mereka daripada terperangkap dalam kancah
pengelutan kuasa yang mengakibatkan pertumpahan darah.
Memang
menakjubkan apabila ada rakyat Turki yang sanggup berbaring di hadapan kereta
kebal pemberontak semata-mata untuk mempertahankan kerajaan Erdogan yang
terbukti telah membawa banyak kebaikan dalam kehidupan mereka.
Benarlah
di sebalik pelbagai kata nista dilempar pihak yang memusuhinya, Erdogan begitu
disayangi oleh rakyat , dan benarlah juga pemerhatian Sun Tzu dalam bukunya,
The Art of War berabad lalu bahawa seseorang ketua yang menjaga orang
bawahannya seperti anaknya sendiri, mereka akan mengikutnya sampai ke pintu
neraka!
Bukan
mudah untuk melihat kesanggupan rakyat mempertaruhkan keselamatan diri untuk
seorang pemimpin seperti itu!
Apa
yang anda beri, itulah yang anda perolehi.
Erdogan
tidak mendapat pengorbanan rakyat untuk dirinya secara percuma. Ketika rakyat
Turki berhimpun menghalang kemaraan tentera kudeta di jalanan Istanbul terutama
di Jambatan Bosphorus, Erdogan memilih untuk terbang pulang meskipun sedar
ketika itu, nyawa dia dan keluarganya begitu terancam.
Menurut
pegawai kanan di pejabat Presiden Turki, ketika Erdogan dalam penerbangan
pulang dari Marmaris, dua pesawat F16 tentera pemberontak mengekori pesawat
dinaikinya dan cuba menembak manakala dua lagi pesawat dari jenis yang
sama dikendalikan tentera yang setia kepada Erdogan, berusaha melindunginya.
Dengan izin ALLAH, Erdogan dan keluarganya terselamat daripada cubaan membunuh
itu.
"Benar,
terjadi kesulitan ketika di udara," kata sumber itu seperti dilaporkan
Reuters. Dia bagaimanapun enggan mengulas lanjut apa yang dimaksudkan dengan
'kesulitan' itu.
"Sebagai
orang Islam, saya percaya kuasa ALLAH yang menyelamatkan Erdogan dan
kerajaannya. Dia seorang yang banyak berjasa kepada Islam," kata Prof. Dr.
Mohd Redzuan Othman, Naib Canselor Unisel ketika menyampaikan syarahan mengenai
cubaan kudeta Turki di di Shah Alam baru-baru ini.
Mohd
Redzuan telah bertahun-tahun menjalankan kajian mengenai politik negara
Anatolia itu, dan telah menghasilkan banyak buku berkaitan dengannya.Meskipun
terselamat dalam cubaan kali ini, Erdogan masih perlu berhati-hati
MUHAMAD MAT YAKIM
3 OGOS 2016
No comments:
Post a Comment