Program Himpunan 1000 Jiwa 1 Hati adalah anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melalui Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti JAKIM dengan kerjasama Raudhatus Sakinah Berhad (RS) & Raudhatus Sakinah Master Training & Cunsultancy (RSMTC), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JAWI), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Masjid Negara dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sebagai kemuncak bagi program Anda Bijak Jauhi Zina (ABJZ) yang berpaksikan ‘Jiwa Cerdas Pemuda Cergas’.
Program yang diadakan selama 2 hari di Dewan Muktamar, Pusat Islam JAWI itu merekodkan penglibatan orang ramai yang luar jangkaan iaitu lebih kurang 1300 remaja dan belia sempena kedatangan tahun baru 2012 yang telah dirasmikan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Insan); YBhg. Tuan Hj. Razali Bin Shahabudin. Objektif program ini adalah bertujuan untuk menghimpunkan 1000 remaja dan belia untuk menyatakan kepada dunia bahawa ‘Saya Bijak Jauhi Zina’ disamping dapat menghubungkan sillaturrahim di antara alumni program Anda Bijak Jauhi Zina (ABJZ). Secara tidak langsung ia juga menjadikan alternatif hiburan yang baik untuk para remaja dan belia bagi menyambut sambutan tahun baru dan melahirkan remaja dan belia yang sihat dan cergas fizikal, intelek emosi dan spiritual dengan aktiviti yang menarik.
Antara aktiviti yang menarik dalam persembahan 1000 Jiwa 1 Hati adalah bual bicara oleh Ustazah Pilihan Firus Akhtar, artis Wan Aishah dan moderator MHI Fedtri Yahya. Turut menjayakan program ini adalah penampilan khas Kumpulan Nasyid dari Indonesia Shoutul Harakah dan Ustaz Dr. Zahazan Mohamed. Malah turut hadir dalam program ini adalah artis ikon remaja Ally Iskandar dan Wardina Safiyyah. Kemuncak bagi sambutan tahun 2012 adalah laungan ikrar oleh remaja dan belia yang dipimpin oleh kakitangan dari Raudhatus Sakinah dan diakhiri dengan bacaan doa tahun baru.
Pada hari kedua pula dihidangkan dengan Qiamullail Perdana dan tazkirah oleh Imam Muda Hassan serta Larian Sihat Cerdas 1000 Pemuda yang berlepas di Masjid Negara dan berakhir di Taman Tasik Perdana. Majlis penutup pula telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL);Datuk Salleh Yusuf.
Dengan adanya program seumpama ini, diharapkan agar remaja dan belia mempunyai kesedaran & jati diri yang baik serta mampu membuat keputusan yang tepat mengikut landasan syariat.
No comments:
Post a Comment