Tuesday 27 December 2011

DAILOG AGAMA 'YES' DAN PLURALISMA AGAMA 'NO'





Di Malaysia sebagai sebuah negara yang 'multi religion dan races', masing-masing pihak cuba menonjolkan agamanya sahaja yang benar. Bagi penganut bukan Islam mereka sudah berani untuk mengatakan bukan agama Islam sahaja yang sewajarnya diiktiraf sebagai agama rasmi di dalam perlembagaan tetapi juga perlu turut memasukkan agama-gama lain. Dengan berbuat demikian kononnya  ia diyakini akan membawa erti perpaduan dan kerharmonian yang sebenar-benarnya.Begitu juga ia akan mengambarkan Malaysia adalah negara yang benar-benar demokratik dan menyanjung hak asasi manusia.Apa yang mendukacitakan dalam menghadapi isu-isu seperti ini ramai di kalangan umat Islam sendiri yang keliru. Bahkan sebahagian mereka mengiakan tuntutan golongan 'liberal dan sekular' ini tanpa melihat dalam kontek Perlembagaan dan perspektif aqidah dan ajaran Islam sendiri. Justru, bagaimanakah sikap kita sebagai seorang Muslim ketika berhadapan dengan isu seperti ini ?


Sebagai Muslim sewajibnya kita meyakini  hanya Islam satu-satunya agama yang benar. Yang lain itu adalah rekaan manusia dan penyelewengan yang tidak diterima oleh Allah.Ini berdasarkan keterangan Allah di dalam al-Qur'an " Sesungguhnya Agama yang diredhai oleh Allah hanyalah Islam". "Islam itu tinggi dan tidak ada yang lebih tinggi melainkan agama Islam. Meyakini sifat kebenaran agama Islam dan ketinggian agama Islam adalah pegangan aqidah seseorrang individu Muslim. Prinsip ini mesti dipegang sampai mati. Prinsip ini sama sekali tidak boleh ditolak ansur.


Walaubagaimanapun Islam merupakan agama yang bersifat universal ('alamiyyah). Ia diturunkan oleh Allah SWT kepada seluruh umat manusia, ia tidak membeza-bezakan antara lelaki dan wanita, antara yang berkulit putih mahupun hitam. Islam tidak pernah sekali-kali mengajak kepada sifat 'ketaksuban' bahkan Islam
mengizinkan bukan Islam untuk bersama-sama tinggal di tanahair yang satu dengan penuh aman dan bahagia. 

Al-Qur'an al-Karim dengan jelas menyatakan secara berulang kali bahawa Islam merupakan agama yang bersifat 'universal' sehingga mengulang sebanyak lebih 70 kali kalimah  al-'alamin yang membawa maksud alam sejagat atau sekalian alam. Menurut Qatadah sebagaimana yang diriwayatkan oleh al-Qurtubi dalam tafsirnya kalimah   al-'alamin merupakan perkataan jamak bagi alam yang bermaksud semua yang wujud melainkan Allah SWT. 

Antara sumber wahyu yang merakamkan kenyataan ini adalah firman Allah SWT di dalam surah al-Anbiya' ayat 107 yang bermaksud:  "Dan tidaklah kami mengutuskan engkau (Muhammad) melainkan sebagai rahmat kepada sekalian alam". Menurut Ibnu Kathir dalam tafsirnya di dalam ayat ini Allah SWT mengkhabarkan bahawa Dia menjadikan Muhammad sebagai rahmat bagi mereka (umat) semua, barangsiapa yang menerima rahmat ini lalu beriman dan membenarkannya maka dia beroleh rahmat dan sesiapa  yang melakukan sebaliknya maka dia akan kerugian di dunia dan akhirat.

Ini jelas menunjukkan bahawa setiap muslim perlu sedar dan insaf bahawa tanggungjawab mereka begitu besar kerana menganuti  suatu agama wahyu yang melampaui segala fahaman mahupun doktrin kepercayaan manusia apalagi istilah moden yang sering mengaitkan agama dengan tabiat tertentu sama ada inklusif ataupun eksklusif.

Inklusif dan Eksklusif 

Pada asasnya perbahasan mengenai inklusif dan eksklusif dalam beragama lahir daripada faham pluralisme agama yang lahir dengan berlatarbelakangkan sejarah agama Kristian di Barat. Buktinya pelopor pluralisme agama adalah William Cantwell Smith, John Hick, Hans Kung atau Leonard Swindler yang kesemuanya adalah para pemikir teologi Kristian. Sekiranya dikaji dari sudut kefahaman terhadap pluralisme agama, terdapat beberapa aliran pemikiran yang cuba mentafsirkan pluralisme agama itu dengan persepsi masing-masing. Pertama, kenyataan bahawa semua agama itu baik dan benar, iaitu dari sudut setiap pemeluk atau penganutnya. Ini berdasarkan bahawa setiap penganut agama akan menganggap agamanya adalah yang paling baik dan benar. 

Kedua, kebenaran dan keselamatan agama itu ada dua jenis; pertama kebenaran eksklusif dan keduakebenaran inklusif. Kebenaran eksklusif adalah kebenaran tertentu yang hanya diyakini oleh agama tertentu sahaja dan tidak dalam agama lain. Contohnya doktrin tentang konsep 'triniti' hanya dipercayai dalam agama Kristian sahaja dan tidak diterima dalam agama Islam. Manakala kebenaran inklusif pula adalah seumpama konsep berkasih sayang yang dianjurkan oleh agama Islam, juga dianjur dan digalakkan oleh penganut semua agama.

Dalam memahami pluralisme agama menurut perspektif yang kedua ini terdapat di kalangan intelektual Islam menganggap bahawa inilah yang dimaksud oleh keseluruhan isi syariah Islam dalam konteks hubungan antara masyarakat berbilang agama yang menggalakkan umat Islam bertoleransi dengan bukan Islam. Bermaksud umat Islam dibenarkan bertoleransi dengan umat bukan Islam pada perkara-perkara yang bukan eksklusif tetapi ditegah sekiranya ia melibatkan perkara-perkara yang eksklusif menurut Islam seumpama yang bersangkut soal akidah dan kepercayaan atau iman dan tauhid. 

Manakala persoalan syariah atau fiqh pula dianggap  sebagai inklusif dan boleh dikompromi dalam keadaan-keadaan tertentu demi untuk menjaga hubungan baik dan keharmonian beragama. Sikap eksklusif yang bersifat suka mendakwa bahawa agamanya benar dan selainnya adalah tidak benar hendaklah tidak dijelmakan dan harus dikawal dan dididik agar tidak menimbulkan kekeruhan hubungan antara Islam dan bukan Islam. 


Syariah Islam 

Syariah Islam sering dikatakan lebih anjal dan fleksibel sehingga menjadi hujjah untuk mengatakan bahawa sememangnya Islam sejak dahulu lagi menganjurkan sifat keterbukaan atau inklusif. Ini kerana syariah lebih cenderung kepada kefahaman atau interaksi umat Islam terhadap sumber-sumber syarak untuk menghasilkan sesuatu hukum. Oleh itu, menurut sesetengah fahaman segala galanya adalah bergantung kepada kebijaksanaan seseorang itu untuk memilih jalan bagaimana untuk mengeluarkan sesuatu hukum itu, apakah matlamatnya serta meninjau apakah suasana ketika hukum itu hendak dikeluarkan. Adakah maksud sebegini tepat untuk disandarkan kepada syariah? 

Oleh itu boleh dirumuskan di sini, syariah menurut metodologi ilmu Islam bererti apa sahaja yang ditetapkan oleh Allah SWT untuk para hambanya baik tentang akidah, ibadat, akhlak, muamalat dan apa sahaja tata hidup di dunia ini. Namun begitu apabila disebut akidah dan  syariah, kebiasaannya syariah akan lebih dimengertikan sebagai hal-hal yang melibatkan perundangan atau tata cara hidup manusia di dunia.  Dalam syariah terdapat banyak perbahasan berkenaan hukum yang secara tidak langsung melibatkan dua aspek penting yang tidak terpisah iaitu ibadat dan kehidupan. 

Menurut ahli fiqh (fuqaha') hukum ialah arahan (khitab) Allah berkenaan dengan tindak-tanduk manusia. Satu istilah lain yang ada kaitan rapat dengan syariah dan hukum ialah fiqh. Dalam penggunaan biasa ia bererti pemahaman hukum-hukum amali semata-mata. Maksud hukum amali di sini ialah ketentuan berhubung tindak-tanduk manusia. Namun begitu Islam tidak meletakkan semua hukum itu dihasilkan dengan jalan pemahaman atau lebih dikenali dengan istilah  ijtihad. Oleh itu  ijtihad sangat tertakluk kepada kaedah-kaedah ilmu fiqh yang perlu diketahui dan difahami oleh setiap ahli fiqh, antaranya iaitu kaedah 'tidak ada ijtihad ketika kewujudan nas (yang jelas)'. 

Manakala  ijtihad pula bermaksud berusaha dengan segala kemampuan untuk sampai kepada hukum syarak berdasarkan dalil-dalil syarak.  Maksud kaedah di atas iaitu ijtihad hanya berlaku pada masalah-masalah yang tidak terdapat dalam syariah nas yang jelas (sarih) tentangnya, adapun sekiranya kedapatan nas-nas yang jelas tentang hukum sesuatu permasalahan maka tidak boleh sekali-kali berijtihad walau dalam apa jua keadaan sekalipun, sekaligus hukumnya di sini adalah sama dengan perkara-perkara akidah yang jelas tidak dibenarkan  ijtihad. Contohnya, telah jelas terdapat nas yang mengharamkan riba, maka tidak harus lagi berijtihad tentang hukumnya. Begitu juga seumpama telah ada nas tentang wajib membahagikan harta pusaka dengan kadar satu nisbah dua kepada waris lelaki dan perempuan, maka tidak harus lagi berijtihad untuk memberi kadar yang sama rata antara lelaki dan perempuan. 

Berkenaan hukum-hukum yang diijtihadkan pula, hukum beramal dengannya adalah wajib ilzami sebagaimana para imam mujtahid wajib beramal dengan apa yang dihasilkan menerusi ijtihadnya sendiri. Baginya ia adalah seumpama hukum yang jelas daripada Allah SWT melalui al-Qur'an dan al-Sunnah. Namun bagi selain mujtahid (pengikut atau muqallid) maka hendaklah beramal dengan fatwa mujtahid memandangkan dihadapannya tiada lagi jalan lain untuk mengetahui hukum syarak melainkan dengan memohon fatwa daripada yang mengetahui dan mampu berijtihad.  

Oleh itu memungkiri salah satu hukum daripada hukum-hukum syarak yang sabit dengan dalil  qat'iy (putus dan jelas) atau mendakwa terdapat unsur-unsur kekerasan pada hukum tertentuseumpama hudud, atau mendakwa kedapatan beberapa hukum syarak yang tidak lagi sesuai untuk  dilaksanakan adalah dianggap sebagai kekufuran dan boleh terkeluar daripada Islam.  Adapun memungkiri mana-mana hukum yang sabit melalui jalan  ijtihad yang terbina atas dasar melampaui andaian (ghalabah zann) ia adalah maksiat, kefasiqan dan kezaliman; ini kerana mujtahid telah memeras segala daya upaya untuk mengeluarkan kebenaran dan keterangan tentang hukum Allah SWT, jauh daripada mengikut hawa nafsu diri sendiri atau kepentingan tertentu atau mengharapkan nama dan kedudukan, tetapi mereka hanya menurut dalil-dalil syarak dan panduan kebenaran manakala syiar mereka  adalah amanah, benar dan keikhlasan.  

Persoalannya sekarang, selepas memahami hakikat sebenar syariah Islam sebagaimana yang dikemukakan di atas, adakah masih boleh dianggap bahawa syariah Islam itu bersifat inklusif? Jawapannya tentu tidak kerana syariah Islam tidak sekali-kali besifat inklusif dalam maksud keterbukaan yang menerima penyesuaian atau perubahan hanya kerana terdapat ketidaksamaan atau percanggahan dengan agama bukan Islam. Tetapi syariah Islam adalah segala hukum-hakam yang meliputi segenap kehidupan manusia melalui sumbersumber tertentu dan kaedah tertentu yang sekali-kali tidak lari dari nilai-nilai ibadat kepada Allah SWT yang dianggap suci oleh penganutnya. 

Islam agama universal Apabila ditinjau sejarah pergerakan dakwah Nabi SAW di Makkah alMukarramah, ia menyaksikan bagaimana Nabi SAW bersungguh-sungguh menyampaikan risalah akidah kepada seluruh umat Makkah, tiada suatupun yang disembunyikan oleh Nabi SAW kepada kaumnya melainkan dijelaskan melalui wahyu-wahyu yang diturunkan oleh Allah SWT kepadanya dengan penuh keyakinan bahawa ini adalah agama sejagat dan boleh diterima oleh sesiapa sahaja di kalangan makhluk ciptaanNya. Namun ini tidak bermakna dengan dakwah tersebut Islam memaksa umat selainnya memeluk Islam.

Oleh itu Islam menerima kewujudan kepelbagaian agama dan ia dirakamkan sendiri dalam banyak ayat al-Qur'an lebih-lebih lagi ayat 11 dalam surah Hud yang menyebut sekiranya dikehendaki Allah SWT nescaya seluruh manusia akan dijadikan umat yang satu.  Dalam memahami ayat ini, umat Islam perlu mentafsirkannya berdasarkan akidah Islam yang murni. Ayat-ayat ini seumpama ini amat merbahaya sekiranya ditafsirkan hanya menurut faham ilmu sosiologi atau realiti semasa yang akhirnya mungkin dengan senang boleh dijadikan hujjah untuk mendakwa Islam itu bersifat inklusif justeru mengiktiraf kebenaran agama-agama lain. 

Sedangkan sekiranya ayat ini dihayati menurut akidah Islam, perlu difahami terlebih dahulu bahawa kehendak Allah SWT itu terbahagi kepada dua; pertama, kehendak menjadikan (kauniyyah) dan kedua kehendak hukum (syar'iyyah).  Kehendak menjadikan (kauniyyah) bermaksud kehendak Allah SWT menjadikan segala sesuatu sama ada baik atau buruk, bermanfaat atau tidak dan apa jua yang dikehendakinya. Manakala kehendak hukum (syar'iyyah) iaitu segala bentuk perintah dan larangan yang Allah SWT jadikan bertujuan untuk ditaati atau dijauhi oleh manusia dan Allah SWT reda dan mendorong manusia untuk melakukannya serta murka sekiranya ia diabaikan. 

Berbalik kepada ayat di atas, Allah SWT hanya sekadar menyebut kehendak menjadikan (kauniyyah) umat tidak bersatu agama tetapi pelbagai namun dari segi kehendak hukum sememangnya manusia disuruh kesemuanya bersatu di bawah agama Allah SWT sehingga Dia sendiri menyebut bahawa tiada agama yang diredainya melainkan Islam dan selainnya tidak akan diterima diakhirat kelak. Dialog Keagamaan Sebagai Medium Dakwah Islam sejak kebangkitan Rasulullah SAW mahupun para rasul terdahulu sangat menggalakkan interaksi atau perhubungan dengan umat bukan Islam. 

Inilah satu-satu cara ajaran Islam dapat dikembangkan atau sekurang-kurangnya dimanfaatkan bersama oleh umat bukan Islam. Pada hari ini kita dibentangkan pula dengan idea supaya diperbanyakkan di kalangan rakyat berbilang agama aktiviti dialog antara agama. Lalu terbentuk cadangan supaya pihak kerajaan mewujudkan satu badan penyelaras yang bertindak menyelaraskan segala aktiviti dialog keagamaan di samping memastikan keberkesanan dialog yang diadakan. Dialog antara agama sebagaimana yang dicadangkan ini sememangnya tidak asing lagi bagi Islam kerana ia adalah salah satu medium penting generasi Islam terdahulu menyampaikan risalah Islam dengan penuh hikmah dan kebijaksanaan tanpa melibatkan unsur-unsur paksaan dan kekerasan. 

Allah SWT merakamkan dalam surah al-Nahl ayat 125 bermaksud: "Berdakwahlah kepada jalan Tuhanmu dengan bijaksana dan pengajaran yang baik, dan berbahaslah (berdialog) dengan mereka dengan cara yang terbaik, sesungguhnya Tuhanmu amat mengetahui sesiapa yang tersesat dari jalanNya, dan Dia mengetahui orangorang mendapat hidayah". Menurut tafsir al-Qurtubi ayat ini diturunkan di Makkah ketika kaum Quraisy sibuk membuat penentangan ke atas Nabi SAW dengan pelbagai bentuk kekerasan dan keganasan, namun Allah SWT memerintahkan Nabi SAW supaya pergi kepada mereka dan berdialog dengan penuh hikmah, kebijaksanaan dan kata-kata yang lembut.  

Secara ringkas, aktiviti dialog antara agama menurut perspektif Islam tidak lebih daripada satu medium dakwah untuk menyampaikan risalah Islam kepada bukan Islam. Oleh itu ia adalah berobjektifkan mencari kebenaran dan mengajak kepada agama-agama lain menilai fakta-fakta yang dibentangkan dalam akidah dan syariah Islam. Sebagai contoh bagaimana objektif dialog yang dianjurkan oleh Islam adalah sepertimana firman Allah SWT dalam surah Ali-'Imran ayat 64 bermaksud: "Katakanlah ( Muhammad): Wahai Ahli Kitab, marilah  kita menerima kalimah yang satu antara kami dengan kamu, iaitu kita tidak menyembah melainkan Allah, kita tidak mensyirikkannya dengan sesuatu, dan sesama kita janganlah mengambil tuhan selain Allah, sekiranya mereka berpaling, maka katakanlah: bersaksilah bahawa sesungguhnya kami orang yang beriman". Ayat ini dengan jelas menggambarkan kepada kita bagaimana Nabi SAW diperintah oleh Allah SWT supaya berdialog dengan bukan Islam dengan tujuan menawarkan Islam kepada mereka sekaligus mengajak mereka menerima Islam dengan hati yang terbuka.    

Dalam konteks negara kita pada hari, pihak kerajaan telah berusaha menyampaikan Islam kepada bukan Islam dengan pelbagai medium dan cara sama ada secara langsung atau tidak langsung. Penubuhan beberapa badan yang ditugaskan secara langsung berkomunikasi dengan bukan Islam jelas menunjukkan komitmen kerajaan menyampaikan Islam kepada bukan Islam, antaranya penubuhan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) dan berbagai lagi. Begitu juga usaha-usaha kerajaan menyebarkan Islam secara tidak langsung seumpama melalui pelaksanaan 'Dasar Penerapan Nilai-nilai Islam' dan terbaru konsep 'Islam Hadhari' sebagaimana yang digagaskan oleh Y.A.B. Perdana Menteri ketika ini. semua ini jelas menunjukkan bahawa Islam adalah agama yang boleh diterima oleh semua pihak kerana ciri-ciri universalnya dan  ia tidak perlu menerima kefahaman baru seumpama yang dibangkitkan oleh golongan pluralis dengan alasan keharmonian beragama. 

Sememangnya sejak dahulu lagi Islam menganjurkan sebuah masyarakat yang harmoni walaupun berbilang agama dan ia telahpun terbukti dengan terbentuknya 'piagam Madinah' ketika di bawah pemerintahan Rasulullah SAW yang telah memberikan keadilan kepada semua pihak. Hakikatnya, sifat inklusif dan eksklusif diberikan  oleh Barat hanya bertujuan untuk mengelakkan pertembungan dan percanggahan antara agama, atau dengan bahasa mudah simpanlah akidah dan kepercayaan masing-masing di dalam hati atau kelompok sendiri tetapi zahirkanlah kesamaan dan kesepakatan pada amalan-amalan yang zahir serta elakkan percanggahan antara satu dengan lain maka dengan itu seluruh umat berbilang agama akan hidup aman dan sejahtera.   

Semoga dengan kedudukan Islam yang telah wujud sejak sekian lama di negara ini dan diiktiraf oleh perlembagaan sebagai agama rasmi dapat terus difahami dan dihayati oleh semua pihak terutamanya golongan bukan Islam malah umat Islam sendiri. Oleh itu apa jua isu yang berbau perkauman dan keagamaan haruslah dihentikan kerana ia hanya akan melahirkan percanggahan-percanggahan yang tidak berkesudahan seterusnya boleh meruntuhkan keharmonian institusi beragama di negara ini. 




No comments:

Post a Comment